5.21.2009

Pelajar Sekolah Merempit Boleh Dibuang Sekolah

Samseng jalanan melibatkan pelajar sekolah....

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran memberi lampu hijau kepada mana-mana sekolah untuk membuang pelajar mereka yang didapati terbabit dalam masalah disiplin seperti gejala pelesit rempit.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, tindakan itu boleh dilaksanakan sekiranya Jawatankuasa Tertib Disiplin sekolah bermesyuarat dan sebulat suara bersetuju dengan hukuman itu.

Ekoran itu, beliau menggesa semua Pengarah Pelajaran negeri supaya memberi perhatian serius terhadap usaha membendung gejala sosial yang kian membimbangkan itu.

"Kita pandang serius hal ini dan untuk mengatasinya, kita ada lima peraturan khusus dalam menghukum pelajar-pelajar yang bermasalah.

"Yang pertama kita bagi amaran lisan kemudian amaran bertulis. Ini disusuli dengan hukuman rotan, gantung sekolah dan jika terlalu kronik, sekolah boleh jalani hukuman buang sekolah setelah mengadakan beberapa rundingan," katanya.

Alimuddin mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam berhubung perlakuan kira-kira 30 pelajar lelaki yang ponteng sekolah dan berkeliaran dengan menunggang motosikal ala pelesit rempit di kawasan perumahan Permatang Badak dan Bukit Rangin di Kuantan.

Sambil menganggap para pelajar yang terlibat dalam gejala tidak sihat itu sebagai musuh negara kerana turut mengancam keselamatan awam, beliau berkata, hukuman rotan juga boleh dilaksanakan terhadap pelajar berkenaan jika perlu.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails