5.18.2009

Tuntutan Guru Bukan Siswazah

Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) berharap kerajaan dapat memberikan perhatian terhadap beberapa tuntutan berkaitan perkhidmatan guru bukan siswazah dan lepasan diploma di sekolah rendah.

Presiden KGGMMB, Mohd. Sabri Mohd. Arshad berkata, apa yang diharapkan oleh guru-guru bukan siswazah sempena sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan di Kuala Terengganu semalam ialah mengenai perubahan skim dan beberapa insentif perkhidmatan membabitkan mereka.

Menurutnya, kerajaan seperti 'tidak bersikap adil' terhadap guru bukan siswazah yang sudah lama berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar apabila hanya mengumumkan kelulusan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan Guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah dan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP siswazah di sekolah rendah.

''Nampaknya, belum kesampaian lagi tuntutan yang kesatuan perjuangkan sejak sekian lama dan berharap kerajaan prihatin dengan menyegerakan keputusan dalam masa terdekat ini,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sabri, nasib kira-kira 80 peratus guru bukan siswazah dan lepasan diploma khususnya yang sudah memasuki perkhidmatan cukup lama dan mencapai status gaji hakiki, belum mendapat pembelaan sewajarnya.

''Sedangkan mereka ini yang banyak menabur bakti mendidik anak bangsa dan bergiat aktif dalam kemasyarakatan di sekolah pedalaman dan luar bandar,'' katanya.

Mohd. Sabri berkata, antara perkara yang sudah lama dituntut oleh KGGMMB dan kesatuan guru lain ialah kenaikan Guru Besar dan Penyelia di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) kepada Gred DGA36, manakala Guru Penolong Kanan DG32 dinaikkan ke Gred DGA34.

''Kenaikan gred ini amat setimpal dan relevan berasaskan beban tugas dan perkhidmatan di samping menjarakkan perbezaan gaji yang agak ketara antara Guru Besar dengan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah,'' katanya.

Selain itu katanya, tuntutan lain melibatkan perubahan Elaun Khas dan Elaun Keraian Guru Besar yang sepatutnya dimasukkan ke dalam slip gaji dan diselaras antara setiap negeri.

''Pihak kesatuan masih menaruh harapan agar kerajaan dapat menyelesaikan tuntutan kesatuan ini bagi membela nasib guru bukan siswazah dan lepasan diploma agar mereka juga boleh menikmati kehidupan lebih selesa seperti rakan di kalangan guru siswazah, sesuai dengan kedudukan ekonomi dan cabaran kehidupan pada hari ini,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails