5.18.2009

Nasihat Tokoh Guru 2009

Penerima Anugerah Tokoh Guru 2009, Phua Seng Tiong, 64....

"Permohonan saya untuk menjadi guru pernah ditolak dulu dan saya fikir impian saya sudah berkecai ketika itu. Namun, atas semangat kuat, saya terus mencuba untuk menjadi guru dan tidak menoleh ke belakang lagi hingga hari ini," kata seorang daripada tiga penerima Anugerah Tokoh Guru 2009, Phua Seng Tiong, 64.

Beliau berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, sifatnya yang suka melihat seseorang insan berjaya dalam kehidupan mendorong beliau menjadi guru.

Katanya, menjadi guru kerjaya yang paling menarik dan sangat dibanggakan bagi dirinya dan hingga kini beliau masih aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan.

"Saat paling menggembirakan sepanjang berkhidmat sebagai guru ialah apabila dihubungi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jinjang yang memaklumkan mereka mendapat ijazah kelas pertama universiti di England serta sekolah berkenaan meraih Anugerah Sekolah Harapan Negara pada 1999," katanya.

Penerima Anugerah Tokoh Guru membawa pulang sijil penghargaan, plak dan wang tunai RM10,000. Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seorang lagi penerima Anugerah Tokoh Guru 2009, Datuk Abdul Rahim Tahir berkata, dengan perubahan struktur pendidikan yang semakin mencabar mutakhir ini, guru perlu mewujudkan iklim sihat di sekolah, membangkitkan kemesraan dengan pelajar dan memiliki sifat kepemimpinan tinggi.

Beliau yang berpengalaman sebagai guru selama 36 tahun berkata, guru yang mengamalkan tiga aspek berkenaan diyakini mampu membantu menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

Penerima ketiga Anugerah Tokoh Guru 2009, Shahul Hamid Mydin Shah, berharap guru generasi kini dapat meneruskan mandat mendidik anak bangsa dengan baik.

"Tugas guru sangat mulia dan guru memiliki hati yang suci. Satu nasihat saya supaya guru mengawal emosi ketika mendidik pelajar," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat dianugerahkan Tokoh Khas Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

Selain itu, Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Asiah Abu Samah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan, manakala Abdul Rashid A Latiff menerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas dan Shamsul Anuar Amat Kasi sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya.- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails