5.21.2009

Wajah Si Peragut Wanita Hamil

Peragut wanita hamil didakwa

Rasa geram betul bila Wak tengok gambar budak nii.. Rasa macam nak belasah cukup-cukup. Mungkin hukuman yang paling sesuai untuk budak ni, ikat kat tiang dah tu letak kat tengah bandar. Dah tu sape-sape yang rasa nak lepaskan geram, boleh balun tapi tak le sampai mati.

Yang buat 'spoil' budak ni buat malu orang Batu Pahat... Kalau boleh tambah lagi satu hukuman kat budak ni, buang daerah seumur hidup.

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengakibatkan kematian Jamilah Selamat, iaitu ibu muda yang terjatuh daripada motosikal akibat diragut, awal bulan ini.

Mohamad Ariffin Anang, 26, dari Taman Bukit Flora, Batu Pahat mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu meragut dan menyebabkan kematian Jamilah, 31, yang ketika itu hamil dua bulan.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Jamilah yang merupakan seorang jurujual di kedai kraftangan di pekan Ayer Hitam koma selama dua hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Mohamad Ariffin didakwa menyebabkan kematian ibu kepada dua anak berusia lima dan tujuh tahun itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Kaloi, Taman Ayer Hitam di sini kira-kira pukul 7.15 malam, 3 Mei lalu.Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan merompak barang-barang berharga berupa sebuah beg tangan, sebuah beg warna hitam, sebuah telefon bimbit, sehelai telekung, MyKad, tiga kad bank dan sebuah kad keahlian pasar raya kepunyaan mangsa pada masa serta tempat yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Azeezi Nordin yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Mohamad Ariffin atas alasan tertuduh juga sedang menghadapi empat kes lain termasuk curi dan penyalahgunaan dadah.

''Tertuduh telah melakukan jenayah ragut ini semasa dalam jaminan untuk empat kes tersebut,'' katanya sambil menyatakan tertuduh turut mempunyai lima rekod jenayah lampau.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails