Apa nasib pegawai yang menyokong Pakatan Rakyat...
KUALA LUMPUR, 28 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berpandangan sepatutnya semua pegawai kerajaan dibenarkan aktif berpolitik tanpa kawalan yang ketat.
Justeru, ketua penerangannya, Fadhil Osman berpendapat kebenaran kerajaan terhadap pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk terlibat politik adalah permulaan yang baik namun ia belum memadai.
Katanya, kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam bahawa kerajaan membenarkan pegawai siswazah untuk aktif dalam politik sebenarnya adalah tindakan yang agak lambat bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.
Sepatutnya, kata beliau pegawai kerajaan telah lama diberi kebenaran untuk aktif berpolitik dan memegang mana-mana jawatan politik sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju.
“Hak mengundi dan memilih parti politik mana yang mereka sukai adalah hak individu sejak mereka berusia 21 tahun. Ini adalah hak rakyat Malaysia yang kerajaan tidak boleh nafikan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily
Beliau menambah, berpolitik bukanlah suatu jenayah dan ia tidak menyekat keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.
Menurutnya, menyertai parti-parti politik adalah amalan biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi sihat seperti Malaysia.
Baginya, berpolitik boleh menyuburkan sifat kepemimpinan, sensitif serta peka terhadap isu dan meningkatkan semangat berorganisasi dikalangan pekerja-pekerja.
“Menyertai parti politik tidak akan menjejaskan prestasi kerja dan menimbulkan sikap ekstrem terhadap masyarakat Malaysia,” ujarnya lagi.
Katanya, DPPWP merasakan tindakan untuk meminta kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu adalah suatu tindakan yang tidak wajar.
“Kebenaran ini seolah-olah menyukarkan pegawai kerajaan kerana harus melalui pelbagai peringkat birokrasi,” katanya.
Beliau mempersoalkan bagaimana sekiranya surat permohonan kebenaran pegawai-pegawai kerajaan untuk berpolitik tidak diluluskan.
“Apakah jaminan kerajaan sekiranya permohonan ini ramainya yang datang dari pegawai yang menyokong Pakatan Rakyat?” soalnya.
Justeru, katanya kerajaan tidak perlu meletakkan apa-apa prasyarat pegawai kerajaan menyertai parti politik.
Tambahnya, tindakan boleh diambil sekiranya pegawai tersebut mengabaikan tugasnya namun bukan menyekat rakyat dari menyertai mana-mana parti politik.- Harakahdaily
No comments:
Post a Comment