4.08.2009

KEMENANGAN PEJUANG-PEJUANG GMP & PENCINTA BAHASA IBUNDA

Hikmah disebalik PRK... 2 Bukit dan 1 batang...

Tahniah kepada PAS kerana menang di Bukit Gantang…
Tahniah kepada PKR kerana menang di Bukit Selambau…
Tahniah kepada BN kerana menang di Batang Ai… (Saguhati untuk PM yang baru)

Kejayaan Pakatan Rakyat mengekalkan kerusi parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau dengan pertambahan majoriti membuktikan penolakan berterusan rakyat terhadap BN walaupun pilihanraya umum sudah setahun berlalu.

Kemenangan itu juga menunjukkan rakyat Malaysia masih belum memaafkan BN walaupun Umno menjadi tulang belakang gabungan itu dan negara sudah bertukar kepemimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pilihan raya kecil ini banyak isu yang dipertaruhkan. Wak hanya ingin membicarakan tentang kemenangan ini dari sudut kemenangan bagi pejuang-pejuang Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan seluruh pencinta bahasa ibunda. Jika diperhatikan dari bermulanya penamaan calon di dua Bukit, foto Sasterawan Negara merayau-rayau dalam bentuk banting, banner dan juga t-shirt sebagai ikon menentang PPSMI. Ini bermakna mereka semua menentang dasar yang dibawa oleh UBN yang dilihat berkeras mahu meneruskan PPSMI.

Pak Samad dan semua pejuang-pejuang dalam GMP menjadi lambang kehendak mengembalikan dasar Bahasa Melayu dalam pendidikan disemua peringkat mesti dikembalikan kepada dasar yang lama sebelum terlaksananya PPSMI secara ‘ad-hock’. Wak yakin bahawa isu PPSMI adalah salah satu faktor yang membantu swing undi BN kepada PR, baik di Bukit Gantang mahupun di Bukit Selambau.

Sayu hati bila diberitahu bahawa pejuang-pejuang bahasa ini sanggup turun padang di dua bukit dan respon para hadirin yang mendengar ceramah SN Dato' A Samad Said dan bacaan sajak Dinsman di Taman Ria Sungai Petani sungguh memberangsangkan. Mereka memang menentang PPSMI dan penghinaan terhadap status Bahasa Melayu yang dilakukan oleh UMNO. Manakala di Air Kuning, Bukit Gantang, diberitakan bahawa respon hadirin kepada ceramah anti PPSMI oleh bekas presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Cikgu Nordin.

Tunggulah apa pendirian Perdana Menteri yang baru, yang katanya mahu membawa perubahan besar-besaran. Adakah mesej yang disampaikan oleh rakyat melalui keputusan PRK di dua bukit ini yang membuktikan penolakan rakyat terhdap PPSMI akan diambil kira? Penolakan pejuang-pejuang bahasa dan juga seluruh rakyat yang cintakan bahasa ibunda adalah penolakan secara total, bukan terpilih sebagaimana yang dicatat dalam media.

Andainya pihak kerajaan yang mempunyai kuasa melalui Kementerian Pelajaran benar-benar mahu mendengar suara rakyat, inilah masanya. Jika pihak kerajaan berdegil untuk mengekalkan PPSMI lantaran menerima rasukan dari ‘kuda tua’ yang menjadi pengasas PPSMI, lihatlah gelombang rakyat, khsusnya orang-orang Melayu. Hal ini bukan permainan politik, tetapi citra dan maruah bangsa Melayu. Mahu atau tidak, melalui jalan politik sahajalah pejuang-pejuang bahasa meluahkan perjuangan yang belum selesai. Itulah sebabnya Pak Samad yang sudah renta, sanggup menggagah diri untuk mengangkat citra bangsa Melayu.

Moralnya dari keputusan PRK di dua bukit ini membuktikan kemenangan bagi pihak pejuang-pejuang bahasa dan seluruh rakyat yang cintakan Bahasa Ibunda. Jika UMNO yang mempunyai kuasa masih mahu menguji rakyat dan masih tidak mahu mengembalikan dasar bahasa penghantar kepada keadaan sebelum 2003, isu PPSMI pasti akan membawa padah besar kepada kerajaan BN dalam PRU-13 nanti.

Nota : Terima kasih dan tahniah kepada semua pejuang-pejuang bahasa… Kemenangan di dua bukit ini cukup bermakna. Teruskan perjuangan kepada seluruh rakyat yang menyokong GMP… Suara rakyat suara keramat!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails