5.18.2009

Politik wang mungkin ada - Nik Aziz

KOTA BHARU 17 Mei ..

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan wujudnya 'politik wang' dalam parti itu menjelang pemilihan agung bulan depan.

Justeru, beliau meminta para perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas itu menolak calon yang mengamalkan perbuatan sedemikian bagi meraih sokongan.

Namun Nik Aziz mengingatkan, sebarang tuduhan mengenai gejala itu perlu dibuat berlandaskan fakta dan wajar tindakan diambil sekiranya gagal dibuktikan.

"Boleh jadi ada sungguh (politik wang). Kalau ada sungguh, saya berasa sangat dukacita. Kita hendak berjuang dalam Pas, sedangkan Pas hanya wadah untuk perjuangkan Islam.

"Macam saya sebut hari itu, bagi duit ambil, bagi gula kacau. Saya setuju benar orang beri ambil tetapi jangan undi orang macam ini. Jangan beri peluang orang begini wujud dalam Pas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi bahawa budaya memberi 'hadiah' mula menular ke dalam parti tersebut menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta calon yang bertanding pada pemilihan akan datang supaya tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan syak.

"Dalam suasana begini, jangan kita beri macam-macam dekat orang sebab mereka akan tuduh kita. Orang tidak tuduh kita kalau kita ini bersih, jadi jangan buat benda yang boleh membuatkan orang tuduh kita.

"Perwakilan jangan terpedaya, jangan jadi hamba duit dan Alhamdulillah, Pas berjaya menyekat nafsu daripada terperangkap dengan duit," katanya.

Mengulas tindakan ke atas Mohamed sekiranya gagal mengemukakan bukti atas dakwaan tersebut, beliau berkata, ia memang perlu dilakukan bagi memastikan setiap pemimpin bercakap berlandaskan fakta.

"Saya setuju, kita hendak sebut depan orang ramai mesti kena ada fakta. Jangan mengada-ada sebut kalau tak ada fakta," katanya.

Mohamed telah diarah memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat dan sekiranya gagal mengemukakan bukti, beliau akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails