4.21.2009

Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO

Susulan titah Sultan Perak...

Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO walaupun ia bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dapat diwujudkan di negeri ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meminta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah terbaik ke arah mencapai kestabilan politik itu.

''Sultan Perak, Sultan Azlan Shah perlu mengembalikan kuasa kepada rakyat dengan membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

''Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO sebaliknya UMNO yang perlu bekerjasama dengan Pas untuk memastikan kestabilan politik di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahukan para pemimpin yang mewakili kumpulan parti politik berbeza mencari titik pertemuan dan kaedah kerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri mendakwa, amalan demokrasi raja berperlembagaan ialah Sultan perlu mengembalikan hak kepada rakyat untuk membuat penentuan menerusi pembubaran DUN dan pilihan raya negeri.

Ditanya mengenai teguran Sultan Perak terhadap kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemarkan institusi diraja, katanya, Pas tidak pernah mengajak rakyat untuk mencetuskan huru-hara.

''Yang mencetuskan huru-hara itu adalah provokasi daripada UMNO sendiri yang menyuruh polis membuat sekatan dan sebagainya. Pakatan pembangkang tidak pernah mengajak rakyat bergaduh dan kita tidak mahu huru-hara berlaku demi kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Sumber : UTUSAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails