Naib Presiden UMNO mula bersuara tentang PPSMI tapi nampak canggung..
Kerajaan tidak menolak dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau menerima dasar itu bulat-bulat, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata sebarang keputusan nanti mengambil kira pelbagai aspek dan kementerian juga menetapkan beberapa cadangan dalam kertas kerja dasar itu yang kini dalam peringkat akhir untuk diluluskan oleh jemaah menteri.
Datuk Seri Hishammuddin berkata cadangan yang akan dibentangkan kepada kabinet antaranya:
i. menggunakan Bahasa Melayu bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah, atau
ii. menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda bagi mata pelajaran tersebut di sekolah rendah dan menengah.
"Alternatif lain ialah bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah sendiri, penggunaan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan Bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah," katanya.
Tambahnya, apa jua keputusan yang akan diumumkan nanti, empat perkara utama akan diambil kira iaitu kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan terus dimartabatkan, selain penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar akan diperkasakan.
Merujuk kepada petikan berita di atas, nampaknya pihak kerajaan melaui Menteri Pelajaran akan membuat cadangan yang akan dibentangkan kepada kabinet. Nampaknya sudah ada tindakan awal dari pihak kementerian. Wak rasakan hanya cadangan yang kedua memenuhi perjuangan GMP dengan tambahan ia dipanjangkan diperingkat IPT.
Namun apa yang kita lihat di sini tindakan kementerian masih juga ingin mengekalkan PPSMI dengan beberapa alternative yang disediakan amatlah meragukan. Perlaksanaan PPSMI dengan adanya pilihan yang ditentukan oleh pihak sekolah sendiri sebenarnya mengucar kacirkan sistem pendidikan itu sendiri.
Tuntutan GMP untuk kembali semula kepada sistem pembelajaran yang lama hanya Berjaya pada tahun satu hingga tiga dimana ia menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda. Namun untuk tahun empat hingga enam menggunakan dwibahasa yang mana inilah sebenarnya yang telah terjadi kepada perlaksanaan PPSMI bermula tahun 2003.
Wak tak dapat bayangkan apa akan terjadi seterusnya apabila penggunaan Bahasa Ingeris sepenuhnya di sekolah menengah. Kita lihat sahaja kesannya sekarang ini di mana PPSMI dilaksanakan bermula pada tahun satu hingga enam. Tak taulah apa nak jadi dengan nasib anak-anak bangsa kita dan nampaknya tetap terpinggirlah Bahasa Melayu di buminya sendiri. Pada dasarnya pihak kerajaan masih lagi berdegil ingin meneruskan PPSMI.
Kalaulah tindakan seperti ini yang diambil oleh pihak kementerian pelajaran dalam mendengar suara rakyat… Nampak gayanya GMP harus meneruskan perjuangan melalui medan politik. Dan yang terdekat adalah di dua ‘Bukit’ dan satu ‘Batang’. Seperti yang telah Wak katakan, Wak ingin menyuarakan suara hati tanpa ada pengaruh politik, namun dalam isu PPSMI, Wak akan terus menyokong pihak yang ingin memartabatkan Bahasa melayu dan Bangsa Melayu…
No comments:
Post a Comment