7.27.2009

H1N1 : Telah Mencecah 1000 Kes

Terus bertambah...

Jangkitan influenza A (H1N1) di Malaysia kini mencecah 1,000 kes apabila 54 lagi kes baru dilaporkan di seluruh negara hari ini, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican.

Katanya, daripada jumlah kes baru itu, 43 kes merupakan kejadian dari tujuh kluster baru, lima daripada kluster sedia ada manakala enam lagi adalah kes terpencil termasuk satu kes import.

"Sehingga kini, 1,075 kes dicatatkan dengan satu kematian, dengan 574 kes atau 53 peratus adalah kes import manakala 501 kes atau 47 peratus kes jangkitan tempatan.

"Hanya empat kes atau satu peratus sahaja yang sedang menerima rawatan anti-viral di hospital," katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak Kementerian akan terus memantau kejadian kes H1N1 mahupun "Influenza-like illness"(ILI) yang dimasukkan ke hospital.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan institusi pendidikan dan tempat kerja supaya lebih peka dan berinformasi mengenai penyakit berjangkit ini.

Ismail juga meminta orang ramai melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan terdekat sekiranya terdapat tanda-tanda orang di sekeliling mereka menampakkan simptom yang menjurus kepada jangkitan H1N1 dan ILI.

"Mereka yang mendapat gejala yang teruk atau berisiko tinggi perlu segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan," katanya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails