IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) semalam tidak mengiktiraf perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana tidak mematuhi arahan Speaker, V Sivakumar manakala usul yang diluluskan juga tidak sah.
Nizar yang ditemui pada sidang media selepas persidangan berkenaan berkata, tiada persidangan yang dijalankan semalam apabila hak Sivakumar telah dirampas menggunakan orang luar merupakan tindakan menghina dewan.
“Kami sudah berkumpul tetapi tiada persidangan yang dijalankan. Apa yang terjadi ialah kami cuba pertahankan kesucian (dewan) dan menghormati sumpah yang diangkat agar kemuliaan dewan ini sentiasa terpelihara.
“Tetapi apa yang terjadi hak Speaker telah dinafikan dan arahan beliau tidak diikuti. Tengoklah bagaimana orang luar yang tidak sepatutnya masuk telah mencemarkan dewan ini dengan disokong Barisan Nasional (BN).
“Bagaimanapun kami amat menghormati Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan kami gembira apabila baginda meluahkan hasrat untuk bekerjasama dengan PR pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai usul-usul yang diluluskan dalam persidangan berkenaan, Nizar menjelaskan kesemua usul itu telah ditolak oleh Sivakumar pada Rabu lalu dan ia adalah tidak sah.
“Sivakumar adalah Speaker yang sah. Jika mahu membuang beliau, DUN Perak harus dibuba. Kami akan berbincang dengan peguam kami untuk memikirkan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap BN,” katanya.
Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah secepat mungkin untuk memohon perkenaan baginda agar DUN Perak dibubarkan.
“Kita mahu DUN Perak dibubar, kerana kerajaan sekarang tidak sah," katanya.
Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang, Nizar berkata, pasukan peguamnya akan meneliti soal itu.
Sumber - SINAR Harian
No comments:
Post a Comment