5.13.2009

Terowong Masa Papar Sejarah Perguruan Di Malaysia

Satu prngiktirafan buat insan bergelar guru....

Sebuah terowong masa sepanjang 20 meter dijangka menjadi tarikan kepada orang ramai semasa Festival Hari Guru 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Terengganu bermula 14 hingga 17 Mei ini.

Terowong masa itu akan memaparkan lebih 400 gambar dan pengisahan sejarah serta perkembangan profesion perguruan dalam tujuh era di negara ini seiring dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran, Datin Sitti Haishah Abdul Rahman berkata, ia memaparkan gambar-gambar bermula dari zaman penjajahan British sehingga sekarang.

''Terowong yang kita bina dengan kerjasama Utusan Malaysia akan turut memaparkan laporan-laporan latihan perguruan di negara ini,'' katanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, sejarah perkembangan guru itu akan bermula dengan gambar dan pengisahan guru aliran Melayu bermula tahun 1800, guru aliran Cina, guru aliran Tamil dan guru aliran Inggeris.

Ia diikuti dengan sejarah perguruan pada zaman Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua, perkembangan perguruan menjelang kemerdekaan sehingga akhir tahun 60-an.

''Ini termasuk kisah perguruan sehingga termaktubnya Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, gambar tokoh-tokoh guru dan guru-guru di sekolah rendah dan menengah,'' katanya.

Menurut beliau, banyak gambar yang belum pernah dipamerkan sebelum ini, akan dipamerkan kali ini termasuk gambar pengarah-pengarah terawal program latihan perguruan di negara ini.

Terowong itu juga akan memaparkan beberapa peristiwa penting termasuk perkembangan perguruan pada 1970-an sehingga kepada pengenalan Rukun Negara pada 1970.

Turut dipamerkan ialah sejarah perguruan agama, perguruan di peringkat universiti iaitu di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beberapa laporan mengenai kebajikan guru termasuk Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat iaitu Laporan Suruhanjaya Aziz turut dipamerkan.

Antara perkembangan perguruan alaf baru yang akan dipaparkan ialah guru-guru sekolah integrasi, kompleks sekolah wawasan, sekolah sukan, sekolah seni, sekolah integriti dan pra sekolah sehinggalah pengisytiharan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Sumber - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails