5.12.2009

RENTETAN PENGUMUMAN DS NIZAR MB YANG SAH

Suara hati rakyat...

Selapas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah bagi negeri Perak petang tadi, banyak peristiwa yang berlaku rentetan dari pengumuman tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim juga mengarahkan supaya beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak serta mengarahkan Dr Zambry Abdul Kadir, enam exco beliau mengosongkan jawatan mereka.

Antara peristiwa yang berlaku selepas keputusan mahkamah :

1. DS Nizar Mohon Bubar DUN
Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah telah berkenan menerima mengadap DS Nizar yang diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
DS Nizar akan mengadap Raja Nazrin Shah jam 8.30 pagi esok untuk memohon pembubaran Dun Negeri Perak untuk memberi laluan kepada pilihanraya negeri.

Nizar perlu mendapatkan persetujuan baginda bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihanraya negeri yang baru. Bagaimanapun difahamkan sultan Perak, Raja Azlan Shah kini berada di Amerika.

2. Dr Zambry Di Arah Segera Kosongkan Pejabat
DS Nizar juga akan cuba memasuki pejabatnya di Bangunan SUK yang kini telah dikawal ketat oleh polis sejak jam 4.00 petang tadi. Sementara Dr Zambry telah bersetuju untuk mengemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat secepat mungkin.

3. BN Mempunyai Kelebihan Kursi ‘Bebas’
Bagaimanapun, BN masih mempunyai kelebihan di Dewan Undangan Negeri. Manakala mahkamah tidak mengiktiraf pelantikan Zambry sebagai menteri, tetapi pelantikan Speaker baru DUN Perak, Datuk R Ganesan adalah masih sah.

Ekoran itu, Ganesan boleh memanggil sidang khas DUN di mana usul tidak percaya oleh dikemukakan terhadap Nizar.

Dengan sokongan '28 + 3' ADUN, berbanding 28 ADUN Pakatan, BN tidak menghadapi masalah untuk meluluskan usul tersebut.

4. Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah
Dalam masa yang sama pihak UMNO-BN akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Kita sama-sama tunggu jalan cerita seterusnya.....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails