4.12.2009

PILUNYA HATI SEORANG IBU

Salah siapa...

Penderaan orang awam berlaku lagi setelah kita dipaparkan dengan kes A. Kugan yang masih lagi menjadi sebutan kebanyakkan rakyat Malaysia. Imej polis Malaysia terus tercemar. Mereka yang terlibat sepatutnya merasa malu dengan uniform yang mereka pakai kerana setiap gaji dan elaun yang mereka terima adalah datang dari duit rakyat! Kita tunggulah apakah reaksi Datuk Hishamudin Tun Hussin sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

Bayangkan perasaan hati seorang ibu melihat anak terlantar tidak sedarkan diri di hospital. Tentunya disudut hati ibu ini seribu pertanyaan… Apakah salah anakku…? Apakah dosa yang dilakukan hingga disiksa sebegini…. Runtun hati melihat apa yang terjadi terhadap pemuda ini yang mana tentunya menjadi harapan kepada ibu, isteri dan anak yang baru berusia tiga bulan...

Sama-samalah kita berdoa agar ibu ini tabah dalam menerima ujian dariNya. Kita juga berdoa agar pemuda ini di berikan kesejahteraan dan kesihatannya semula… Amin! Namun dalam apa kedudukan sekalipun, kebenaran dan keadilan harus ditegakkan…..

Ibu Adi Anwar Mansor, 23, telah membuat aduan terhadap polis yang didakwanya memukul anaknya sewaktu dalam tahanan. Jiknah Harun, 49, mendakwa anaknya telah ditendang di bahagian belakang, dipukul di belakang kepala, dan dibelasan dengan getah air sehingga dia tidak mampu lagi menahan kesakitannya.

Jiknah, seorang surirumah, membuat dakwaan tersebut dalam aduan yang dibuatnya di ibupejabat polis Klang pagi tadi. Dalam aduan tersebut, Jiknah juga mempertikaikan dakwaan OCPD Klang, Mohamad Mat Yusof bahawa Adi Anwar mengalami kecederaan ketika bergelut sewaktu dia ditangkap.

Menurut Jiknah, jika betulnya anak itu cedera, mengapa dia tidak terus dibawa ke hospital. Beliau diiringi oleh peguam N Surendran ketika datang membuat aduan polis pagi tadi. Dalam aduannya, Jiknah juga menggesa supaya ditubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat kes tersebut, tanpa campurtangan polis Klang kerana anggotanya didakwa memukul Adi Anwar.

Jiknah juga berkata beliau mahu mendapat keadilan untuk anaknya dan tindakan tegas diambil terhadap anggota polis yang didapati bersalah mencederakan anaknya itu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Jiknah berkata beliau berharap pihak polis akan membebaskan Adi Anwar secepat mungkin supaya dia dapat bertemu dengan anak perempuannya yang baru berusia tiga bulan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails