5.14.2009

Pas Bersatu Jika UMNO Tukar Dasar

Tukar dasar perjuangan...

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan UMNO perlu menukar dasar perjuangan didukung parti itu dalam usaha menyatukan kembali rakyat di negara bagi mewujudkan sebuah negara aman dan harmoni.

Beliau berkata, penawar itu dianggap sebagai salah satu cara terbaik dalam usaha menyelesaikan kemelut melanda negara masa kini.

“Penawar yang saya maksudkan iaitu UMNO kena tukar dasar daripada dasar kebangsaan kepada Islam. Ini muktamad. Kalau UMNO tukar dasar dengan persetujuan daripada cawangan dan negeri tukar daripada kebangsaan kepada Islam. “Kalau UMNO tukar dasarnya kepada Islam tak payah diajak, saya sokong dia (UMNO). Saya akan sokong, semua orang Pas akan sokong. Tidak ada sebab la kami nak lawan sesama Islam,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di sini, semalam.

Beliau berkata, Pas kini melawan UMNO kerana parti itu membawa jalan yang tidak betul.

“Kita lawan UMNO kerana dia bawa jalan sesat. Sesat ni kita ulang dalam sembahyang. Kita tak mahu jalan sesat. Jalan sesat ini, selain dari Islam semua sesat.

“Jika kita mengikut jalan sesat, matlamat juga akan sesat. Hujung kita tak sampai ke syurga tetapi akan sampai ke neraka. Ini bahaya.

“Kalau hendakkan perpaduan tidak ada cara lain melainkan UMNO ubah dasar dia daripada kebangsaan yang menimbulkan perbalahan di antara kaum kepada Islam. Kerana ini ajaran nabi bukan ajaran profesor dan bukan ajaran ahli sains. Kenapa kita tolak nabi,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya UMNO sanggup menukar dasar diperjuangkan beliau bukan sahaja sanggup duduk semeja malah mungkin lebih dari itu.

“Kalau tukar dasar lebih dari duduk semeja... saya mahu lagi,” katanya.

Katanya, beliau mempelawa UMNO supaya menyertai Pas kerana dasar Islam perjuangan dibawa Pas.

Ketika diminta mengulas mengenai hubungan Pas dan rakan sekutunya Parti Keadilan Rakyat, yang juga dipimpin pemimpin Islam namun tidak mengamalkan dasar Islam, Nik Aziz berkata, PKR adalah bukan parti beliau.

“Itu bukan parti saya, dia (PKR) nak kerja sama dengan saya, alhamdulillah. Pas tetap memperjuangkan dasar Islam. Kalau PKR nak guna lain itu dia punya fasal. Saya tak mahu ganggu orang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails