Nilai sebatang rokok...
Ketika Wak minum bersama teman-teman pagi tadi, Wak terpandang kotak rokok dengan versi yang baru. Kotak rokok dihiasi dengan gambar berwarna kesan dari bahayanya menghisap rokok.
Wak sempat bertanya kepada teman yang duduk kat sebelah.. “ Apa perasaan bila menghisap rokok terpandang gambar di kotak rokok tuuu...”
Teman Wak menjawa “alah... dah biasa la Wak.. tengokpun tak rasa apa”
Sebab itu paparkanlah gambar apa pun pada kotak rokok, belum tentu hati mereka akan terusik jauh sekali mahu 'bertaubat' daripada terus menjadi perokok. Mereka tidak pernah kisah jauh sekali berasa gerun akan status kesihatan sendiri.
Jumlah perokok yang berhenti daripada tabiat tersebut juga tidak ramai. Jika ada pun perhentian mereka bermusim. Pantang ternampak kepulan asap rokok, ketagihan untuk menyedut gabungan pelbagai bahan itu kembali menggila. Lantas gambar-gambar ngeri hanya menjadi hiasan kotak rokok.
Realitinya, arahan supaya syarikat pengeluar rokok memaparkan gambar-gambar ngeri pada kotak pembungkus ada matlamatnya. Hasrat murni yang mengiringi arahan tersebut adalah supaya perokok-perokok sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tabiat buruk itu.
Pasti terlintas di fikiran pihak yang mengeluarkan arahan bahawa jika orang biasa tidak sanggup menatap gambar paru-paru rosak, barah mulut, barah leher, janin rosak dan bayi cacat, perokok juga pasti akan berasa kengerian sedemikian.
Paparan gambar itu juga dilengkapi dengan kesan warna yang sememangnya mengerikan dan meloyakan kepada sesiapa saja yang melihatnya. Tentunya akan ada timbul sedikit keinsafan di kalangan mereka tentang betapa buruk dan teruknya akibat daripada tabiat merokok.
Jika diikutkan logik akal, manusia mana yang sanggup membiarkan organ dalaman mereka rosak atau cacat sehingga membawa kepada kematian hanya kerana nikmat 'asap.' Tetapi itu hanya kesimpulan manusia normal yang tahu menilai harga serta nilai organ yang setiap satu diciptakan Tuhan lengkap dengan fungsi masing-masing.
Tentunya manusia normal tidak mahu membiarkan organ-organ yang membantu mereka menyedut udara dan menjalani hidup dengan selesa dimusnahkan dengan sengaja. Pastinya juga sebagai manusia normal juga terutamanya bagi kaum lelaki tidak sanggup melihat zuriat mereka cacat atau hasrat menimang cahaya mata kecundang akibat janin tidak sempurna gara-gara tabiat merokok.
Tetapi itu ketakutan serta kegerunan manusia normal yang celik mata, tajam otak serta peka telinga untuk menyerap maklumat tentang betapa bahayanya jika bergelar perokok. Lantas kumpulan normal itu berusaha mengelak daripada menjadi hamba batang-batang rokok yang setiap satu menawarkan 'zat' serta 'vitamin' pemusnah yang bukan sedikit.
Wak teringat kenyataan yang dibuat oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu Kota Bharu, Kelantan. Beliau berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.
Berkata Tuan Guru lagi, amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan. Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).
Ada pihak yang pro dan kontra dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar kelantan ini. Ada yang rasa terhina. Namun apa yang pentingnya kita perlu berfikir secara positif. Bagi pandangan Wak, tujuan Tuan Guru mengeluarkan kenyataan tersebut bukannya berniat untuk menyisihkan atau menghina mana-mana perokok, tetapi itu sebagai nasihat dan peringatan kepada perokok. Wak percaya agak susah untuk berhenti merokok, tapi cubalah berusaha kearah itu. Semoga teman-teman berjaya!! Usaha tangga kejayaan...
lagi info tentang barah mulut kat sini - FAQ on Swine Flu
ReplyDelete