7.07.2009

Selsema Babi Tempatan Membimbangkan

Mendadak: 34 kes tempatan H1N1...

Wabak selesema A (H1N1) meningkat luar biasa hari ini apabila mencatatkan rekod penularan tempatan tertinggi sebanyak 34 kes daripada 75 kes, menjadikan jumlah semuanya 434 kes.

Dengan perkembangan terbaru, jumlah keseluruhan kes tempatan kini 101 sejak pertama kali dikesan 17 Jun lalu, sementara kes import berjumlah 333 kes kesemuanya.

Jumlah besar kes tempatan ini susulan peningkatan perlahan-lahan sejak awal bulan ini. Semalam negara merekodkan 12 kes penularan tempatan, sementara kelmarin 11 kes.

Sebanyak 12 daripada 34 kes jangkitan tempatan berlaku di kalangan peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) yang berlangsung di Pulau Pinang pada 27 hingga 30 Jun lepas.

Jumlah peserta APPC yang dijangkiti (setakat ini) ialah 25 di mana 18 merupakan jangkitan tempatan di kalangan warga Malaysia. Daripada 75 kes baru yang dilaporkan, 64 warganegara Malaysia. Sementara seorang warga Filipina mengalami jangkitan tempatan daripada 34 kes, selebihnya rakyat tempatan.

Seramai empat pelajar SM Tsun Jin - ditutup seminggu hingga Jumaat lepas - yang sedang dikuarantin disahkan positif H1N1 dan dikelaskan sebagai kes tempatan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails