Tempoh pembelajaran Kolej Komuniti lebih singkat...
KUALA LUMPUR 14 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program pengukuhan institusi Kolej Komuniti yang antara lain menggariskan tempoh pembelajaran bagi sembilan sektor di Kolej Komuniti terpilih disingkatkan daripada dua tahun kepada tiga ke enam bulan mulai tahun ini.
Program jangka pendek Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan adalah antara inisiatif yang dirangka untuk pengukuhan institusi Kolej Komuniti selain
melaksanakan program memperkasakan program pembelajaran sepanjang hayat dan mempergiatkan program perantisan.
Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang merangka Program Pemindahan Ilmu antara Kolej Komuniti dan universiti bagi membolehkan hasil penyelidikan di universiti dapat dinikmati masyarakat setempat melalui kolej komuniti.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semasa berucap melancarkan program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini yakin inisiatif itu akan menjadikan kolej komuniti sebagai pemangkin utama kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di negara ini.
Beliau berkata, warga kolej komuniti perlu sentiasa bertindak secara proaktif dalam melakukan inovasi pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, pemantapan struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri. - Bernama
No comments:
Post a Comment