4.29.2009

CUKAI LHDN ATAU BAYAR ZAKAT.....

Tinggal satu hari lagi...

Esok adalah hari terakhir untuk individu pemastautin dan bukan pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan untuk menghantar borang cukai pendapatan masing-masing termasuklah orang gomen seperti Wak ni. 30 April 2009 adalah hari terakhir untuk mengembalikan borang cukai pendapatan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia(LHDNM).

Cukai pendapatan adalah bayaran wajib yang dikenakan oleh Kerajaan ke atas penduduk sesebuah Negara yang layak. Ia dikira berdasarkan pendapatan bercukai yang mana sekiranya ia besar maka peratusan yang dikenakan cukai juga besar.

Cara yang paling mudah untuk mengembalikan borang cukai pendapatan adalah dengan menggunakan perkhidmatan e-filing. Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menggunakan perkhidmatan e-filing ini adalah mendapatkan Sijil Digital dan mendaftarkannya.

Apabila sudah dapat nombor pin ini, ianya perlu didaftarkan di laman web LHDNM pada bahagian Login Kali Pertama. Langkah seterusnya ialah dengan memasuki Login e-Borang dan memilih jenis borang yang berkaitan. Maklumat yang perlu diisi semuanya mudah difahami malah jika perlu, Panduan Pengguna e-Filing ada disediakan.

Cukai pendapatan dah selesai…. Macamana pulak tanggungjawab untuk mengeluarkan zakat pendapatan???



Aduh pak! Bisa gawat nih…Sedar tak sedar kita cuma terdedah dengan zakat fitrah sahaja. Sedangkan zakat yang wajib ada banyak lagi. Zakat harta, zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat-zakat lain yang sepatutnya dibayar. Paling kita lali, ialah zakat pendapatan.

Dalam entri kali ini .. Bukan saja Wak nak bercerita pasal cukai pendapatan tapi cuba nak berkongsi tentang zakat … Sudahkah kita sebagai umat Islam menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat… Zakat pendapatan. Ramai dikalangan kita tersasar kefahaman tentang cukai dan zakat pendapatan. Ada di antara teman-teman Wak merasakan bila dah bayar cukai pendapatan maka telah beres urusan bayaran zakat pendapatan.

Zakat pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional/kakitangan awam termasuk semua jenis elaun. Ini berbeza dengan cukai pendapatan yang hanya mengira pendapatan pokok tidak termasuk elaun-elaun yang lain seperti elaun rumah, elauan khidmat awam dan elaun kola.

Kita lihat pada matlamat zakat yang secara tersirat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak: pemberi dan penerima. Zakat dapat memurnikan hati pemberi dan memberikan keberkatan pada hartanya. Zakat juga dapat mengeluarkan golongan yang miskin dan lain-lain asnaf daripada bebanan masalah yang menghambat mereka.

Tidak perlulah kita merasa gundah gulana atau risau jika gaji yang diterima tidak mencukupi untuk keperluan bulanan . Sistem zakat tidak menzalimi umat Islam. Malah bertujuan untuk membantu umat Islam. Semakin lama kita mendalami hukum zakat, semakin kagum dengan kebijaksanaan Allah s.w.t. Apa tidaknya, zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang hartanya melebihi keperluan.

Penjelasan dalil:

Dari surah Al-Baqarah (2:267), firman Allah s.w.t. :

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu”

Allah menjelaskan bahawa segala hasil usaha yang baik itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam 'hasil usaha' yang wajib dizakat.

Perkembangan terkini di pusat-pusat zakat di Malaysia pula, kita diberikan pilihan untuk membuat pengiraan zakat sama ada pendapatan x 2.5% atau pendapatan - belanja dibenarkan x 2.5% atau yang ketiga, pendapatan - belanja sebenar x 2.5%. Tentunya ramai yang akan memilih kaedah ketiga dan terlepaslah mereka dari dikenakan zakat. Pokok pangkalnya, jangan tepuk dada tanya selera, tapi… bertafakurlah sejenak tanya di tahap mana iman kita.

Apabila kita telah membayar cukai pendapatan sekali pun, zakat pendapatan masih wajib dikeluarkan. Untuk itu bertukarlah kepada potongan zakat melalui gaji… Kalau boleh buat pengiraan zakat pendapatan terlebih dahulu. Andainya cukai pendapatan yang kita kira tu lebih dari bayaran zakat yang dikenakan, tambah je bayaran zakat mengikut kadar bayaran cukai pendapatan yang kita kira tadi.

Kalau bayaran zakat pulak yang lebih dari bayaran cukai pendapatan, anggaplah tu sebagai sedekah. Apa yang pasti bayaran zakat lebih menyucikan pendapatan dan juga harta serta memberikan lebih keberkatan.

Kita tidak perlu ragu dan bimbang apabila membayar zakat pendapatan… sebab Allah telah menjamin bahawa apa yang kita keluarkan itu Allah akan ganti balik dengan pelbagai cara dan yang pentingnya 'keberkatan'…. Zakar penyubur dan pengembang harta!

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud :

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanja-kan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tang-kai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Untuk itu mulalah mengira zakat pendapatan dan untuk mudah buat pemotongan gaji untuk tahun 2009...(Bayaran zakat yang dibuat pada tahun ini, akan mendapat rebat untuk bayaran cukai pendapatan 2009).

Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails