Bila jari-jemari mula menari……
Apabila matlamat dibenarkan menghalalkan cara, kumpulan politik tertentu sudah sedia membelakangkan adab dan adat budaya. Kini kesabaran politik semakin hilang, terhakis kerana kegelojohan dan kerakusan kuasa.
Selepas tarikh keramat 8 Mac 2008 ketika berlakunya PRU ke-12, kuasa rakyat terjelma tanpa diduga sama sekali oleh pihak pemerintah mahupun di pihak pembangkang ketika itu. Ada pihak menggelarkannya ‘Sunami Politik’.
Namun ‘Sunami Politik’ itu kini masih berlarutan sehingga rakyat resah dan kita gelisah disebabkan banyaknya permainan politik. Mengapakan citra politik di negara kita nampaknya bermacam-ragam? Ada gelombang di dalam parti sesama sendiri dan ada taufan yang melanda antara parti, ciptaan parti berlawanan.
Akibat keterlaluan dan kecelaruan politik, kita telah menyaksikan suatu senario kehidupan bangsa yang haru biru selepas Pilihan Raya Umum ke-12, 2008 lalu. Pelbagai perkara sensitif diungkit puak politik perkauman dan badan-badan bukan kerajaan.
Perkara pokok Perlembagaan dipertikaikan, konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan diperlekehkan dan macam-macam yang menggeramkan perasaan bagi mereka yang menjunjung keluhuran Perlembagaan.
Golongan tertentu masih tidak mahu berubah, mencabar, menyindir dan lebih parah lagi apabila ada pemimpin yang bersedia melakukan apa sahaja demi kuasa, mahu memerintah tetapi tidak dengan cara betul. Matlamat menghalalkan cara.
Kemelut politik yang masih berterusan melanda negeri Perak adalah kemuncak kepada kecelaruan ini. Pelbagai pihak membuat andaian masing-masing termasuk cuba meneka apakah kesudahan episod yang sudah berlarutan lebih tiga bulan bermula dari tarikh 6 Februari lalu dimana Datuk Seri Dr Zambry sebagai Menteri Besar BN menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar.
Sehingga yang terbaru adalah pengistiharan DS Nizar sebagai MB yang sah oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Mei yang lalu telah mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.
Namun Hakim Datuk Ramly Ali telah membenarkan permohonan Zambry di mahkamah rayuan semalam untuk agar ditangguhkan pelaksanaan perintah pengisytiharan itu sehingga kes rayuannya selesai diputuskan oleh mahkamah. Tindakan Mahkamah Rayuan ini dilihat akan memanjangkan pertikaian antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Dan bermula semalam, DS Dr Zambry pula mengambil alih jawatan MB dan memperakukan bahawa dirinya kini adalah MB yang sah. Rakyat semakin pening dan muak dengan senario yang berlaku dan terasa seperti diperbodoh-bodohkan. Bersukurlah wahai pemimpin-pemimpin di Negara ini kerana kesabaran rakyat lah telah menghindar dari berlakunya peristiwa seperti di Negara jiran sehingga lahirnya ‘tentera merah’.
Namun sehingga bilakah mahu menguji kesabaran rakyat dan mempermainkan mereka dengan perebutan jawatan MB yang tiada penghujungnya. Pertikaian yang berpanjangan itu akan menyebabkan rakyat menanggung segala kesan daripada kemelut politik yang berlaku . Dan akhirnya, mengheret jawatan MB ke mahkamah dengan keputusan yang meragukan dan tidak konsisten dilihat akan mencemarkan pandangan rakyat kepada institusi mahkamah di negara ini.
Ingatlah wahai pemimpin-pemimpin politik yang ada di atas sana…. Sesungguhnya kedudukan kalian samada dari parti BN atau PR mahupun parti ‘katak’, adalah anugerah dari rakyat yang memberi penuh kepercayaan dan keyakinan supaya dapat mentadbir negeri dan juga Negara ke mercu kecemerlangan dan kegemilangan, kemakmuran dan kesejahteraan serta ketelusan dan keadilan. Hanya sebuah kerajaan yang stabil akan mampu memastikan hak untuk keamanan dan pembangunan.
Cita-cita murni demi membangunkan negara dan membina bangsa kerap dihambat kecelaruan politik atau akibat terlalu banyak berpolitik. Matlamat mengukuhkan perpaduan, mengekalkan jati diri atau membina keperibadian serta tujuan mengimbangi kehidupan kemanusiaan dan kerohanian agar seimbang antara kemajuan jasmaniah dengan rohaniah sering terencat perjalanannya akibat pemimpin politik asyik bertelagah. Maka benarlah kata-kata orang lama ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’ yang tentunya akan merugikan kita semua.
Kecelaruan politik sudah sampai ke peringkat menjejaskan kepesatan kemajuan ekonomi, kestabilan sosial, keharmonian hidup, keresahan baru dan kepunahan imej negara di mata dunia. Telah tiba masanya pemimpin-pemimpin politik khususnya yang terlibat dalam kancah perebutan kuasa (MB) di negeri Perak seharusnya menyatukan tenaga, berganding bahu berbimbing tangan, melangkah sederap serentak untuk menyelesaikan masalah semasa yang dihadapi Negara.
Sebarang pendekatan yang diambil bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak perlu mengutamakan kepentingan rakyat. Apa-apa keputusan mesti tidak membelakangkan kepentingan rakyat dan sah di sisi undang-undang supaya rakyat tidak berdepan dengan gangguan untuk menjalani kehidupan seperti sediakala kerana pentadbiran tidak dapat di jalankan dan sebagainya.
Jika kita tahu kita adalah bangsa merdeka dan negaranya berdaulat, maka kerukunan hidup rakyat hendaklah sentiasa dijaga dan kita menjadi bangsa yang benar-benar bersatu. Kini rakyat bukannya buta, pekak atau bisu. Mereka sedang melihat, mendengar dan bertutur. Mereka juga adalah hakim kepada proses demokrasi dan kepada siapa kuasa akan diberikan.
Sampai bila???? Cukuplah… Kami dah letih... Kami dah penat... Kami dah muak… kami dah meluat… ! Dengarlah nadi rakyat! Rakyat telah terlalu lama menjadi mangsa dan terhimpit dengan perbalahan yang belum menampakkan kesudahannya. Wahai pemimpin-pemimpin yang katanya rakyat didahulukan, rakyat diutamakan, jangan hanya pandai berkata-kata manis bicara, namun sekadar kata-kata tanpa tindakan yang sewajarnya... hampeh belaka!
Bebaskan rakyat dari belenggu ini………
No comments:
Post a Comment