11.11.2009

Potong Jangan Tak Potong

Iklan 'potong' jadi isu di Parlimen....

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji penyiaran iklan P1 Wimax broadband yang menimbulkan kontroversi apabila menggunakan perkataan 'potong' secara berulang-kali dalam iklan itu.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Saei Kie berkata kandungan iklan itu sedang dalam pertimbangan forum kandungan SKMM untuk menentukan sama ada ia bercanggah dengan kod kandungan yang sepatutnya.

"Bagaimanapun untuk makluman semua, iklan sebelum boleh disiarkan mesti mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya kementerian ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di peringkat dasar bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mencelah penggulungan Heng bagi meminta kementerian menghentikan penyiaran iklan itu yang dikatakan boleh disalah tafsir.

"Bila kita kata potong ini... lucah sangat la... kita faham (tukar penggunaan talian internet kepada jalur lebar) tapi bagi sesetengah orang, potong itu maknanya potong itulah (merujuk kepada amalan bersunat).

"Saya ingat kalau boleh minta menteri iklan itu dipotonglah," katanya.

11.05.2009

SKIM PENCEN Vs SKIM KWSP

Mana pilihan anda....

Minggu lepas bekas anak murid Wak ada bertanya tentang perbezaan skim pencen dengan skim KWSP. Sedia maklum apabila seseorang penjawat awam yang akan disahkan dalam jawatan akan diberi pilihan samada ingin memilih skim pencen atau skim KWSP.

Di bawah ini Wak ada catatkan perbezaan antara skim pencen dan skim KWSP.

Skim Pencen

1. Ganjaran Perkhidmatan
7.5% x Jumlah bulan perkhidmatan x Gaji akhir

2. Pencen Bulanan
1/600 x Jumlah bulan perkhidmatan x Gaji akhir
(Tertakluk kepad pencen maksimum setengah daripada gaji akhir

3. Faedah perubatan untuk suami/isteri, anak kurang upaya, anak bawah 18 tahun atau masih dalam institusi pendidikan dan ibubapa.

* Ibubapa hanya semasa pegawai dalam perkhidmatan

4. Pencen terbitan untuk balu/duda/anak


Skim KWSP

1. Caruman KWSP bulanan mengikut kadar untuk majikan (12%) dan pekerja boleh membuat pilihan samada (8%) atau (11%)

2. Menerima semua faedah dalam SSM seperti guru lain semasa dalam perkhidmatan

3. Hilang faedah perubatan apabila bersara

4. Tidak ada bayaran ganjaran dan pencen bulanan

5. Terpaksa membayar balik baki pinjaman perumahan sekaligus apabila bersara.

Pada pandangan Wak, bagi kakitangan kerajaan lebih baik memilih skim pencen berbanding skim KWSP. Sebab Wak pernah merasa duduk dalam skim KWSP yang mana semasa membuat pilihan suatu masa dahulu hanya mendengar pandangan dari pengetua sekolah tempat Wak mengajar (SMTKK Jelebu).

Tetapi kini Wak bersyukur kerana perjuangan CUEPACs selepas bertahun-tahun akhirnya berjaya dan sekali lagi Wak membuat pilihan dan pastinya Wak memilih skim pencen. Apapun pilihan terletak di tangan anda....

11.03.2009

Sijila Halal : Dimana Relevannya???

Kapsul ubat: Gelatin babi dicop halal

Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman (foto, kanan) berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn (foto, kiri) berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails