Showing posts with label PENDIDIKAN. Show all posts
Showing posts with label PENDIDIKAN. Show all posts

3.23.2011

Semakan Keputusan SPM 2010 Melalui SMS

Keputusan SPM 2010 akan diumumkan pada esok hari, Rabu bersamaan 23 April 2011. Tentunya mereka yang telah mengambil peperiksaan SPM 2010 yang lalu rasa berdebar-debar untuk mendapatkan keputusan.

Buat kali pertama pada tahun ini, semakan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) diperkenalkan bagi memudahkan pelajar SPM 2010 menyemak keputusan masing-masing.

Cara Menyemak Keputusan SPM 2010 Melalui SMS

Anda boleh menyemak keputusan peperiksaan SPM 2010 melalui SMS dengan menaip SPM SEMAK dan hantar ke 15888. Setiap semakan dicaj RM 0.35. Semakan bermula jam 10.00 pagi (23 Mac 2011) hingga 11.59 malam (30 Mac 2011) atau mungkin juga ditamatkan pada hari yang sama.


Semoga anda semua berjaya dengan cemerlang!!!!

7.21.2010

Sokong Mansuh UPSR, PMR....

Kesatuan guru setuju mansuh UPSR, PMR...

Rata-rata kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Loke Yim Pheng berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.

Langkah itu penting bagi mengukur serta menilai tahap pelajaran yang diterima oleh pelajar dan mengelak mereka dan guru hilang tumpuan, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat itu yang dihadiri hampir 140 wakil golongan pendidik dan kesatuan guru termasuk dari Sabah dan Sarawak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad juga bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.

Katanya, ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata.

"Penilaian berdasarkan pensil dan kertas semata-mata. Jika kita lihat di negara lain, seperti New Zealand, tidak ada peperiksaan berpusat.

"Langkah ini (mansuh) baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu," katanya.

Beliau berkata, beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan.

"Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya.

"Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga yang mahu para pelajar serba boleh turut akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insan bertaraf dunia," katanya.-Bernama

7.14.2010

Transformasi Kolej Komuniti

Tempoh pembelajaran Kolej Komuniti lebih singkat...

KUALA LUMPUR 14 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program pengukuhan institusi Kolej Komuniti yang antara lain menggariskan tempoh pembelajaran bagi sembilan sektor di Kolej Komuniti terpilih disingkatkan daripada dua tahun kepada tiga ke enam bulan mulai tahun ini.

Program jangka pendek Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan adalah antara inisiatif yang dirangka untuk pengukuhan institusi Kolej Komuniti selain

melaksanakan program memperkasakan program pembelajaran sepanjang hayat dan mempergiatkan program perantisan.

Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang merangka Program Pemindahan Ilmu antara Kolej Komuniti dan universiti bagi membolehkan hasil penyelidikan di universiti dapat dinikmati masyarakat setempat melalui kolej komuniti.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semasa berucap melancarkan program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini yakin inisiatif itu akan menjadikan kolej komuniti sebagai pemangkin utama kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di negara ini.

Beliau berkata, warga kolej komuniti perlu sentiasa bertindak secara proaktif dalam melakukan inovasi pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, pemantapan struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri. - Bernama

2.08.2010

Pensyarah Terpinggir

NUTP dakwa 8499 tenaga pengajar politeknik, kolej komuniti tak dapat manfaat seperti dijanji....

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun usaha mencari penyelesaian dan berunding dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menemui kegagalan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) akhirnya mendedahkan ‘derita’ dialami pensyarah politeknik dan kolej komuniti, petang semalam.

Seramai 8,499 pensyarah membabitkan 6,406 bagi politeknik dan 2,093 bagi kolej komuniti terbabit apabila Politeknik dan Kolej Komuniti dipindah dari Kementerian Pelajaran ke KPT sejak awal 2008 dan NUTP mendakwa, mereka tidak memperoleh apa yang dijanjikan serta dipinggirkan berbanding rakan seangkatan dalam bidang perguruan di sekolah menengah atau Kolej Matrikulasi dan Institut Perguruan.

Presiden NUTP, Leftenan Komander (B) Hashim Adnan, mengakui pensyarah di politeknik dan kolej komuniti mengalami tekanan berhubung dua perkara iaitu perubahan sistem cuti serta kenaikan pangkat atau gred gaji dan terhadap desakan serta ugutan daripada individu tertentu supaya isu berkenaan tidak didedahkan kepada umum.

“Sejak perubahan ke KPT, pensyarah wanita dan senior paling ramai mengalami tekanan sehingga mereka ingin kembali ke Kementerian Pelajaran berikutan membantah perubahan sistem cuti daripada semester kepada cuti tahunan kerana pentadbir hanya meluluskan cuti ketika keadaan tiada pengajaran dan pembelajaran, atas alasan kepentingan perkhidmatan.

“Dari segi gred gaji pula, ia hanya indah khabar dari rupa kerana susah diperoleh berikutan syarat kenaikan pangkat amat ketat termasuk terpaksa membuat penyelidikan, penerbitan, kursus serta dan temuduga seperti pensyarah universiti sedangkan jawatan itu sama berbanding guru.

“Walaupun ada dua laluan iaitu kenaikan pangkat secara hakiki dan secara mengisi kekosongan jawatan, mereka tidak diberi pilihan sebaliknya ditawarkan kenaikan secara hakiki dan sebahagian besarnya terpaksa dipindahkan ke tempat lain termasuk Sabah dan Sarawak bagi mengisi jawatan pegawai kanan di kolej lain,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Hashim berkata, NUTP sudah berusaha beberapa kali berbincang dengan pegawai KPT mengenai masalah itu dan sudah dua kali bertemu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin termasuk secara rasmi pada 2008 dan pertemuan biasa tahun lalu, tetapi isu berkenaan masih belum diselesaikan. “Apabila isu ini berlarutan, pensyarah terbabit mendesak NUTP dan mendakwa kami tidak menjalankan tugas.

Walaupun pada awalnya cuba menyembunyikan perkara ini, akhirnya kami membuat pilihan untuk membuat pendedahan kepada media. “Menteri melayan kami dengan baik dan memberitahu akan membantu tetapi kami tidak pasti pegawai KPT di peringkat mana boleh menyelesaikan masalah ini.

Malah, kita tidak pasti sejauh mana kecairan maklumat mengenai perkara ini apabila ia sampai di peringkat lebih bawah. “Dua minggu lalu, kami menghubungi pegawai KPT tetapi mereka kata tiada masa dan sibuk...selain memberi alasan ia berkaitan dasar dan di luar bidang kuasa serta memerlukan kelulusan pihak atasan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Hashim berkata, pensyarah terbabit seolah-olah kelas dua dan banyak masalah disuarakan mereka hanya diberikan janji tanpa penyelesaian sedangkan kebajikan golongan terbabit perlu dijaga bagi memastikan mutu tugas lebih berkesan sekali gus melahirkan graduan cemerlang.

Beliau berkata, guru sekolah menengah mendapat banyak kelebihan dari segi kenaikan pangkat dan gred gaji walaupun mengajar untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sedangkan pensyarah terbabit mengajar pelajar bagi diploma dengan sukatan pelajaran lebih susah. - HMetro


2.07.2010

Tukar kementerian, susah naik pangkat

Pensyarah Kolej Komuniti, Politeknik Berhadapan Masalah Lepas Tukar Kementerian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tenaga pengajar politeknik dan kolej komuniti kini menghadapi pelbagai masalah termasuk kenaikan jawatan dan gred gaji selepas institusi pengajian tinggi itu diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sejak 2008.

Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng berkata sehubungan itu ada antara pensyarah mendakwa mereka lebih selesa berkhidmat ketika kedua-dua institusi itu berada di bawah Kementerian Pelajaran.

"Kriteria yang perlu bagi kenaikan pangkat walaupun bagi pensyarah kanan yang telah berkhidmat lebih 20 tahun adalah sangat ketat kerana mereka terpaksa membuat penyelidikan, kursus dan temuduga.

"Jika ada kenaikan pangkat ia adalah secara kekal dan akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Presiden NUTP Hashim Adnan pula berkata tahap skim perkhidmatan kolej komuniti dan politeknik kini lebih rendah berbanding tingkatan enam, kolej matrikulasi dan institut perguruan.

"Skim perjawatan bagi institusi itu adalah daripada gred 44 ke atas sementara bagi pensyarah kolej komuniti dan politeknik gaji mereka adalah lebih rendah hanya daripada gred 29 hingga 41, justeru ia perlu diteliti semula oleh pihak kementerian," katanya.

Tambahnya selain kenaikan jawatan dan gred gaji terdapat masalah lain seperti kesukaran memohon cuti tahunan.

"Sebelum ini mereka hanya menikmati cuti semester bagaimanapun ia telah diubah menjadi cuti tahunan yang sukar untuk dipohon," katanya.

Hashim berkata perkara ini sudah pun diajukan kepada pihak kementerian berkaitan sejak dua tahun lalu.

"Kami telah membawa perkara ini kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi tetapi selepas dua tahun ia masih belum dapat diselesaikan yang kemudiannya kami terpaksa dedahkan untuk membuka mata pihak tertentu," katanya.

Untuk rekod, sehingga kini jumlah pensyarah politeknik ialah seramai 6,406 dan kolej komuniti ialah 2,093 orang.- Kosmo @ BERNAMA


9.17.2009

Sukarnya Mencari Keikhlasan....

Ibarat ‘semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang gelap’...

Petang semalam Wak pergi ke Pasar Ramadan di Bandar Melaka. Dalam perjalanan melihat dan memilih juadah untuk berbuka, terserempak dengan seorang yang sedang meminta sedekah sambil bersila di atas sebuah tikar usang dengan pakaian agak lusuh.

Rasa simpati menerpa di hati lalu Wak letakkan RM2 lebihan membeli makanan ke dalam mangkuk usang yang berada di tangan seorang yang nampaknya dipertengahan usia.

Wak teruskan perjalanan untuk mencuci mata melihat juadah untuk berbuka...macam-macam ada. Tapi tiba-tiba rasa menyesal menjelma mengenangkan peminta sedekah tadi. Macam-macam persoalan yang timbul kat kepala otak nii... Betul ke dia hidup susah sampai nak jadi peminta sedekah. Entah-entah menyamar jee... ambik kesempatan. Kalau 10 orang bagi RM2 dah dapat RM20. Wahhh, mewah la dia kot....

Tapi bila Wak pikir balik, memang sukar untuk mencari keikhlasan.... Hati berkata-kata pun dah menghilangkan rasa ikhlas dan mungkin luput pahala menderma tadi.

Teringat kata-kata Imam Ghazali : Ikhlas itu ibarat ‘semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang gelap’. Kehidupan orang yang ikhlas tidak akan menempuh apa-apa yang mendukacitakan. Sebab mereka sentiasa redha dan bahagia dengan pelbagai kurniaan kebaikan dan keredhaan yang Allah mahu dan tentukan.

Niat merupakan gerak hati yang ruang lingkupnya luas. Ia perlu berkekalan dijaga sama ada sebelum memulakan sesuatu ibadat, semasa melakukannya atau setelah selesai beribadah.

Gerak hati juga menentukan keikhlasan niat seseorang beramal. Hanya amal yang ikhlas sahaja boleh dikatakan sebagai sebaik-baik dan sesempurna ibadat.

Langkah mula untuk mendapat ikhlas dan sebai-baik amal ialah benar-benar menjadi hamba Allah. Untuk menjadi ‘Hamba Allah’ yang sebenar perlu bermujahadah dan istiqamah.

Apabila telah menjadi hamba Allah sebenar dan tidak menjadi hamba kepada selain Allah maka akan menjadi orang yang ikhlas (Muhsin atau Ulul Albab).

Firman Allah : “Oleh itu (wahai Muhammad) sampaikanlah khabar yang menggembirakan kepada hamba-hamba-Ku (Para hamba-Ku itu) iaitu mereka yang berusaha mendengar perkataan (pengajaran Al-Quran) lalu mereka berbuat baik : mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah dari golongan Ulul Albab.” (al-Zumar : 17-18).

5.18.2009

Nasihat Tokoh Guru 2009

Penerima Anugerah Tokoh Guru 2009, Phua Seng Tiong, 64....

"Permohonan saya untuk menjadi guru pernah ditolak dulu dan saya fikir impian saya sudah berkecai ketika itu. Namun, atas semangat kuat, saya terus mencuba untuk menjadi guru dan tidak menoleh ke belakang lagi hingga hari ini," kata seorang daripada tiga penerima Anugerah Tokoh Guru 2009, Phua Seng Tiong, 64.

Beliau berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, sifatnya yang suka melihat seseorang insan berjaya dalam kehidupan mendorong beliau menjadi guru.

Katanya, menjadi guru kerjaya yang paling menarik dan sangat dibanggakan bagi dirinya dan hingga kini beliau masih aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan.

"Saat paling menggembirakan sepanjang berkhidmat sebagai guru ialah apabila dihubungi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jinjang yang memaklumkan mereka mendapat ijazah kelas pertama universiti di England serta sekolah berkenaan meraih Anugerah Sekolah Harapan Negara pada 1999," katanya.

Penerima Anugerah Tokoh Guru membawa pulang sijil penghargaan, plak dan wang tunai RM10,000. Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seorang lagi penerima Anugerah Tokoh Guru 2009, Datuk Abdul Rahim Tahir berkata, dengan perubahan struktur pendidikan yang semakin mencabar mutakhir ini, guru perlu mewujudkan iklim sihat di sekolah, membangkitkan kemesraan dengan pelajar dan memiliki sifat kepemimpinan tinggi.

Beliau yang berpengalaman sebagai guru selama 36 tahun berkata, guru yang mengamalkan tiga aspek berkenaan diyakini mampu membantu menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

Penerima ketiga Anugerah Tokoh Guru 2009, Shahul Hamid Mydin Shah, berharap guru generasi kini dapat meneruskan mandat mendidik anak bangsa dengan baik.

"Tugas guru sangat mulia dan guru memiliki hati yang suci. Satu nasihat saya supaya guru mengawal emosi ketika mendidik pelajar," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat dianugerahkan Tokoh Khas Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

Selain itu, Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Asiah Abu Samah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan, manakala Abdul Rashid A Latiff menerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas dan Shamsul Anuar Amat Kasi sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya.- BERITA HARIAN

5.14.2009

TEKNIK MEMOTIVASIKAN ANAK CARA POSITIF

Kali ini Wak nak kongsi tentang teknik-teknik memotivasikan anak cara positif setelah Wak membaca buku tulisan Tengku Asmadi Tengku Mohamad. Selepas Wak membaca buku nii, baru Wak ‘tersedar’… banyak kesilapan yang Wak lakukan dalam mendidik anak-anak terutama bila anak kita semakin membesar..

Ibu bapa adalah acuan pertama yang membentuk akhlak, peribadi, tingkah laku dan pemikiran anak-anak. Bagi anak-anak, erti kasih saying yang mereka maksudkan adalah masa yang ada antara mereka dengan kita. Lebih banyak masa yang diluangkan ibu bapa bersama dengan anak-anak, maka lebih erat kasih sayang yang terjalin di antara mereka.

Yang penting, kita perlu usahakan bagi menjadikan anak-anak kita cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu ada ilmu keibubapaan bagi memotivasikan mereka. Tanpa ilmu keibubapaan, ibu bapa mungkin melakukan kesilapan apabila berkomunikasi dan bertindak balas pada anak-anak mereka.

Ibu bapa perlu mengetahui pelbagai pendekatan keibubapaan supaya mampu menjadi pendidik, pembimbing, kaunselor, motivator, pemimpin dan malah menjadi hero kepada anak-anak. Adalah mustahil menjadi ibu bapa yang sempurna tetapi tidak mustahil berusaha ke arah kesempurnaan itu.

Anak-anak yang cemerlang bukannya lahir daripada ibu bapa yang cemerlang sebaliknya mereka lahir daripada ibu bapa yang perihatin mengenai aspek kecemerlangan.
Wak rasa korang kena beli buku ni.. Tak rugi bro.. Baru RM 15.00 jee. Tapi banyak faedah dan pengajaran yang Wak perolehi dari buku ini. Satu perkara yang Wak dapat terapkan ialah Wak dah membina satu permainan bersama anak-anak (Irham & Irfan)…. Main badminton bersama, membina minat yang sama macam Wak juga..

O.k lah nampaknya setakat ni dulu yang dapat Wak kongsikan dengan korang semua. Untuk mendapatkan tip-tip dan panduan bagi mendidik anak cara positif dan praktikal, belilah buku ni.. Wak promosi free je nii.. Tak dapat komisyenpun.. Apapun terima kasih banyak dan ucapan syabas kepada penulis dan penerbit buku nii… Wassalam.

5.13.2009

Terowong Masa Papar Sejarah Perguruan Di Malaysia

Satu prngiktirafan buat insan bergelar guru....

Sebuah terowong masa sepanjang 20 meter dijangka menjadi tarikan kepada orang ramai semasa Festival Hari Guru 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Terengganu bermula 14 hingga 17 Mei ini.

Terowong masa itu akan memaparkan lebih 400 gambar dan pengisahan sejarah serta perkembangan profesion perguruan dalam tujuh era di negara ini seiring dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran, Datin Sitti Haishah Abdul Rahman berkata, ia memaparkan gambar-gambar bermula dari zaman penjajahan British sehingga sekarang.

''Terowong yang kita bina dengan kerjasama Utusan Malaysia akan turut memaparkan laporan-laporan latihan perguruan di negara ini,'' katanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, sejarah perkembangan guru itu akan bermula dengan gambar dan pengisahan guru aliran Melayu bermula tahun 1800, guru aliran Cina, guru aliran Tamil dan guru aliran Inggeris.

Ia diikuti dengan sejarah perguruan pada zaman Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua, perkembangan perguruan menjelang kemerdekaan sehingga akhir tahun 60-an.

''Ini termasuk kisah perguruan sehingga termaktubnya Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, gambar tokoh-tokoh guru dan guru-guru di sekolah rendah dan menengah,'' katanya.

Menurut beliau, banyak gambar yang belum pernah dipamerkan sebelum ini, akan dipamerkan kali ini termasuk gambar pengarah-pengarah terawal program latihan perguruan di negara ini.

Terowong itu juga akan memaparkan beberapa peristiwa penting termasuk perkembangan perguruan pada 1970-an sehingga kepada pengenalan Rukun Negara pada 1970.

Turut dipamerkan ialah sejarah perguruan agama, perguruan di peringkat universiti iaitu di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beberapa laporan mengenai kebajikan guru termasuk Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat iaitu Laporan Suruhanjaya Aziz turut dipamerkan.

Antara perkembangan perguruan alaf baru yang akan dipaparkan ialah guru-guru sekolah integrasi, kompleks sekolah wawasan, sekolah sukan, sekolah seni, sekolah integriti dan pra sekolah sehinggalah pengisytiharan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Sumber - UTUSAN

5.01.2009

SEMAKAN KEMASUKAN IPTA (LEPASAN SPM) SESI 2009/2010

Sekadar info...

Status permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya boleh dibuat mulai 12 tengah hari 1 Mei 2009.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata status boleh disemak melalui talian Helpline 03-88835848, Hotline 03-88835858, laman web berikut :
i.http://upu.mohe.gov.my
ii.www.ipt.utm.my
iii.http://ipt.uum.edu.my
ataupun menerusi sistem pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan hantar ke 15888.

Mulai sesi akademik 2009/2010, semua calon yang berjaya wajib membuat pengesahan setuju untuk menerima tawaran dari IPTA dalam tempoh tujuh hari pada atau sebelum 10 Mei dan pengesahan penerimaan tawaran boleh dibuat melalui laman web IPTA.

Tarikh pendaftaran baru ke IPTA adalah 28 Jun ini, bagaimanapun pendaftaran pelajar ke Program Asasi akan dimaklumkan oleh IPTA berkenaan melalui surat tawaran.

Kementerian juga bersetuju melaksanakan dasar tawaran terbuka dengan pelbagai institusi dan agensi penaja yang menawarkan program pengajian tersebut, justeru ramai calon cemerlang SPM 2008 akan menerima lebih daripada satu tawaran.

Hanya calon gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dibenarkan mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan melalui http://upu.mohe.gov.my.
Tarikh tutup permohonan e-Rayuan adalah pada 15 Mei dan keputusan rayuan akan dimaklumkan pada minggu ketiga Julai.

Jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA sehingga 31 Julai maka rayuan mereka dianggap gagal.

4.22.2009

TIGA PELAJAR MENGHARUMKAN NAMA NEGARA

Sekalung tahniah....

STOCKHOLM (Sweden) - Selepas kejayaan menggondol tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Finland minggu lalu, tiga pelajar Malaysia yang terlibat diberikan penghormatan membentangkan kertas kerja mengenai penanaman pokok di dua buah sekolah di bandar Upsala dekat sini hari ini.

Mereka telah memenuhi jemputan dua buah sekolah tersebut sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai negara terbaik di peringkat antarabangsa dalam penanaman pokok dan penjagaan alam sekitar. Dua buah sekolah terlibat Life Link Friendship dan MKFC yang terletak di pusat bandar ini, mahu mengetahui lebih dekat penglibatan sepenuhnya pelajar berkenaan dalam aktiviti penanaman pokok, perubahan cuaca dan kajian kualiti air.

Kita semua berharap pengiktirafan dunia terhadap penglibatan pelajar Malaysia itu akan membuka lembaran baru dalam isu alam sekitar. Jemputan ini merupakan satu yang amat istimewa buat peserta negara kerana kemenangan Negara sudah mula mendapat sanjungan dunia,

AKHIRNYA JORDAN PILIHAN ADIK NOR MADIHAH

Nur Madihah pilih Jordan lanjut pelajaran.. Syukur Alhamdulillah!


PETALING JAYA 17 April - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mungkin melanjutkan pengajian dalam bidang fizik di Jordan.

Menurutnya, meskipun dalam dilema membuat keputusan, namun beliau tetap melanjutkan pelajaran di Asia Barat sebagaimana yang dirancang.

"Hati saya kuat mengatakan bahawa Jordan adalah tempat terbaik untuk saya melanjutkan pelajaran.

"Cuma, universiti mana yang menjadi pilihan itu saya tidak pasti sebab ia masih dalam penelitian, mungkin juga boleh sambung di Jordan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Catatan Nik Nur Madihah - Kesusahan Bukan Penghalang Kejayaan di Hotel Royale Bintang di sini semalam.Turut hadir Pengarah Eksekutif Hijjaz Record Publishing, Mohd. Faizal Osman dan Pengarah Urusan Hijjaz Publishing, Ismen Nadim Isam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh bapa Nik Nur Madihah, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, selain turut dihadiri ibunya, Mariani Omar, 42. Menurut Nik Nur Madihah, beliau mungkin melanjutkan pelajaran pada September ini.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita, Nik Mohd. Kamal memberitahu beliau dan keluarganya akan menduduki rumah baru di Taman Perumahan Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa dalam tempoh dua bulan lagi. Katanya, rumah teres satu tingkat pemberian kerajaan negeri itu dianggarkan bernilai RM100,000 itu dan mempunyai tiga bilik. Ia kini telah siap hampir 70 peratus.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pemberian itu, insya-Allah kalau tiada aral, kami sekeluarga akan mendiami rumah baru dalam bulan Jun ini,'' katanya.

Buku Catatan Nik Nur Madihah - Kesusahan Bukan Penghalang Kejayaan merupakan buku kelapan terbitan Hijjaz Record Publishing dan ia dijual pada harga RM25.90 senaskhah.

Bagaimanapun, diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada pengunjung sempena Pesta Buku 2009 yang akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula hari ini.

4.21.2009

Belajar Di Tingkatan 6 : Bukan buang masa

Cerita pasal pendidikan pulak...

JIKA tahun 1970-an dan 80-an, apabila mendapat tawaran ke tingkatan enam selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia ibarat anugerah kerana berpeluang melanjutkan pelajaran lagi.

Malah, pelajar tingkatan enam dianggap senior di sekolah kerana ia tempoh dua tahun terakhir sebelum memasuki institusi pengajian tinggi (IPT). Keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga melayakkan mereka mendapat keutamaan memasuki IPT.

Namun, itu kisah 10 atau 20 tahun lalu. Kini, dengan kebanjiran institusi pengajian tinggi swasta (IPTA), keghairahan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam semakin lesu. Ini ditambah kesukaran memasuki IPT berikutan jumlah pemohonan terlalu banyak, sedangkan kuota untuk menempatkan mereka terhad.

Pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu belajar mata pelajaran yang membebankan tetapi apabila mendapat keputusan STPM, mereka tiada peluang ke IPT. Selain itu, untuk mendapat pekerjaan sukar kerana majikan atau sektor industri gemar mengambil mereka yang berkelulusan SPM.

Pelajar lulusan STPM dikatakan tidak kekal lama kerana mereka mempunyai kelulusan lebih tinggi. Justeru, dengan perkembangan semasa, adakah pembelajaran di tingkatan enam masih relevan atau membuang masa?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, tidak bersetuju belajar di tingkatan enam merugikan dan membuang masa. Beliau berkata, pelajar lepasan SPM yang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam mengambil langkah bijak.

Azam yang juga bekas pelajar tingkatan enam berkata, pelajar yang memilih mengikuti pengajian peringkat diploma di IPTS berbanding tingkatan enam itulah merugikan masa belajar mereka. Dilihat keputusan STPM yang diambil pelajar tingkatan enam, mereka terus mendapat tawaran di peringkat ijazah dan hanya mengambil masa dua tahun.

Jika kegagalan seseorang pelajar STPM dijadikan ukuran dan melabelkan pembelajaran di tingkatan enam membuang masa, itu tidak tepat. Azam yang juga Pengetua Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban berkata, pelajar tingkatan enam mempunyai usaha dan motivasi tinggi untuk berjaya ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masterskill Education Group Berhad, Datuk Edmund Santhara, berkata jika mereka ingin melanjutkan pelajaran di IPTA, melanjutkan pelajaran di tingkatan enam berbaloi.

Katanya, mereka yang ingin mengikuti bidang yang mempunyai kos pengajian mahal seperti perubatan tetapi tidak ditawarkan tempat di IPTA selepas SPM, tingkatan enam adalah tempatnya.

Sumber - METRO

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails