4.30.2009

DOA UNTUK MENGELAK SEGALA WABAK

Mudah-mudahan kita semua dilindungi dari wabak selsema babi ...



Sumber dari http://hjmohdmurtadza.blogspot.com

PENANTI : PAKATAN RAKYAT DAH MULA GOYANG

'Pakatan Rakyat' dah mula tak berpakat...

Pemuda PAS Pulau Pinang tetap mahu meletakkan calon mereka dalam pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini.

Ketuanya, Mohd Hafiz Mohd Nordin berkata satu perbincangan dengan presiden parti berhubung hal itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

"Ini adalah permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu.

"Pemuda sendiri telah mempunyai calon yang sesuai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Mohammad Fairus Khairuddin.

Mohd Hafiz berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan yang dibuat antara PAS dengan Penasihat PKR itu berhubung calon Pemuda PAS yang turut akan bertanding di DUN Penanti.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar - 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

Sumber - Malaysiakini

4.29.2009

CUKAI LHDN ATAU BAYAR ZAKAT.....

Tinggal satu hari lagi...

Esok adalah hari terakhir untuk individu pemastautin dan bukan pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan untuk menghantar borang cukai pendapatan masing-masing termasuklah orang gomen seperti Wak ni. 30 April 2009 adalah hari terakhir untuk mengembalikan borang cukai pendapatan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia(LHDNM).

Cukai pendapatan adalah bayaran wajib yang dikenakan oleh Kerajaan ke atas penduduk sesebuah Negara yang layak. Ia dikira berdasarkan pendapatan bercukai yang mana sekiranya ia besar maka peratusan yang dikenakan cukai juga besar.

Cara yang paling mudah untuk mengembalikan borang cukai pendapatan adalah dengan menggunakan perkhidmatan e-filing. Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menggunakan perkhidmatan e-filing ini adalah mendapatkan Sijil Digital dan mendaftarkannya.

Apabila sudah dapat nombor pin ini, ianya perlu didaftarkan di laman web LHDNM pada bahagian Login Kali Pertama. Langkah seterusnya ialah dengan memasuki Login e-Borang dan memilih jenis borang yang berkaitan. Maklumat yang perlu diisi semuanya mudah difahami malah jika perlu, Panduan Pengguna e-Filing ada disediakan.

Cukai pendapatan dah selesai…. Macamana pulak tanggungjawab untuk mengeluarkan zakat pendapatan???



Aduh pak! Bisa gawat nih…Sedar tak sedar kita cuma terdedah dengan zakat fitrah sahaja. Sedangkan zakat yang wajib ada banyak lagi. Zakat harta, zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat-zakat lain yang sepatutnya dibayar. Paling kita lali, ialah zakat pendapatan.

Dalam entri kali ini .. Bukan saja Wak nak bercerita pasal cukai pendapatan tapi cuba nak berkongsi tentang zakat … Sudahkah kita sebagai umat Islam menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat… Zakat pendapatan. Ramai dikalangan kita tersasar kefahaman tentang cukai dan zakat pendapatan. Ada di antara teman-teman Wak merasakan bila dah bayar cukai pendapatan maka telah beres urusan bayaran zakat pendapatan.

Zakat pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional/kakitangan awam termasuk semua jenis elaun. Ini berbeza dengan cukai pendapatan yang hanya mengira pendapatan pokok tidak termasuk elaun-elaun yang lain seperti elaun rumah, elauan khidmat awam dan elaun kola.

Kita lihat pada matlamat zakat yang secara tersirat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak: pemberi dan penerima. Zakat dapat memurnikan hati pemberi dan memberikan keberkatan pada hartanya. Zakat juga dapat mengeluarkan golongan yang miskin dan lain-lain asnaf daripada bebanan masalah yang menghambat mereka.

Tidak perlulah kita merasa gundah gulana atau risau jika gaji yang diterima tidak mencukupi untuk keperluan bulanan . Sistem zakat tidak menzalimi umat Islam. Malah bertujuan untuk membantu umat Islam. Semakin lama kita mendalami hukum zakat, semakin kagum dengan kebijaksanaan Allah s.w.t. Apa tidaknya, zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang hartanya melebihi keperluan.

Penjelasan dalil:

Dari surah Al-Baqarah (2:267), firman Allah s.w.t. :

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu”

Allah menjelaskan bahawa segala hasil usaha yang baik itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam 'hasil usaha' yang wajib dizakat.

Perkembangan terkini di pusat-pusat zakat di Malaysia pula, kita diberikan pilihan untuk membuat pengiraan zakat sama ada pendapatan x 2.5% atau pendapatan - belanja dibenarkan x 2.5% atau yang ketiga, pendapatan - belanja sebenar x 2.5%. Tentunya ramai yang akan memilih kaedah ketiga dan terlepaslah mereka dari dikenakan zakat. Pokok pangkalnya, jangan tepuk dada tanya selera, tapi… bertafakurlah sejenak tanya di tahap mana iman kita.

Apabila kita telah membayar cukai pendapatan sekali pun, zakat pendapatan masih wajib dikeluarkan. Untuk itu bertukarlah kepada potongan zakat melalui gaji… Kalau boleh buat pengiraan zakat pendapatan terlebih dahulu. Andainya cukai pendapatan yang kita kira tu lebih dari bayaran zakat yang dikenakan, tambah je bayaran zakat mengikut kadar bayaran cukai pendapatan yang kita kira tadi.

Kalau bayaran zakat pulak yang lebih dari bayaran cukai pendapatan, anggaplah tu sebagai sedekah. Apa yang pasti bayaran zakat lebih menyucikan pendapatan dan juga harta serta memberikan lebih keberkatan.

Kita tidak perlu ragu dan bimbang apabila membayar zakat pendapatan… sebab Allah telah menjamin bahawa apa yang kita keluarkan itu Allah akan ganti balik dengan pelbagai cara dan yang pentingnya 'keberkatan'…. Zakar penyubur dan pengembang harta!

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud :

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanja-kan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tang-kai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Untuk itu mulalah mengira zakat pendapatan dan untuk mudah buat pemotongan gaji untuk tahun 2009...(Bayaran zakat yang dibuat pada tahun ini, akan mendapat rebat untuk bayaran cukai pendapatan 2009).

Wallahu'alam...

MELUCUTKAN JAWATAN SPEAKER DUN TINDAKAN LUAR BIASA

Usul untuk melucutkan V. Sivakumar dari jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak merupakan insiden pertama dalam sejarah Malaysia dan satu tindakan yang luar biasa.

Pejabat Setiausaha Dewan Negeri Perak telah menerima satu usul untuk melucutkan V Sivakumar dari jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Usul tersebut dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan disokong oleh ADUN Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman.

Semua ini menunjukkan bahawa BN telah bertindak sewenang-sewenangnya dan dalam keadaan terdesak bagi mendapatkan semula kuasa mutlak jawatan seorang speaker DUN. Di tambah lagi dalam keadaan Dr. Zambry sebagai menteri besar Perak yang sah masih lagi belum selesai di dalam prosiding mahkamah.

Namun begitu peraturan tetap DUN Perak, Speaker (Sivakumar) mempunyak hak untuk menerima atau menolak sebarang usul, termasuk usul untuk memecatnya.Ini sama seperti yang berlaku di Melaka dimana tindakan Speaker DUN Melaka menolak usul tidak percaya yang dibentangkan oleh wakil DAP terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam minggu lalu.

Apabila manusia dah gila kuasa, segala tindakannya pun di luar kewarasan fikiran yang kadang-kadang menjengkelkan dan memualkan. Kita sama-sama tunggu di dalam mesyuarat pertama, penggal kedua, DUN Perak ke-12 pada 7 Mei depan.

SELSEMA BABI MENGHAMPIRI NEGARA KITA

Selesema babi merebak ke 16 negara..

Wabak selesema babi semakin merebak dan kes disahkan atau disyaki dilapor di 16 buah negara termasuk di Eropah dan Asia. Kematian meningkat kepada 152 semalam berbanding 149 orang kelmarin.

Satu kes disyaki di Thailand, dua lagi di Singapura.Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan aras amaran dari tahap tiga kepada empat.

Persoalannya sekarang.. adakah negara kita masih selamat dari wabak ini? Bagaimana pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di ladang-ladang ternakan babi di Melaka dan Selangor serta tempat-tempat yang ada menternak babi. Jangan sekadar lepaskan batuk di tangga...

Walaupun tidak terdapat lagi kes selsema babi ini merebak di kawasan penternakan babi namun sebagaimana kita ketahui wabak ini salah satunya berpunca dari binatang yang bernama babi.

Sebagaimana kita telah ketahui isu babi telah lama menjadi masalah di negeri Melaka dan kerajaan negeri sentiasa bersikap bahawa ternakan babi hanyalah untuk keperluan dalam negeri dan bukannya untuk tujuan eksport. Oleh sebab itu, kerajaan Melaka sentiasa memastikan jumlah ternakan tidak melebihi had yang telah ditetapkan iaitu antara 45,000 hingga 60,000 ekor sahaja. Manakala kawasan ternakan yang dibenarkan hanyalah di kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

Namun begitu ada sesetengah pihak yang bersikap degil dan terus menternak babi di luar kawasan Paya Mengkuang manakala jumlahnya sehingga mencapai ratusan ribu ekor yang menyebabkan berlakunya pencemaran air dan udara di kawasan berkenaan. Hal ini sudah pasti tidak disenangi oleh kaum Melayu yang tinggal di kawasan tersebut sejak sekian lama. Adakah perlaksanaan penguatkuasaannya telah benar-benar dilaksanakan di negeri Melaka...

Apa cerita usaha kerajaan Selangor untuk membina ladang ternakan babi secara moden di Sepang? Adakah projek tersebut telah dilaksanakan atau hanya sekadar berada di atas kertas. Bagaimana pula pemantauan oleh pihak berkuasa di Selangor dalam mengawal ternakan babi ...

Apa yang kita harapkan semoga peristiwa wabak JE yang menyerang Bukit Pelanduk nageri Sembilan yang banyak mengorbankan nyawa termasuk mereka yang tiada kaitan langsung dengan binatang yang bernama babi ini tidak akan berulang kembali.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan awal seiring dengan langkah kerajaan dalam menangani penyebaran wabak ini di negara kita dan bukan hanya menunggu laporan tentang penyebaran wabak ini baru terkial-kial untuk mengambil tindakan itu dan ini. Dan akhirnya nanti akan kita dengar dendangan semula lagu kanak-kanak 'Bangau Oh Bangau'.

Nenek Obama Kerjakan Haji

Semoga Obama terbuka hati...

DUBAI - Nenek Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, Mama Sara menerima pelawaan daripada jutawan hartanah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Sulaiman Al Fahim untuk mengerjakan fardu haji tahun ini, menurut satu laporan.

“Saya dapati beliau tidak pernah mengerjakan haji dan beliau ingin sangat nak pergi. Memandangkan ibu kandung saya sudah tiada, keluarga kami ada tempat yang terluang. Saya mempelawa beliau dan beliau menerimanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hydra Properties itu.

Dilantik sebagai duta muhibbah bagi menyokong Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau menjelajah Kenya untuk melancarkan kempen menangani masalah kekurangan zat makanan di wilayah berkenaan.

“Ini sesuatu yang saya akan lakukan dengan lebih banyak lagi,” katanya, sambil mengakui bahawa beliau sangat bertuah kerana kerjaya dan perniagaan miliknya sendiri.

“Saya merasakan sudah tiba masanya untuk menabur bakti dan berusaha melakukan sesuatu untuk golongan kurang bernasib baik,” kata Dr Al Fahim dalam laporan Arabian Business.

Nizar fail usul cabar Perkara 63

Teruskan perjuangan..

PUTRAJAYA - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan notis usul untuk mendapatan perisytiharan mahkamah bahawa Perkara 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah tidak sah dan terbatal.

Mohammad Nizar, 52, memfailkan notis usul itu melalui peguamnya Tetuan Leong & Tan di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini, dan menamakan kerajaan Perak, kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan pindaan dalam Perkara 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar isu-isu perlembagaan berkaitan krisis politik negeri Perak, adalah bertentangan dengan Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang pindaan kepada Perkara 63 selepas Hari Merdeka hendaklah dibuat melalui Perkara 162(1) Perlembagaan Persekutuan, ini kerana bidang kuasa Mahkamah Persekutuan hanya boleh diberikan oleh Parlimen, dan bukan Dewan Perhimpunan Negeri.

“Oleh itu Dewan Perhimpunan Negeri Perak tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan Seksyen 38 Enakmen (Pindaan) UTKP dan ia harus dideklarasikan sebagai batal dan tidak sah,” kata Mohammad Nizar.

Dengan notis usul yang difailkan, Mohammad Nizar memohon supaya pendengaran prosiding rujukan undang-undang bagi menentukan siapakah menteri besar Perak yang sah, yang ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan, ditangguh sehingga permohonan didengar.

Sumber - SINAR

Jaguh Basikal Trek Negara Masuk Universiti

Syabas buat Azizulhasni...

Syabas dan tahniah buat jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang kerana akan melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sukan di Universiti Deakin, Melbourne, Australia, awal Jun depan.

Beliau berkata keputusan itu diambil bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi kegunaan masa depan. Langkah melanjutkan pelajaran itu tidak akan menjejaskan latihannya di Melbourne kerana jarak antara universiti berkenaan dengan pusat latihan iaitu Velodrom Joe Ciavola hanya membabitkan perjalanan 20 minit sahaja.

Selain daripada biasiswa Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan juga akan mengenal pasti bentuk bantuan yang sesuai disalurkan kepada Azizulhasni. Azizulhasni kini antara sandaran utama negara untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik London setelah mempamerkan aksi cemerlang sejak dua tahun kebelakangan ini.

Malah dia membuktikan kedudukannya selaku pelumba berstatus dunia dengan memenangi pingat perak Kejohanan Trek Berbasikal Dunia di Poland pada Mac lalu melalui acara pecut individu.

Semoga beliau akan menjadi seorang atlit yang akan mengharumkan negara dan juga seorang graduan yang berjaya. Sudah tentunya ini akan menjadi motivasi dan semangat kepada jenerasi atlit muda yang akan datang supaya kejayaan dalam bidang sukan seiring dengan kejayaan dalam bidang akademik.

CALON DI PENANTI TELAH DIKENALPASTI

Dr Mansor Calon PKR ..

Ketua Umum Keadilan DS Anwar Ibrahim dalam satu program di Yayasan Aman di kawasan Permatang Pauh, mengumunkan Dr.Mansor Othman dipilih sebagai calon dalam Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Pilihanraya kecil Penanti menggunakan daftar yang dikemaskini sehinggi 16 April dan mengandungi 15,384 pemilih, termasuk 24 pemilih pos. Daripada jumlah itu, 72.68 peratus Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.3 (India) dan 0.71 lain-lain kaum. Pengundian di 32 saluran akan berjalan di sembilan pusat pengundian - lapan sekolah dan satu dewan insitut belia.

Penamaan calon ditetapkan berlangsung 23 Mei, dan sekiranya ada pertandingan hari membuang undi akan diadakan pada 31 Mei.

Jumlah pusat mengundi: 9 buah dengan 32 saluran

Jumlah pemilih berdaftar: 15,384 orang (15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos)

Pecahan pengundi mengikut kaum: Melayu (72.68%), Cina (24.22%), India (2.39%) dan lain-lain (0.71%)

4.28.2009

PENA: Penentangan PPSMI tidak bermotif politik

PENA bersuara...

Penentangan terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak bermotifkan politik kerana sudah lebih enam tahun golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan, menyuarakan pandangan mereka secara sabar dan sopan, kata Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Datuk Baharuddin Zainal.

Isu PPSMI telah berkembang ke tahap kedua apabila berlakunya penyertaan ahli politik dalam tunjuk perasaan yang digerakkan oleh golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan.

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dianggotai oleh pejuang pendidikan, tokoh bahasa, sasterawan serta ahli-ahli parti politik, menjadi penggerak utama kempen supaya dimansuhkan PPSMI.

Malah, isu PPSMI turut dibawa ke pentas kempen beberapa pilihanraya kecil sebelum ini - bermula dengan Kuala Terengganu - hingga ke pilihanraya Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau, dan bakal diketengahkan sekali lagi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti 31 Mei depan.

PENA yang sejak Jun 2002, secara terbuka, melalui kenyataan akhbarnya, menentang PPSMI, tetap dengan pendirian asalnya bahawa PPSMI perlu dimansuhkan segera sebelum isu ini mendatangkan implikasi pendidikan, sosial dan politik yang lebih buruk.

Namun sikap kementerian pelajaran yang menangguh-nangguhkan keputusan selama ini, sangatlah mengecewakan. Sedangkan PPSMI telah menjadi isu kebangsaan yang berat sehingga menimbulkan pemikiran bahawa kementerian pelajaran tidak cekap dan pantas menangani masalah, dan tidak sensitif terhadap suara-suara jujur dan rasional rakyat.

PENA menyeru Tan Sri Muhyiddin memansuhkan PPSMI dan memulihkan kembali peranan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan.

Keputusan PENA ini bukan sahaja berasaskan premis bahawa PPSMI memberi natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti anak-anak dari keluarga biasa di luar bandar dan di pinggir bandar, tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan Bahasa Kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu moden.

PENANTI : PERATURAN BARU SPR

Pondok panas yang semakin panas...

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan agar tidak mendirikan 'pondok panas' pada hari pengundian.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, larangan itu meliputi semua jenis 'pondok panas' untuk tujuan meraih undi atau menyemak saluran mengundi di kawasan terbabit.Menurutnya, keputusan itu termaktub dalam Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Satu lagi peraturan baru yang masih dalam perbincangan ialah untuk mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon dan pengumuman keputusan.Walaupun cadangan untuk mengehadkan itu tiada dalam peruntukan undang-undang tetapi ia sebagai usaha untuk mengelak berlakunya sebarang kekecohan pada hari berkenaan.

'Orang itu' takut sejarah berulang kembali seperti di Bukit Gantang.... Amacam dengan peraturan untuk menghalang penggunaan topeng 'Al-Spiderman'... Diharap pihak SPR menguatkuasakan sekali larangan ini..



SELSEMA BABI : Wabak Pemusnah Umat Manusia...

Wabak yang menggemparkan dunia...

Tatkala laporan mengenai meletusnya wabak selesema babi di seluruh dunia, satu soalan yang tidak boleh dielakkan ialah apakah ini wabak yang akan memusnahkan umat manusia?

Apakah ini epedimik selesema global yang telah lama dijangka dan dibimbangi oleh pakar-pakar kesihatan awam? Apakah ini virus pemusnah yang akan membunuh jutaan manusia di seluruh dunia seperti pandemik yang berlaku pada 1918, 1957 dan 1968?

Apa yang menjadikan keadaan sekarang agak sulit ialah kita mungkin berada di antara krisis kesihatan yang paling buruk atau mungkin sekadar akan berakhir dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan tidak muncul-muncul lagi.

Pegawai-pegawai kesihatan mahu mengambil setiap langkah untuk menghalang wabak ini daripada membunuh berjuta-juta orang. Menelaah influenza dikatakan satu bentuk ramalan kerana kerajaan Amerika Syarikat (AS) pernah meramal salah pada 1976 mengenai pandemik selesema babi yang tidak wujud pun.

Kes pada 1976, bermula dengan tentera-tentera AS di Fort Dix, New Jersey yang didapati jatuh sakit akibat satu bentuk selesema babi yang luar biasa.

Pegawai-pegawai persekutuan memberikan suntikan vaksin kepada 49 juta rakyat Amerika tetapi pandemik itu tidak berlaku. Sehingga ke hari ini, pegawai kesihatan tidak tahu mengapa dan bagaimana virus 1976 itu berhenti dengan sendirinya.

Pusat merebaknya wabak tersebut ialah Mexico, di mana virus itu dikatakan menjadi punca kepada kematian 86 orang daripada anggaran 1,400 kes di seluruh negara itu sejak 13 April.

Sekolah-sekolah ditutup, upacara di gereja dibatalkan dan Presiden Mexico, Felipe Calderon memperkenalkan kuasa-kuasa khas untuk melaksanakan perintah kuarantin terhadap mereka yang dijangkiti virus tersebut.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, pakar-pakar menumpukan perhatian kepada satu bentuk selesema burung yang pertama kali meletus di Asia yang telah membunuh lebih 250 orang di seluruh dunia sejak 2003.

Pegawai kesihatan di seluruh dunia telah mengambil langkah-langkah persediaan bagi menghadapi kemungkinan ia menjadi wabak global tetapi sehingga kini virus itu belum mempunyai keupayaan untuk berjangkit dengan mudah dari seorang manusia ke seorang manusia yang lain. - AP

CUEPACS kemuka 10 tuntutan baru

Tuntut jangan tak tuntut...

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut 10 perkara baru daripada kerajaan dalam usaha menambah baik prestasi dan kebajikan kira-kira 1.3 juta kakitangan sektor awam di seluruh negara.

Presidennya, Omar Osman berkata, buat permulaan, pihak kesatuan mengemukakan lima tuntutan awal yang sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lima tuntutan tersebut ialah memohon :

1.Penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 84 hari;
2.Penambahbaikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK);
3.Kenaikan kadar imbuhan tetap perumahan daripada RM180 kepada RM230;
4.Elaun Sara Hidup (COLA) diselaraskan sebanyak RM300 di semua kawasan
5.Kajian semula kadar pencen yang diterima oleh kakitangan kerajaan.

CUEPACS sudah menghantar surat untuk mengadakan pertemuan itu dengan Perdana Menteri dan sedang menunggu jawapan daripada beliau. Pertemuan dijangka diadakan dalam waktu terdekat ini.

Pada pertemuan itu nanti, kesatuan akan menjelaskan kepada Perdana Menteri tentang tuntutan tersebut secara lebih lanjut. Walaubagaimanapun kesatuan tidak akan melakukan desakan tentang beberapa perkara seperti COLA dan imbuhan tetap perumahan kerana sedar keadaan ekonomi yang tidak elok.

Semoga usaha murni kesatuan ini akan mendapat perhatian yang positif dari pihak kerajaan. Kepada kakitangan kerajaan diharap dapat meningkatkan prestasi dalam bidang masing-masing demi mencapai mutu perkhidmatan yang cemerlang di mata rakyat.

4.27.2009

31 MEI : PENANTIAN TELAH BERAKHIR DI PENANTI

Hari mengundi DUN Penanti 31 Mei...

Hari mengundi bagi kerusi DUN Penanti ditetapkan pada 31 Mei dan hari penamaan calon jatuhnya pada 23 Mei, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi itu dikosongkan oleh bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas ADUN PKR itu bagaimanapun tidak diseret ke mahkamah kerana SPRM tidak mempunyai cukup bukti untuk berbuat demikian.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Ditanya sebab suruhanjaya itu melewatkan pengumuman tarikh-tarikh tersebut walaupun bermesyuarat Rabu lalu, beliau berkata ia tidak kena-mengena dengan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, Jumaat lepas.

Sumber - Malaysiakini

Bakal Menjadi Jurucakap UMNO-BN

KeADILan pecat 16 ahli khianati parti ..

Parti KeADILan Rakyat memecat 16 orang ahlinya, yang didapati bersalah mengkhianati parti itu, semasa kempen pilihan raya kecil di Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak baru-baru ini. Pemecatan tersebut berkuatkuasa serta merta mulai 26 April 2009.

Antara kesalahan-kesalahan mereka adalah bertanding sebagai calon menentang calon parti, menyokong calon yang menentang calon parti, mengkritik parti melalui media dan mengisytiharkan diri keluar dari parti dalam ceramah atau melalui media. Mereka melakukan kesalahan-kesalahan tersebut dalam Pilihanraya Kecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini.

Nama-nama yang dipecat adalah seperti berikut:

1. Moganakumar a/l Subramaniam (Bahagian Merbok, Kedah)
2. Jayagopal a/l Andaikalam (Bahagian Pokok Sena, Kedah)
3. Abdul Hamid Othman (Bahagian Padang Serai, Kedah)
4. Roslan A. Hamid (Bahagian Padang Serai, Kedah)
5. Abu Bakar Din (Bahagian Baling, Kedah)
6. Abdul Wahab Mat Isa (Bahagian Sik, Kedah)
7. Mustafa Hassan (Bahagian Sik, Kedah)
8. Kalai Vanar a/l Bala Sundram (Bahagian Jerai, Kedah)
9. Deivanai a/p Krishnan (Bahagian Jerai, Kedah)
10. Abu Bakar Hamid (penaja Bahagian Pendang, Kedah)
11. Ahmad bin Ayub (penaja Bahagian Pendang, Kedah)
12. Azhar Ahmad (penaja Bahagian Jerlun, Kedah)
13. Dr Ambrose Labang (Bahagian Julau, Sarawak)
14. Wong Kee Kai (Bahagian Julau, Sarawak)
15. Rajang Anak Unau (Bahagian Julau, Sarawak), dan;
16. Kudik Untung (Bahagian Julau, Sarawak).

Sama-samalah kita saksikan selepas ini mereka akan berada dipentas-pentas UMNO-BN sebagai jurucakap yang akan menabur 'peluru-peluru hidup' kepada pakatan rakyat. Kita lihat sejauhmana kekuatan mereka dalam melaksanakan misi dan visi sebagaimana yang telah dilakukan oleh sedara Ezam dibeberapa siri ceramah dan juga media masa & elektronik membelasah Pakatan Rakyat terutamanya Parti Keadilan Rakyat.

Masalah Sosial Remaja : 13 tahun dah ketagih arak

Sekadar renongan kita semua..

KUALA LUMPUR: Tanpa segan silu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun memberitahu “bapa saya tak marah pun” apabila disoal sejurus dia didapati leka meneguk arak murah di tepi longkang sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota di sini, awal pagi semalam.

Remaja yang masih bersekolah itu dikatakan bercakap merapu ketika ditahan polis dalam operasi bersepadu dilancarkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam operasi itu, polis menyerbu lorong gelap di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Tamby yang dijadikan markas kegiatan tidak bermoral oleh remaja skinhead itu sejak sekian lama tanpa menghiraukan bau busuk longkang serta persekitaran kotor.

Ketika serbuan kawasan terbabit dikatakan dipenuhi dengan botol serta tin arak yang bersepah di atas jalan, dipercayai dibuang remaja berkenaan.

Dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Thamby, seramai 23 remaja iaitu 15 lelaki dan lapan gadis belasan tahun, ditahan selepas berada di bawah pengaruh arak. Remaja perempuan terbabit juga didapati berpakaian menjolok mata.

Ketika serbuan kebanyakan mereka gagal meloloskan diri kerana sedang khayal, namun segelintir remaja cuba melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang, tetapi dapat dipintas dan diberkas anggota polis.

Selsema Babi : Dunia makin cemas

Wabak selsema babi menggila...

Jumlah kematian akibat selesema babi di Mexico semalam, meningkat kepada 81 orang berbanding 68 orang kelmarin. Wabak itu mula menular ke Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah mangsa meningkat 10 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan itu berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak di seluruh dunia.

Di Malaysia, orang ramai diminta segera berjumpa doktor jika ada simptom batuk, demam dan sakit badan. Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan.

Malaysia Airports Holdings Berhad akan memantau penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS mulai hari ini.

Nota : Amacam tauke-tauke babi diBukit Beruang, Paya Mengkuang, Man Lok dan juga Kuala Sungai Baru.... Kita kena ingat! Bila wabak selsema ni sampai ke Malaysia, bukan saja ia menyerang tauke-tauke babi dan sanak sedara mereka saje.. tapi orang yang yang tiada kaitan langsung dengan babi pun akan terkena tempiasnya. So sama-samalah kita berdoa agar dijauhkan dari terkena wabak ini.. Amin!

4.26.2009

APA CERITA BABI DI MELAKA

Isu babi di Melaka, jangan tunggu hingga wabak selsema babi melanda...

Kita imbas kembali isu operasi bersepadu bagi mengurangkan jumlah ternakan khinzir dari lebih 100,000 ekor kepada 48,000 ekor di kawasan Bukit Beruang, Paya Mengkuang dan Man Lok di Alor Gajah, Melaka. Adakah ianya telah selesai di jalankan atau masih lagi dalam perbincangan...

Isunya kembali hangat suatu ketika dulu bila mana ada beberapa kes yang melibatkan kepala babi digantung termasuklah tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mengantung kepala babi di pagar rumah seorang Ahli Jawatankuasa Pemantau Babi dan di kain rentang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di Masjid Tanah yang mengemparkan pelbagai pihak. Ini menimbulkan rasa kurang selesa dan satu penghinaan kepada penduduk yang beragama Islam.

Kita juga masih ingat dimana pihak berkuasa terpaksa pulang dengan hampa apabila enam jentera pengorek yang dibawa untuk menggali lubang bagi menghapuskan babi di ladang tersebut serta enam trak polis, termasuk yang dilengkapkan dengan meriam air tidak dapat menyempurnakan tugas untuk membunuh babi-babi sepertimana yang dirancang.

Kita mengucapkan tahniah kepada penternak-penternak babi di Melaka yang mencatatkan satu peristiwa menarik di mana kuasa rakyat adalah lebih tinggi dan bermakna dari kuasa meriam, cota, pistol, perisai dan senapang pihak berkuasa.

Walau apapun isunya... kita perlu selesaikan isu babi ini secara bijaksana terutama oleh pihak pemerintah supaya semua pihak dapat menerima dengan hati terbuka. Apa yang Wak nak fokuskan dalam entri kali ini ialah jangan sampai sesuatu wabak menyerang seperti yang pernah terjadi di Bukit Pelanduk Negeri Sembilan barulah semua pihak hendak mengambil tindakan yang sewajarnya...

Jadikan peristiwa yang berlaku di Mexico ini sebagai pengajaran dan juga iktibar kepada semua pihak sebelum ia berlaku di negara kita khususnya di Negeri Melaka. Andainya isu babi tersebut telah selesai, adakah pihak berwajib memantau perkembangan bilangan ternakan babi di kawasan tersebut sebab babi yang kita tahu adalah spesis yang mudah membiak.

Fikir-fikirkanlah....


MEXICO CITY 25 April – Seramai 68 orang maut akibat penyakit selesema, dengan 20 daripada kematian itu disahkan berpunca daripada sejenis wabak baru selesema babi, lapor Setiausaha Kesihatan Mexico, Jose Angel Cordova.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 1,004 yang lain pula sakit dipercayai akibat penyakit yang sama. Sebanyak 13 daripada 20 kematian tersebut berlaku di Mexico City, empat di San Luis Potosi, dua di Baja California berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) dan satu di selatan Oaxaca.

Virus baru yang merisaukan itu, yang mengandungi kombinasi virus babi, burung dan manusia yang belum pernah dilihat penyelidik-penyelidik sebelum ini, turut mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang sakit di Texas dan California, walaupun masih belum ada kematian dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).

Penyebaran virus selesema babi itu menimbulkan suasana cemas di Mexico apabila orang ramai mula mengenakan topeng muka dan pihak berkuasa mengarahkan penutupan tempat-tempat tumpuan umum secara meluas.

Orang ramai diminta tidak datang ke hospital melainkan benar-benar memerlukan rawatan kerana premis itu menjadi ‘pusat’ penyebaran wabak. Selain itu, orang rami juga diminta berhenti seketika daripada bersalam tangan atau mencium pipi. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City, setiap penumpang disoal bagi menghalang sesiapa yang mempunyai petanda demam daripada menaiki pesawat.

4.25.2009

Ali Rustam Kekal Ketua Menteri Melaka

Dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka..

Berita di bawah mengesahkan bahawa Datuk Seri Mohd. Ali Rustam akan mengekalkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Walaupun angin bertiup kencang mengatakan akan berlaku perubahan kepimpinan tertinggi di negeri Melaka namun segalanya telah terjawab.

Nampaknya Datuk Seri Ali Rustam nampak bersih di mata Perdana Mennteri yang memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan beliau dalam menerajui negeri melaka. Walaupun ada usul yang dibawa oleh ADUN Kesidang (DAP), Goh Leong San yang mendakwa rakyat Melaka hilang keyakinan dan meragui intergriti terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berikutan penglibatannya dalam politik wang ketika pemilihan UMNO bulan lalu.

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berjanji akan terus bekerja keras memperkukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Melaka selepas mendapat kepercayaan dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

Menurut beliau, kepercayaan itu telah menguatkan semangatnya untuk membantu Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan ahli Majlis Tertinggi (MT)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis penutupan Seminar Pembangunan Enterprise Usahawan Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin di sini malam ini.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berjanji akan bekerja keras menguatkan parti dan memberi sokongan penuh kepada Najib untuk memastikan UMNO dapat diterima semula oleh rakyat di seluruh negara.

4.24.2009

JOM HEBOH DI LUMUT : Apa Pendirian Mufti Perak

Jom! Jom! Jom! Jom....! Jom Heboh! Hebohhhhhh!

Jom Heboh datang lagi... Tapi kali nii berlaianan ceritanya sebab dulu masa Ir Nizar Menteri Besar.. tak de 'chan' nak masuk negeri Perak. Tapi selepas Dr Zambry menjadi Menteri Besar, berjaya juga Jom Heboh bertapak di negeri Perak. Bila ada Jom Heboh sudah pastinya ada Konsert Jom Heboh... Apa bezanya konsert Jom Heboh dengan Konsert Sure Heboh yang dulu..

Kalau tak silap Wak, Mufti Perak Dato' Seri Harussani Zakaria pernah mengeluarkan fatwa pada 30 Julai 2004 berhubung konsert ini. Dalam keputusan Majlis Mufti-Mufti Malaysia melalui Harussani Zakaria telah mengeluarkan kenyataan bahawa konsert Sure Heboh TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda.

Sekarang ni apa pulak pendirian Mufti Perak berkenaan konsert Jom Heboh... Kenapa senyap membisu.. Tempohari bukan main segera membuat ulasan tentang surah Al-A'Araf yang di baca oleh orang bukan Islam. Tapi dalam isu Konsert Jom Heboh tak kan tak de nak bagi ulasan.

Kita ni orang biasa yang cetek agama berbanding tuan Mufti, sudah pastinya tertunggu-tunggu ulasan dari Mufti Perak berkenaan fatwa yang pernah dikeluarkan berkenaan konsert Sure Heboh... Jangan buat rakyat terutamanya orang Perak keliru...

Kami semua berharap agar Dato' Seri dapat memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut agar rakyat Negeri Perak dan seluruh rakyat Malaysia tidak keliru didalam perkara ini. Jangan kerana UMNO.. kita sanggup menghalalkan cara.. Sama-samalah kita fikirkan.....

Wak yang keliru... Ada apa2 nak komen dalam isu nii... Mari kita bincangkan bersama...

APA NASIB DATUK SERI ALI RUSTAM

Cerita dari Melaka...

Heboh di Melaka… dimana-mana orang ramai bercerita dan membuat andaian sendiri yang mengatakan perubahan peneraju tertinggi peringkat negeri bakal berlaku dan khabar angin bertiup kencang sejak seminggu lalu mengaitkan kedudukan Mohd. Ali sebagai Ketua Menteri yang juga dikatakan bakal tergugat.

Ini ditambah lagi dengan suasana yang dapat dilihat apabila ada sebahagian besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Exco kerajaan negeri dikatakan turut melobi untuk mengisi kekosongan jika benar Mohd. Ali tidak akan lagi dilantik sebagai Ketua Menteri.

Belum apa-apa dah ada orang yang bermimpi untuk memegang jawatan Ketua Menteri Melaka. Tapi jika kita lihat respon dari DS Ali Rustam sendiri masih menyerahkan perkara tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya sama ada kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri atau sebaliknya.

Walaubagaimanapun ada suara-sauara kedengaran yang mengatakan beliau dijangka dikekalkan sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2011. Salah seorang ADUN yang enggan dikenali berkata: ''Pada mana-mana ADUN atau Exco yang berhajat hendak mengisi tempat Mohd. Ali, harap-harap 'ukurlah baju dulu di badan sendiri."

Kedudukan Mohd. Ali sama ada akan dikekalkan atau tidak sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri hangat diperkatakan di kalangan ADUN semasa sesi rehat pada sidang DUN yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob Isnin lalu.

Wak masih ingat ucapan DS Najib dalam ucapan penggulungan perhimpunan Agung UMNO yang lepas… “Seseorang pemimpin itu mestilah ‘Bersih’ dan juga Nampak bersih!”. So kalau rasa diri itu nampak macam dah tak ‘bersih’, baik undur diri. Apa nak tunggu lagi…. Jangan sekadar mendengar suara orang yang disekeliling kita, tapi cubalah dengar suara-suara dari semua peringkat.... Muhasabah diri!

KOTAK ROKOK YANG MENGERIKAN

Nilai sebatang rokok...

Ketika Wak minum bersama teman-teman pagi tadi, Wak terpandang kotak rokok dengan versi yang baru. Kotak rokok dihiasi dengan gambar berwarna kesan dari bahayanya menghisap rokok.

Wak sempat bertanya kepada teman yang duduk kat sebelah.. “ Apa perasaan bila menghisap rokok terpandang gambar di kotak rokok tuuu...”

Teman Wak menjawa “alah... dah biasa la Wak.. tengokpun tak rasa apa”

Sebab itu paparkanlah gambar apa pun pada kotak rokok, belum tentu hati mereka akan terusik jauh sekali mahu 'bertaubat' daripada terus menjadi perokok. Mereka tidak pernah kisah jauh sekali berasa gerun akan status kesihatan sendiri.

Jumlah perokok yang berhenti daripada tabiat tersebut juga tidak ramai. Jika ada pun perhentian mereka bermusim. Pantang ternampak kepulan asap rokok, ketagihan untuk menyedut gabungan pelbagai bahan itu kembali menggila. Lantas gambar-gambar ngeri hanya menjadi hiasan kotak rokok.

Realitinya, arahan supaya syarikat pengeluar rokok memaparkan gambar-gambar ngeri pada kotak pembungkus ada matlamatnya. Hasrat murni yang mengiringi arahan tersebut adalah supaya perokok-perokok sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tabiat buruk itu.

Pasti terlintas di fikiran pihak yang mengeluarkan arahan bahawa jika orang biasa tidak sanggup menatap gambar paru-paru rosak, barah mulut, barah leher, janin rosak dan bayi cacat, perokok juga pasti akan berasa kengerian sedemikian.

Paparan gambar itu juga dilengkapi dengan kesan warna yang sememangnya mengerikan dan meloyakan kepada sesiapa saja yang melihatnya. Tentunya akan ada timbul sedikit keinsafan di kalangan mereka tentang betapa buruk dan teruknya akibat daripada tabiat merokok.

Jika diikutkan logik akal, manusia mana yang sanggup membiarkan organ dalaman mereka rosak atau cacat sehingga membawa kepada kematian hanya kerana nikmat 'asap.' Tetapi itu hanya kesimpulan manusia normal yang tahu menilai harga serta nilai organ yang setiap satu diciptakan Tuhan lengkap dengan fungsi masing-masing.

Tentunya manusia normal tidak mahu membiarkan organ-organ yang membantu mereka menyedut udara dan menjalani hidup dengan selesa dimusnahkan dengan sengaja. Pastinya juga sebagai manusia normal juga terutamanya bagi kaum lelaki tidak sanggup melihat zuriat mereka cacat atau hasrat menimang cahaya mata kecundang akibat janin tidak sempurna gara-gara tabiat merokok.

Tetapi itu ketakutan serta kegerunan manusia normal yang celik mata, tajam otak serta peka telinga untuk menyerap maklumat tentang betapa bahayanya jika bergelar perokok. Lantas kumpulan normal itu berusaha mengelak daripada menjadi hamba batang-batang rokok yang setiap satu menawarkan 'zat' serta 'vitamin' pemusnah yang bukan sedikit.

Wak teringat kenyataan yang dibuat oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu Kota Bharu, Kelantan. Beliau berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Berkata Tuan Guru lagi, amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan. Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).

Ada pihak yang pro dan kontra dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar kelantan ini. Ada yang rasa terhina. Namun apa yang pentingnya kita perlu berfikir secara positif. Bagi pandangan Wak, tujuan Tuan Guru mengeluarkan kenyataan tersebut bukannya berniat untuk menyisihkan atau menghina mana-mana perokok, tetapi itu sebagai nasihat dan peringatan kepada perokok. Wak percaya agak susah untuk berhenti merokok, tapi cubalah berusaha kearah itu. Semoga teman-teman berjaya!! Usaha tangga kejayaan...

4.23.2009

Lanjut Tempoh Kursus : Bukti PPSMI Akan Diteruskan

Sudah terang lagi bersuluh...

Nampaknya memang sah suara Mahathir pelopor PPSMI yang memberi kesan negatif terhadap jati diri Bangsa dan martabat Bahasa Melayu lebih berpengaruh dalam kabinet DS Najib. Ini dapat kita lihat langkah Kementerian Pelajaran yang bercadang melanjutkan tempoh kursus bahasa Inggeris bagi guru yang terbabit dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada enam bulan, berbanding tiga bulan ketika ini.

Apa yang dikesalkan adalah kenyataan pihak Kementerian yang mana meraka baru sedar bahawa berdasarkan maklum balas diterima, cabaran utama PPSMI bukanlah murid tetapi guru sendiri yang masih lemah menguasai Bahasa Inggeris. Ini amatlah malang bagi nasib pelajar yang telah terlibat dengan PPSMI sejak 2003 iaitu lebih 6 tahun diajar oleh guru yang lemah dalam BI.

Persoalannya mengapa baru sekarang pihak Kementerian Pelajaran terhegeh-hegeh inginkan guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan memanfaatkan sepenuhnya pemberian Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP).

Dalam suasana sekarang ini yang mana kebanyakkan rakyat telah menolak PPSMI yang telah diterjemahkan dalam PRK yang menyebelahi pihak Pakaran Rakyat. Malahan pejuang-pejuang GMP terus menyuarakan dan berkempen untuk mansuhkan PPSMI.

Adakah pihak Kementerian yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata dengan kebangkitan rakyat yang lantang dalam memperjuang memansuhkan PPSMI.

Andainya telah tiada lagi ruang diberi oleh pihak Kementerian dalam mendengar suara kebanyakkan rakyat… apalagi yang mampu diperjuangkan oleh pejuang-pejuang GMP. Jalan terakhir sama-samalah kita tunggu pihanraya umum yang akan datang .. Kita terjemahkan suara hati rakyat di atas kertas undi.

SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT!!!

Baca artikel penuh di sini

Ahmadinejad : Pemimpin Yang Berani

Israel... Rejim paling kejam....

TEHERAN 22 April - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad hari ini mengulangi kecamannya terhadap Israel dengan menuduh rejim zionis itu melakukan kekerasan ke atas penduduk Palestin.

Beliau mengulangi kritikannya itu ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Pendakwa-pendakwa Negara-negara Islam di sini, selepas menghadiri persidangan anti perkauman anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, semalam.

Ahmadinejad berkata, Israel merupakan 'rejim paling kejam dan kuat menindas', selain melakukan penghapusan bangsa ke atas penduduk Palestin apabila melancarkan serangan tentera di wilayah Palestin sejak Januari lalu.

Beliau berkata, Iran telah meminta Interpol menahan 25 penjenayah perang Zionis. Iran merujuk Israel sebagai 'rejim Zionis.' Iran sebelum ini juga meminta tindakan yang sama dilakukan oleh Interpol.

"Mereka perlu bertanggungjawab ke atas keganasan yang mereka lakukan," kata Ahmadinejad.

Pada Isnin lalu ketika berucap pada persidangan anti perkauman anjuran PBB, Ahmadinejad menuduh Barat menggunakan Holocaust sebagai 'alasan' untuk melakukan kekerasan ke atas penduduk Palestin dan kecamannya itu telah menyebabkan semua pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak keluar dari dewan persidangan.

Persidangan itu menjadi kecoh sejak dari awal lagi apabila dua penunjuk perasaan yang memakai rambut palsu berwarna-warni melontar hidung badut berwarna merah ketika Ahmadinejad memulakan ucapan sambil berdoa.

Insiden itu menyebabkan Ahmadinejad yang diberi penghormatan untuk berucap, terpaksa memulakan semula ucapan.

Beliau menyampaikan ucapan selama lebih setengah jam dengan melemparkan kritikan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang didakwa membantu penubuhan negara Israel selepas Perang Dunia Kedua dengan mengorbankan penduduk Palestin. - Reuters

Nota : Sayangnya, semangat pemimpin bertubuh kecil itu tidak dihayati oleh dunia Islam dan Arab sendiri. Beliau mempertahankan maruah Palestin. Berjuang untuk orang Arab sedangkan darah yang mengalir dalam tubuhnya ialah darah Parsi.

Alangkah bertuah jika semangat dan keberanian itu turut 'diwarisi' oleh pemimpin-pemimpin dunia Arab sendiri. Namun apa yang kita lihat hanyalah semangat berpuak-puak dan pentingkan diri mendominasi negara-negara Arab ketika ini.


Cuba kita muhasabah diri sendiri.. Dalam kempen BOIKOT barangan Israel dan USA pun dah gagal... La ni macam2 kempen makan KFC. Petronas bagi kupon KFC lagiii... TPM pun kempen makan ayam KFC. Inilah yang dikatakan 'hangat2 taik ayam....'

APA MOTIF MELELONG CAMRY

Lelong jangan tak lelong...

Kita merasa pelik bin hairan motif tindakan ‘kerajaan BN’ Perak pimpinan Dr. Zambry untuk melelong kereta camry. Menurut kenyataan tender terbuka yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di Ipoh semalam, lelongan kereta itu akan berlangsung pada 4 hingga 18 Mei ini dan kereta-kereta tersebut boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Tindakan kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) Perak untuk melelong 16 buah kereta Toyota Camry yang digunakan exco Pakatan Rakyat sebelum ini sebagai satu pembaziran wang rakyat. Apabila dilelong sudah tentu kenderaan yang baru pula akan dibeli kerajaan BN di Perak dengan harga lebih tinggi.

Ini menunjukkan bahawa tindakan melelong kereta baru dibeli sebagai tindakan mundur ke belakang. Begitu rendah harga diri kerajaan BN di Perak kerana bukan sahaja dendam kepada Exco Pakatan Rakyat tetapi marah juga kepada kereta Camry.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, kerajaan negeri Perak pimpinan BN akan membeli kereta Proton Perdana Eksekutif untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan bagi menggantikan 16 buah kereta rasmi jenis Toyota Camry yang akan dilelong itu.

Semakin pening melihat telatah pemimpin-pemimpin di Perak. Amanat sultan Perak agar mencari satu titik pertemuan antara parti dan pemimpin yang bertelagah bagaikan ‘menyiram air di daun keladi’. Pemikiran mereka setaraf dengan kanak-kanak tadika….. Lu pikirla sendiri!

4.22.2009

TIGA PELAJAR MENGHARUMKAN NAMA NEGARA

Sekalung tahniah....

STOCKHOLM (Sweden) - Selepas kejayaan menggondol tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Finland minggu lalu, tiga pelajar Malaysia yang terlibat diberikan penghormatan membentangkan kertas kerja mengenai penanaman pokok di dua buah sekolah di bandar Upsala dekat sini hari ini.

Mereka telah memenuhi jemputan dua buah sekolah tersebut sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai negara terbaik di peringkat antarabangsa dalam penanaman pokok dan penjagaan alam sekitar. Dua buah sekolah terlibat Life Link Friendship dan MKFC yang terletak di pusat bandar ini, mahu mengetahui lebih dekat penglibatan sepenuhnya pelajar berkenaan dalam aktiviti penanaman pokok, perubahan cuaca dan kajian kualiti air.

Kita semua berharap pengiktirafan dunia terhadap penglibatan pelajar Malaysia itu akan membuka lembaran baru dalam isu alam sekitar. Jemputan ini merupakan satu yang amat istimewa buat peserta negara kerana kemenangan Negara sudah mula mendapat sanjungan dunia,

PPSMI : PERJUANGAN HARUS DITERUSKAN

Amanat Buat Pejuang Muda….

Wak memberi sokongan penuh kepada pihak yang ingin meneruskan perjuangan dalam mansuhkan PPSMI dari muka bumi Malaysia ini. Program yang akan diadakan pada 26 April 2009, anjuran Kelab Anwar Ibrahim (AIC) di mana ia diadakan bagi menghayati semangat Perjuangan Bahasa Melayu bertajuk “Pentas 152: Amanat Buat Pejuang Muda”.

Apa yang kita harapkan jenerasi muda akan tahu apa itu 152. Ia juga bagi mengenang semula perjuangan tokoh-tokoh bahasa,guru dan para ulamak dulu untuk mempertahankan Bahasa ibunda Melayu daripada pupus dan supaya dimartabatkan.

Antara pengisian program tersebut ialah persembahan deklamasi puisi, sajak dan lagu khas dari tetamu jemputan seperti Amin Iskandar (Black) dan Rahmat Haron, wakil-wakil NGO serta wakil-wakil AIC. Seterusnya acara kemuncak bagi Pentas 152 adalah merupakan amanat dari Datuk A. Samad Said, Sasterawan Negara yang merupakan Pejuang Bahasa buat sekian lamanya, termasuklah sama-sama memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Berikut adalah butiran program:

Tarikh : 26 April 2009
Masa:8 malam
Tempat: Rumah Kelab AIC (Yayasan Aman PJ)


Semoga usaha kecil ini mampu memberikan impak yang besar di kalangan golongan muda yang sayangkan identiti bangsa!

AKHIRNYA JORDAN PILIHAN ADIK NOR MADIHAH

Nur Madihah pilih Jordan lanjut pelajaran.. Syukur Alhamdulillah!


PETALING JAYA 17 April - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mungkin melanjutkan pengajian dalam bidang fizik di Jordan.

Menurutnya, meskipun dalam dilema membuat keputusan, namun beliau tetap melanjutkan pelajaran di Asia Barat sebagaimana yang dirancang.

"Hati saya kuat mengatakan bahawa Jordan adalah tempat terbaik untuk saya melanjutkan pelajaran.

"Cuma, universiti mana yang menjadi pilihan itu saya tidak pasti sebab ia masih dalam penelitian, mungkin juga boleh sambung di Jordan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Catatan Nik Nur Madihah - Kesusahan Bukan Penghalang Kejayaan di Hotel Royale Bintang di sini semalam.Turut hadir Pengarah Eksekutif Hijjaz Record Publishing, Mohd. Faizal Osman dan Pengarah Urusan Hijjaz Publishing, Ismen Nadim Isam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh bapa Nik Nur Madihah, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, selain turut dihadiri ibunya, Mariani Omar, 42. Menurut Nik Nur Madihah, beliau mungkin melanjutkan pelajaran pada September ini.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita, Nik Mohd. Kamal memberitahu beliau dan keluarganya akan menduduki rumah baru di Taman Perumahan Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa dalam tempoh dua bulan lagi. Katanya, rumah teres satu tingkat pemberian kerajaan negeri itu dianggarkan bernilai RM100,000 itu dan mempunyai tiga bilik. Ia kini telah siap hampir 70 peratus.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pemberian itu, insya-Allah kalau tiada aral, kami sekeluarga akan mendiami rumah baru dalam bulan Jun ini,'' katanya.

Buku Catatan Nik Nur Madihah - Kesusahan Bukan Penghalang Kejayaan merupakan buku kelapan terbitan Hijjaz Record Publishing dan ia dijual pada harga RM25.90 senaskhah.

Bagaimanapun, diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada pengunjung sempena Pesta Buku 2009 yang akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bermula hari ini.

APA CERITA SAMPAI DIBELASAH 48-0

Malaysia kena belasah 48-0....

KUALA LUMPUR - Skuad rabgi kebangsaan tunduk 0-48 kepada pasukan Universiti New Zealand pada perlawanan persahabatan di sini, semalam. Kekalahan itu bagaimanapun tidak membimbangkan jurulatih, Deano Herewini yang menyifatkan pertemuan itu sebagai perlawanan ujian kepada skuad yang baru menjalani latihan selama tiga minggu lalu.

Skuad negara kalah tanpa melawan menerusi lapan try dan empat conversion pemain lawan pada perlawanan yang berlangsung di padang Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara.

Herewini yang mengendali pasukan kebangsaan sejak Februari lalu berkata, skuad bimbingannya yang sedang dalam persiapan untuk Kejohanan Empat Negara, di sini Jun ini, belum berada pada tahap terbaik.

Ini kerana, katanya, skuad negara baru sahaja tiga minggu memulakan latihan setelah semua para pemain berehat panjang selepas kejohanan Piala Agong, November lalu.

''Ini merupakan perlawanan pertama kami selepas saya menyusun semula pembentukkan skuad kebangsaan untuk Kejohanan Empat Negara Jun ini, sejak tiga minggu lalu.

''Memandangkan situasi itu, kekalahan ini tidak begitu membimbangkan saya kerana ia lebih kepada perlawanan untuk menguji kemampuan awal para pemain.

''Apa yang saya perhatikan kecergasan pemain amat lemah, sehingga gagal melakukan tackle yang baik, pemain-pemain juga tidak menunjukkan persefahaman.

''Namun, saya yakin apabila pemain-pemain berpengalaman dapat dikumpulkan, skuad ini akan lebih mantap,'' katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan, Kamal Abdul Rahman berkata, pasukan negara kalah kepada lawan yang mempunyai standard permainan yang tinggi.

''Skuad kebangsaan yang sedang kita bentuk ini masih terlalu baru malahan pemain-pemain juga belum dimuktamadkan.

''Masih ramai pemain yang belum menghadiri sesi pemilihan dan saya jangkakan selepas tiga perlawanan ujian, skuad ini akan cukup bersedia untuk beraksi pada Kejohanan Empat Negara Jun depan,'' katanya.

Kejohanan Empat Negara akan disertai China, selaku pilihan utama, skuad kebangsaan, Pakistan dan India.

4.21.2009

Siapakah Di Belakang Obama....

Obama yang sebenar...

WASHINGTON: Pemimpin nombor dua rangkaian al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri dalam video barunya menyifatkan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama 'tidak mengubah apa-apa' dari segi penerimaan orang Islam mengenai Amerika, kata web pemantau al-Qaeda.

“Presiden Obama tidak mengubah apa-apa menge-nai imej Amerika terhadap umat Islam dan penindasannya,” menurut petikan kenyataan Zawahiri dikeluarkan oleh kumpulan SITE Intelligence.

“Amerika masih bunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan,” kata pemimpin kedua Al-Qaeda dalam video, kelmarin.
“Amerika yang mencuri harta mereka, menduduki tanah dan menyokong rompakan, rasuah dan pemerintah pengkhianat di negara mereka,” tegas Zawahari. “Masalah itu belum berakhir sebaliknya mungkin bertambah buruk.”

Awal bulan ini, Obama menggunakan lawatannya ke Turki bagi mengisytiharkan bahawa Amerika tidak akan dan tidak pernah berperang dengan Islam.

Namun, Zawahiri menegaskan bahawa pentadbiran Obama hanya menjalankan dasar sama dengan bekas presiden George W Bush namun dengan cara berbeza. - AFP

Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO

Susulan titah Sultan Perak...

Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO walaupun ia bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dapat diwujudkan di negeri ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meminta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah terbaik ke arah mencapai kestabilan politik itu.

''Sultan Perak, Sultan Azlan Shah perlu mengembalikan kuasa kepada rakyat dengan membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

''Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO sebaliknya UMNO yang perlu bekerjasama dengan Pas untuk memastikan kestabilan politik di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang mahukan para pemimpin yang mewakili kumpulan parti politik berbeza mencari titik pertemuan dan kaedah kerjasama antara mereka demi kepentingan negara dan rakyat.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri mendakwa, amalan demokrasi raja berperlembagaan ialah Sultan perlu mengembalikan hak kepada rakyat untuk membuat penentuan menerusi pembubaran DUN dan pilihan raya negeri.

Ditanya mengenai teguran Sultan Perak terhadap kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemarkan institusi diraja, katanya, Pas tidak pernah mengajak rakyat untuk mencetuskan huru-hara.

''Yang mencetuskan huru-hara itu adalah provokasi daripada UMNO sendiri yang menyuruh polis membuat sekatan dan sebagainya. Pakatan pembangkang tidak pernah mengajak rakyat bergaduh dan kita tidak mahu huru-hara berlaku demi kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Sumber : UTUSAN

Belajar Di Tingkatan 6 : Bukan buang masa

Cerita pasal pendidikan pulak...

JIKA tahun 1970-an dan 80-an, apabila mendapat tawaran ke tingkatan enam selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia ibarat anugerah kerana berpeluang melanjutkan pelajaran lagi.

Malah, pelajar tingkatan enam dianggap senior di sekolah kerana ia tempoh dua tahun terakhir sebelum memasuki institusi pengajian tinggi (IPT). Keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga melayakkan mereka mendapat keutamaan memasuki IPT.

Namun, itu kisah 10 atau 20 tahun lalu. Kini, dengan kebanjiran institusi pengajian tinggi swasta (IPTA), keghairahan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam semakin lesu. Ini ditambah kesukaran memasuki IPT berikutan jumlah pemohonan terlalu banyak, sedangkan kuota untuk menempatkan mereka terhad.

Pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu belajar mata pelajaran yang membebankan tetapi apabila mendapat keputusan STPM, mereka tiada peluang ke IPT. Selain itu, untuk mendapat pekerjaan sukar kerana majikan atau sektor industri gemar mengambil mereka yang berkelulusan SPM.

Pelajar lulusan STPM dikatakan tidak kekal lama kerana mereka mempunyai kelulusan lebih tinggi. Justeru, dengan perkembangan semasa, adakah pembelajaran di tingkatan enam masih relevan atau membuang masa?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, tidak bersetuju belajar di tingkatan enam merugikan dan membuang masa. Beliau berkata, pelajar lepasan SPM yang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam mengambil langkah bijak.

Azam yang juga bekas pelajar tingkatan enam berkata, pelajar yang memilih mengikuti pengajian peringkat diploma di IPTS berbanding tingkatan enam itulah merugikan masa belajar mereka. Dilihat keputusan STPM yang diambil pelajar tingkatan enam, mereka terus mendapat tawaran di peringkat ijazah dan hanya mengambil masa dua tahun.

Jika kegagalan seseorang pelajar STPM dijadikan ukuran dan melabelkan pembelajaran di tingkatan enam membuang masa, itu tidak tepat. Azam yang juga Pengetua Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban berkata, pelajar tingkatan enam mempunyai usaha dan motivasi tinggi untuk berjaya ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masterskill Education Group Berhad, Datuk Edmund Santhara, berkata jika mereka ingin melanjutkan pelajaran di IPTA, melanjutkan pelajaran di tingkatan enam berbaloi.

Katanya, mereka yang ingin mengikuti bidang yang mempunyai kos pengajian mahal seperti perubatan tetapi tidak ditawarkan tempat di IPTA selepas SPM, tingkatan enam adalah tempatnya.

Sumber - METRO

MB Pahang diarah bayar RM63 juta

Mana nak cekau tuuu...

Bila Wak baca berita MB Pahang kena bayar RM63 juta... Jadi tanda tanya kat kepala otak Wak niii... Mana nak cekau duit sebanyak tuu? Cuma satu kemuskilan kat sini... bila mahkamah mengarahkan DS Adnan Yaakob bayar RM63 juta ni, boleh ke dia guna duit kerajaan negeri?... Kalau boleh terkorban lagilah duit rakyat..

Kalau tak boleh guna duit kerajaan negeri, siapa pulak yang akan terkorban?... Siapa yang akan menjadi kambing hitam?.. Atau memang DS Adnan ni boleh bayar guna duit sendiri... Wow!... kalaulah dia boleh bayar RM63 juta tuu dalam masa 14 hari, memang sepatutnya beliau disenaraikan sebagai orang terkaya kat Malaysia.. atau termasuk senarai orang yang terkaya di dunia.. Sama-salalah kita tunggu dan fikirkan....

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini mengarahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, melunaskan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan, dekat Kuantan.

Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan pihak responden (menteri besar) perlu melunaskan bayaran berkenaan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

GEREJA TERBESAR SEDANG DI BINA DI NEGARA KITA

Suatu renongan...

Calvary Convention Centre (CCC) itulah namanya Gereja yang sedang dibina di Bukit Jalil sekarang ini. Kompleks gereja setinggi 6 tingkat ini dibina di kawasan seluas 600,000 kaki persegi. Dibina oleh Nam Fatt Construction Sdn. Bhd, lengkap dengan pelbagai fasiliti dan dewan auditorium yang boleh memuatkan 5,000 orang.

Jika ada sesiapa yang perasan pada papan tanda pembinaan gereja ini ditulis "Adanya Harapan", "There Is Hope". Harapan baru untuk menjadikan Malaysia ini lebih baik? Jika siap nanti, CCC bakal menjadi gereja yang terbesar di Asia. Patutlah ada usaha dari pihak-pihak tertentu untuk menggunakan nama Allah SWT dalam Herald Catholic. Rupa-rupanya ianya adalah sebahagian daripada persediaan umat missionary tersirat CCC ini. Mampukah umat Islam menghadapi cabaran dari CCC ini?

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

4.20.2009

Dr M: BN tidak patut mengaku kalah di Penanti

Bila Mahathir bersuara...

2 perkara telah disuarakan oleh Mahathir.... Kita tunggu respon DS Najib. Apakah benar telahan sesetengah orang yang mengatakan kepimpinan dan kabinet DS Najib dibayangi Mahathir. Kita tunggu dan lihat....

Bertanding di Penanti

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mengaku kalah dan perlu meletakkan calon dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihanraya kecil DUN Penanti atau sebaliknya, lapor Bernama.

Jambatan bengkok

Sementara itu, ketika ditanya sama ada projek jambatan bengkok menyeberangi Selat Johor perlu disambung semula pembinaannya, Dr Mahathir berkata pembinaannya tidak sepatutnya dihentikan langsung.

"Bohong kalau kata rakyat Johor tidak mahu jambatan ini dibina," katanya.

Baru-baru ini terdapat banyak gesaan terutama daripada kalangan ahli politik dan perniagaan dari Johor, supaya kerajaan menimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 2006 untuk membatalkan projek jambatan bengkok itu.

PROTON EXORA : MPV PERTAMA KEBANGGAN MALAYSIA

MPV pertama Malaysia...

Setelah beberapa bulan menunggu penampilannya, Proton Exora, kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluaran Proton dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu negara minggu lepas (Rabu). Proton Exora yang menggunakan enjin 1.6 Campro CPS dengan 125 kuasa kuda, dijual pada harga RM69,998 hingga RM75,998 sebuah.

Peminat kenderaan untuk seisi keluarga itu mempunyai pilihan membeli unit transmisi automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan. MPV itu ditawarkan dalam enam warna pilihan dan dua varian iaitu Exora Hi-Line 1.6 Automatik Metallic (RM75,998) dan Exora M-Line 1.6 Automatik Metallic (RM69,998).

Hari minggu semalam, Wak bersama orang rumah dan anak-anak tengok show room Proton Exora kat Batu Berendam Melaka. Rasa terpegun dan ghairah tengok MPV pertama keluaran Malaysia ni. Kalau ikutkan nafsu orang pompuan ni, hari ni jugak dia nak buat tempahan. Memanglah Wak ada hajat nak ambik MPV… maklumlah anak dah empat orang ni memang sesak sikit bila balik kampung naik kereta Waja tu.

Tapi Wak bagi tau kat orang rumah supaya sabar dulu sementara kereta Waja tu habis bayar pada bulan Julai ni. Lepas tu barulah boleh pikir nak ambik MPV ni. Itulah kita bernama manusia.. Kadang-kadang nafsu menguasai kita tanpa disedari.

Jika kita ingin melihat kemewahan dunia ini jangan melihat kemewahan golongan yang lebih dari kita. Cuba kita lihat orang yang ditakdirkan kurang dari apa yang telah kita ada…..

Gambar 1: Bayangkan…. Hanya mampu berbasikal tua. Bukan saja tak merasa nak naik Exora, tapi ‘kereta Exora’ pulak yang naik kat atas kepala dia.

Gambar 2 :Proton Exora boleh muat 7 penumpang… Kelebihannya air-cond bukan saja di depan malahan disekeliling penumpang belakang. ‘Motor Exora’ ni lagi hebat boleh muat 8 pemumpang . Air-cond original… setiap penjuru!

Gambar 3 : Proton Exora bumbung tinggi… Luas dan selesa. ‘Van Exora’ yang ni pulak memang direka khas supaya bumbung boleh di buka tanpa suis automatic.

Gambar 4 : Kalaulah kereta ni ada kat Malaysia, Wak rasa MPV Exora tak laku....








4.19.2009

SEJARAH PRK : BN MUNGKIN TIDAK BERTANDING DI PENANTI

Macam tak percaya...

Banyak persoalan yang timbul ekoran mendengar rintihan dan keluhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersungut tentang pilihan raya kecil yang terlalu banyak buang masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan.

Kenyataan DS Najib mula mendedahkan bahawa Barisan Nasional (BN) sudah tidak mampu menyekat kemaraan pakatan rakyat. BN hanya menunggu masa mahu tumbang.

Hilang segala keletihan maka timbul semangat untuk terus beriltizam membangkit suasana politik yang sentiasa panas secara tidak langsung memingkatkan kesedaran rakyat tentang arus politik perdana sehingga melahirkan hilang kepercayaan kepada BN untuk terus memerintah negara.

DS Najib mula terseksa dan perit akibat tekanan daripada empat kekalahan dalam pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum Mac 2008. Bermula pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diikuti Parlimen Kuala Terengganu dan Bukit Gantang serta Dun Bukit Selambau.

Pakatan rakyat mengekalkan tiga kerusi di Parlimen Permatang Pauh dan Bukit Gantang serta Dun Bukit Selambau manakala Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi Umno dalam pilihan raya umum Mac 2008 dirampas oleh PAS. Percapaian BN kali ini hanya dapat mempertahankan satu kerusi Dun Batang Ai di Sarawak.

Mengapa DS Najib mula merintih dan mengeluh sedangkan beliau beria-ia sangat mahu merampas kerajaan dan kerusi yang dimenangi pakatan rakyat. DS Najib juga berkata lebih baik menumpukan ekonomi dan menyifatkan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti sebagai satu mainan politik untuk tujuan-tujuan tertentu.

Perkembangan politik bagi BN juga menunjukkan amat berbeza dengan masa dahulu dimana BN amat berminat dengan pilihan raya kecil kerana sering menang. Sebaliknya sekarang ia bertukar wajah dan amat berbeza untuk dihadapi oleh DS Najib.

Dan yang terkini Perdana Menteri DS Najib Tun Razak berkata beliau tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyertai pilihanraya kecil DUN Penanti, Pulau Pinang. Pengerusi BN itu berkata BN perlu melihat terlebih dahulu sama ada pilihanraya kecil itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.

Sehubungan itu, DS Najib yang juga presiden Umno berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bertemu dengan presiden-presiden parti komponen BN bagi membincangkan perkara itu. Pilihanraya kecil DUN Penanti bakal diadakan berikutan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR mengosongkan kerusi DUN itu berkuatkuasa dua hari lepas.

Wak rasa memang tindakan tepat dan bijak jika DS Najib mengambil tindakan BN tidak menyertai PRK di Penanti. Ini bagi menjaga maruah dan imej beliau sebagai orang yang baru memegang jawatan Perdana menteri dan yang melaugkan slogan ‘Satu Malaysia’ . Banyak lagi tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan kemelut dalam UMNO itu sendiri terutama dibeberapa negeri yang diperintah.

Jika kita lihat dari sudut PRK ini yang katanya terlalu banyak membuang masa dan tenaga dan jika benar-benar DS Najib dan BN ikhlas ingin menjimatkan duit rakyat maka tidak perlulah mereka meletakkan calon di Penanti. Apatah lagi DUN Penanti merupakan tempat yang hampir pasti akan menguburkan BN sekali lagi.

4.17.2009

Bantahan PPSMI menanti di Penanti

Bantah jangan tak bantah....

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said berikrar terus membantah dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), termasuk dalam pilihanraya kecil DUN Penanti tidak lama lagi.

"Untuk saya sendiri, saya akan teruskan (berkempen). Biarpun saya kalah dalam berlawan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya sama beliau akan turut serta berkempen kali ini seperti pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Selambau.

"Saya akan terus (berkempen) kerana saya merasakan, yang paling penting (menjelaskan persoalan) mengapa Kementerian Pelajaran melanggar Akta Bahasa (dengan melaksanakan PPSMI)?

Mengulas lanjut kempen membantah PPSMI menggunakan saluran pilihanraya kecil, A Samad menjelaskan, kempen menggunakan medan itu "lebih berkesan" berbanding kaedah lain, misalnya menghantar memorandum.

"(Memorandum) itu salah satu (saluran). Selalunya, memorandum itu akan diperap oleh hal yang lain. Sebab mereka (kerajaan) merasakan soal bahasa itu tidak terlalu penting," katanya, yang bertindak sebagai penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

GMP bulan lalu menganjurkan demonstrasi besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini A Samad bersama barisan pemimpin gabungan itu, termasuk pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad, dalam siasatan polis.

A Samad juga melihat peralihan pucuk kepimpinan dalam Kementerian Pelajaran kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membayangkan pemansuhan dasar itu.

"Saya fikir mereka sendiri merasakan bahawa apa yang diasaskan (Datuk Seri) Hishammudin (Hussein) itu tidak perlu diganggu. Itu yang saya rasakan, begitulah," katanya yang terkenal dengan novel Salina.

"Apa yang disebut Muhyiddin, bahawasanya (beliau) menerima apa yang diwariskan dan akan membawa benda itu ke kabinet. Tetapi itu tidak berbeza daripada apa yang Hishammuddin cakap (sebelum ini)."

Timbalan perdana menteri - selepas majlis terima tugas dari bekas menteri pelajaran - dilaporkan berkata ingin mendapatkan maklum balas beberapa kementerian lain sebelum memutuskan dasar PPSMI.

Muhyiddin juga mengulangi kenyataan Hishammudin sebelum ini yang dilaporkan berkata kertas laporan telah siap dan sedia dikemukakan untuk pertimbangan mesyuarat kabinet dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada beliau telah putus harapan terhadap kementerian itu, A Samad berkata:

"Bukan putus harapan tetapi tidak ada apa yang bergerak."

GMP juga berkempen di Bukit Gantang baru-baru ini walaupun A Samad tidak ikut serta kerana menghadiri satu acara di luar negara.

Beliau pernah dilaporkan menyeru rakyat menyokong PAS dan PKR dalam pilihanraya kerana kedua-dua parti ini sahaja terletak harapan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

Sumber - Malaysiakini

PENANTI… PILIHANRAYA KECIL (PRK) DATANG LAGI

Penanti yang terus menanti...

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti . Mohammad Fairus yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I sejak penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang pada Mac tahun lalu, meletak jawatan berkuat kuasa 8 April lalu.

Ketika ini, Mohammad Fairus disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dijangka dihadapkan ke mahkamah pada bila-bila masa.

Beliau berkata keputusan ini bertujuan untuk membolehkan dirinya memberikan tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga. Jelas beliau, peletakan jawatan tersebut adalah sebagai langkah membersihkan nama baiknya yang tercemar selama ini.

Dalam kenyataan itu juga Mohammad Fairus merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepadanya sepanjang tempoh perkhidmatannya. Keputusan ini adalah untuk kebaikan semua, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan perjuangan serta kepimpinan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Rasanya terpaksa dikorbankan lagi wang rakyat bagi melaksanakan PRK di Penanti. Sebelum ini 5 PRK yang telah di jalankan telah membelanjakan hamper RM2.5 juta duit rakyat. Apa nak buat… PRK ini telah menjadi satu alternatif atau ‘trend’ bagi menyelesaikan permasalahan dan kekalutan politik dewasa ini. Sunyi rasanya tanpa PRK. Tapi…. Tak tahulah sampai bila. Apakah ianya akan berterusan sehingga ke PRU-13.

Walaupun begitu, nampaknya ‘trend’ ini hanya berlaku di pihak Pakatan Rakyat. Mengembalikan kuasa rakyat bagi menentukan masa depan politik yang lebih bersih, telus dan adil. Di belah lagi satu nampaknya masih ‘fobia’ dengan PRK. Mimpi ngeri masa ‘silam’ masih belum melenakan tidur yang sering terganggu dengan mengigau di tengah malam ……

Sajak : Jeritan Batinku……

Ahhhh!!! Tidak!!! Dia datang lagi…
Oh PRK… Kenapa kau datang lagi!!!
Tidak puas lagikah kau menyiksa ‘batinku’ ini..

Ohhh tidak… Kenapa kau datang lagi?
Aku dah tak tahan diuji…
Idea ku sudah mati…
Apa strategi yang nak ku guna lagi..

Topeng itu telah ku haramkan hingga kini
Maruah media telah ku nodai
Jentera pemerintah telah ku tunggangi…

Mata rakyat telah ku kaburi
Janji-janji telah ku taburi
Hulurkan tangan mohon simpati
Mengapa kalian buat tak reti….

Ohh tidak.. kau datang lagi …
Membawa lagi mimpi ngeri
Tidur ku tak lena lagi..
Dengarlah… jeritan batinku ini….


Nukilan ini tiada kaitan dengan yang masih hidup atau yang telah ‘pergi’….wak

4.16.2009

SEMUA DAH TUKAR BARU... UMNO KEKAL HARU BIRU

Alunan ombak dalam UMNO....

Apa lagi yang belum dibuat oleh UMNO. Dalam perhimpunan Agung yang lepas, hampir seluruh kepimpinan termasuk mantan Perdana Menteri bercakap pasal perubahan dan pembaharuan. Dari peringkat atasan kepimpinan UMNO hinggalah ke akar umbi… harus berubah. Wak masih terngiyang-ngiyang ditelinga nii kata-kata Nek Pidah….”Bukan UMNO yang perlu berubah tapi orang UMNO itu sendiri yang perlu berubah”

Bermula dari perhimpunan Agung UMNO, itulah mulanya detik perubahan pucuk pimpinan yang dimulai oleh jawatan Presiden , Timbalan Presiden, Naib Presiden hinggalah pemilihan MT . Perubahan juga berlaku dalam kepimpinan sayap UMNO … Wanita, Pemuda dan juga Puteri UMNO.

Sepatutnya apabila sudah berlaku perubahan besar-besaran peringkat kepimpinan tertinggi parti, tidak akan timbul masalah diperingkat akar umbi, UMNO negeri dan juga bahagian. Namun apa yang diwar-warkan oleh pimpinan parti tidak sampai ke akar umbi. Hanya sekadar perubahan kepimpinan belum pasti boleh membawa perubahan pemikiran ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Dalam masa krisis perlembagaan masih tidak reda di Perak, UMNO yang kononnya mahukan perubahan sekadar mampu menukar pemegang jawatan Perdana Menteri, tetapi masalah dalaman tetap berkocak, bergolak dan berombak. Kekecohan di Perak yang masih berlegar-legar isunya diheret ke mahkamah masih belum menampakkan penyelesainnya, kini ditambah lagi dengan kekecohan di Terengganu dimana pihak polis terpaksa masuk campur.

Diberitakan bahawa bekas Menteri Besar, Idris Jusoh bersama sembilan lagi ADUN Barisan Nasional negeri itu hadir semula pada hari terakhir persidangan dewan selepas memulaukan DUN hari sebelumnya susulan mesej ugutan terhadap tiga rakannya. Idris, yang juga ADUN Jerteh, berkata mereka mengambil tindakan semalam kerana bimbang dengan keselamatan masing-masing, di samping bersimpati mereka yang diugut. Tiga ADUN tersebut awal pagi semalam membuat aduan polis apabila menerima mesej SMS berbunyi: "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?".

Apa pula jalan penyelesain kekecohan yang berlaku di Perlis.. Adakah barangkali akan diheret juga kepengetahuan pihak polis…. Nampaknya bertambah-tambah lagilah kerja anggota polis. Datuk Hisyammudin yang baru memegang kementerian yang menjaga polis perlu memikirkan dari sekarang berapa ramai lagi anggota polis perlu ditambah.

Kalau boleh wujudkan satu jabatan polis yang khusus menjaga orang-orang UMNO yang masih belum mahu ‘berubah’. Rakyat memerhati apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan juga seluruh anggota UMNO dalam menyelesaikan masalah dan kegawatan parti yang berterusan di negeri-negeri yang diperintah dan juga negeri yang baru ‘diperitah’.

Di peringkat BN pula, beberapa orang tokoh dari parti komponen sudah menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai perlantikan atau tidak perlantikan pemimpin mereka dalam kabinet DS Najib. Nampaknya masih banyak yang perlu dilakukan oleh DS Najib untuk mewujudkan kemantapan dan kesepakatan dalam parti-parti komponen BN itu sendiri sebelum merealisasikan 'One Nation'.

Sekiranya kegawatan dan permasalah di negeri-negeri yang terlibat tidak dapat di tangani oleh kepimpinan UMNO yang baru, bagaimana mereka ingin membuat perubahan dan penambahbaikan seluruh sistem pemerintahan yang melibatkan sebuah Negara…. Dan bagaimana istilah ‘One Nation’ yang ingin di bawa dalam sistem pemerintahan DS Najib dimana ia adalah perkataan besar dan kerja yang hendak dibuat bagi mencapai matlamat yang seperti ditakrifkan oleh DS Najib juga besar. DS Najib tentu lebih maklum One Nation tidak mungkin tercapai sekiranya parti dan gabungan parti yang sepatutnya menggalas tanggungjawab mencipta One Nation ini masih terus berpecah-belah tanpa kesatuan pemikiran jitu. Persoalannya sekarang apakah DS Najib boleh melakukannya apabila matlamat One Umno pun masih lagi begitu huru-hara.

Apakah telahan teman-teman Wak di kedai kopi ada benarnya tentang teori ‘RAHMAN’… N = Najib. Maka beliau adalah PM yang terakhir dari bangsa Melayu yang memegang tiket UMNO. Seterusnya PM akan diganti oleh orang Melayu yang bukan memegang tiket UMNO. Sama-samalah kita fikirkan… Manusia bisa merancang tapi segalanya Tuhan yang menentukan.

Moralnya : BERUBAHLAH UMNO... BERUBAHLAH ORANG MELAYU! ALAHAIIIIIIII UMNO........

4.14.2009

KEMALANGAN BAS EKSPRES : PEMANDU KEDUA MEMPUNYAI 8 SAMAN

Kemalangan lagi...

Pagi tadi sebelum Wak pergi kerja, ada menonton Buletin pukul 7.00 pagi. Salah satu berita yang menyayat hati adalah melibatkan kemalangan yang berlaku di Kilometer 443, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Beruntung, awal pagi semalam.

Kenderaan dua tingkat tersebut membawa 32 penumpang itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik. Enam orang termasuk pemandu bas ekspres maut, manakala tiga lagi parah termasuk pemandu gantian Mohamad Fauzi Mohamad, 33 tahun.

Kemalangan berlaku apabila bas milik AB Express yang membawa 32 penumpang dari Changlun, Kedah ke ibu negara dan dipandu Mohamad Fauzi itu, dipercayai gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan.

Akibat kemalangan yang berlaku ini, siasatan awal mendedahkan bahawa pemandu gantian bas ekspres tersebut memiliki 8 saman kesalahan lalulintas serta satu waran tangkap juga telah dikeluarkan. Persoalannya mengapa beliau masih dibenarkan memandu dan memperbarui lesen memandu. Mana operasi yang sepatutnya dibuat oleh JPJ dan LPKP. Dulu macam nak rak satu Malaysia.. JPJ minta kenderaan dan penambahan anggota kerana operasi tidak dapat dilakukan kerana kekurangan anggota dan kenderaan.

Apabila berlaku sesuatu kemalangan yang melibatkan orang awam, macam-maca pihak bercakap dan mengulas… Masing-masing tunjuk HERO. Berbagai teori dan andaian akan dikeluarkan. Pelbagai cadangan disuarakan yang akhirnya hanya tinggal cadangan.. jadi BASI!!! Akhirnya hanya menuding jari dan bagaikan kanak-kanak mengalunkan lagu ‘BANGAU OH BANGAU’.

Kepada pihak yang berwajib terutama pihak JPJ dan LPKP, buatlah sesuatu supaya peristiwa ngeri dan tregedis ini tidak berulang lagi. Ini bukan kali pertama berlaku pemandu yang terlibat dengan kemalangan maut melibatkan bas ekspres didapati memiliki banyak saman lalu lintas. Rasanya dah lebih berpuluh-puluh kes tapi masih juga berlaku kes yang sama. Carilah jalan atau inisiatif bagi membendung permasalahan ini. Jangan sibuk asyik nak memperkenalkan produk baru kepada pemilik kenderaan atas alasan keselamatan. Mana lampu brek ke 3, mana kotak hitam, mana tali keledar, baru-baru ni heboh pasal tali pinggang penumpang dan macam-macam lagilah… Semuanya HAMPEH bro!

Apa yang lebih penting adalah penguatkuasaan yang berterusan dan tidak bermusim. Bagi pihak Majlis Keselamatan Jalan Raya juga harus mencari jalan yang inovatif dan jangan sibuk dengan peraturan baru dan produk baru yang diperkenalkan kepada penunggang dan pengguna jalan raya tetapi lebih menyusah dan membebankan rakyat terutama dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang ini.

Semua pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan dan bukan hanya banyak bersuara itu dan ini… Akhirnya banyak cakap dari buat kerja…. Fikir-fikirkanlah!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails