4.13.2009

ISU IBU BAPA MOGOK DAH SELESAI

Ragam sekolah...

Bila baca berita ‘Ibu bapa mogok bantah pertukaran guru besar ‘ di Malaysiakini Wak tersenyum sendiri. Bukan apa… teringatkan peristiwa masa kat sekolah (SMVKK) .. kalau tak silap tahun 1999. Dalam peristiwa yang bersejarah itu, kami ramai-ramai (lebih kuran 30 orang guru) pergi ke JPT (time tu kat Damansara) jumpa pengarah mengadu masalah sekolah kami.

Panjang ceritanya…. Dalam entri ini Wak bukan nak cerita pasal apa kita orang pergi ke JPT. Tapi Wak nak sama-sama kita fikirkan apa agaknya ‘resepi’ yang di guna oleh guru besar tersebut sehingga ibu bapa sanggup mogok.. tak mau hantar anak ke sekolah semata-mata kerana guru besar itu dipindahkan. Sayang betul ibu bapa terhadap guru besar …. Bertuah sungguh guru besar tuu..

Apa yang pernah berlaku kat Wak sendiri, bila ada pengetua ditukarkan, ada cikgu yang buat kenduri. Biasalah asam garam kehidupan kakitangan kerajaan… Dalam sesuatu keadaan memang akan ada orang suka kat kita dan tak kurang yang membenci kita.

Ibu bapa di sebuah sekolah kebangsaan di Sabah melancarkan mogok tidak membenarkan anak-anak mereka ke sekolah kerana membantah pertukaran guru besar sekolah berkenaan.

Ia berlaku di Sekolah Kebangsaan Pulau Mantani, di Kota Belud apabila rayuan untuk mengekalkan guru besar, Sabli Nanti yang tidak dipertimbangkan oleh Jabatan Pelajaran Sabah.

Sabli diarah bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud sebagai penyelia sekolah menengah. Ekoran itu mereka melancarkan mogok tidak membenarkan anak-anak ke sekolah, sehinggalah pada satu masa kehadiran hanya dua orang sahaja daripada 136 orang murid-murid, bermula 2 Mac lalu.

Bagaimanapun, ia berjaya diselesaikan melalui majlis permuafakatan yang diadakan di dewan sekolah berkenaan Jumaat lalu. Penolong Pengarah Pelajaran Sabah, Bongsu Gaga berkata ibu bapa telah memberi jaminan bahawa mereka akan menghantar semula anak ke sekolah mulai esok.

"Kita gembira isu ibu bapa mogok tidak hantar anak ke sekolah sudah selesai. Kita berterima kasih kepada mereka yang memberi jaminan kepada Jabatan Pelajaran Sabah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud bahawa kehadiran seratus peratus pada Isnin ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Bongsu menjelaskan bahawa Sabli tidak layak lagi berkhidmat di sekolah berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) itu kerana beliau dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34. Menurutnya, Sabli hanya layak berkhidmat sebagai guru besar di sekolah gred A dan B atau menjawat jawatan penyelia pelajaran daerah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails