4.29.2009

SELSEMA BABI MENGHAMPIRI NEGARA KITA

Selesema babi merebak ke 16 negara..

Wabak selesema babi semakin merebak dan kes disahkan atau disyaki dilapor di 16 buah negara termasuk di Eropah dan Asia. Kematian meningkat kepada 152 semalam berbanding 149 orang kelmarin.

Satu kes disyaki di Thailand, dua lagi di Singapura.Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan aras amaran dari tahap tiga kepada empat.

Persoalannya sekarang.. adakah negara kita masih selamat dari wabak ini? Bagaimana pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di ladang-ladang ternakan babi di Melaka dan Selangor serta tempat-tempat yang ada menternak babi. Jangan sekadar lepaskan batuk di tangga...

Walaupun tidak terdapat lagi kes selsema babi ini merebak di kawasan penternakan babi namun sebagaimana kita ketahui wabak ini salah satunya berpunca dari binatang yang bernama babi.

Sebagaimana kita telah ketahui isu babi telah lama menjadi masalah di negeri Melaka dan kerajaan negeri sentiasa bersikap bahawa ternakan babi hanyalah untuk keperluan dalam negeri dan bukannya untuk tujuan eksport. Oleh sebab itu, kerajaan Melaka sentiasa memastikan jumlah ternakan tidak melebihi had yang telah ditetapkan iaitu antara 45,000 hingga 60,000 ekor sahaja. Manakala kawasan ternakan yang dibenarkan hanyalah di kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

Namun begitu ada sesetengah pihak yang bersikap degil dan terus menternak babi di luar kawasan Paya Mengkuang manakala jumlahnya sehingga mencapai ratusan ribu ekor yang menyebabkan berlakunya pencemaran air dan udara di kawasan berkenaan. Hal ini sudah pasti tidak disenangi oleh kaum Melayu yang tinggal di kawasan tersebut sejak sekian lama. Adakah perlaksanaan penguatkuasaannya telah benar-benar dilaksanakan di negeri Melaka...

Apa cerita usaha kerajaan Selangor untuk membina ladang ternakan babi secara moden di Sepang? Adakah projek tersebut telah dilaksanakan atau hanya sekadar berada di atas kertas. Bagaimana pula pemantauan oleh pihak berkuasa di Selangor dalam mengawal ternakan babi ...

Apa yang kita harapkan semoga peristiwa wabak JE yang menyerang Bukit Pelanduk nageri Sembilan yang banyak mengorbankan nyawa termasuk mereka yang tiada kaitan langsung dengan binatang yang bernama babi ini tidak akan berulang kembali.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan awal seiring dengan langkah kerajaan dalam menangani penyebaran wabak ini di negara kita dan bukan hanya menunggu laporan tentang penyebaran wabak ini baru terkial-kial untuk mengambil tindakan itu dan ini. Dan akhirnya nanti akan kita dengar dendangan semula lagu kanak-kanak 'Bangau Oh Bangau'.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails