Empat mati, H1N1 'membimbangkan'...
Seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia pagi semalam akibat jangkitan selesema A (H1N1), menjadikan angka kematian di negara ini meningkat kepada empat orang sejak seminggu lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dipetik berkata wanita yang mengalami masalah kegemukan mati di Hospital Melaka akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran, dan palitan tekaknya mengesahkan dijangkiti virus itu.
Pesakit mula demam, sakit tekak dan batuk sejak 16 Julai lalu, katanya lagi.
"Pada 8.30 malam hari yang sama kes dipindahkan ke unit rawatan rapi kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan, dan dua hari lepas, dia mengalami pelbagai komplikasi klinikal termasuk septicemia disebabkan oleh pneumonia, kegagalan buah pinggang dan kegagalan fungsi paru-paru sebelum meninggal dunia jam 9.40 pagi semalam," beliau dipetik berkata.
Semua pengamal perubatan sama ada di hospital atau klinik termasuk swasta hendaklah memberikan tahap pemerhatian lebih tinggi kepada kes-kes pneumonia yang disebabkan oleh influenza A (H1N1).
Dr Mohd Ismail berkata semua kes pneumonia teruk yang dirawat di hospital perlu diambil palitan tekak untuk ujian influenza A (H1N1) dan dimulakan rawatan antivirus serta diambil sejarah jangkitan penyakit seakan-akan selesema (ILI) dan influenza A (H1N1).
Selepas berlakunya empat kematian, diharap orang ramai akan lebih berhati-hati. Jika ada yang tidak sihat dan mempunyai simptom seperti sesak nafas dan sebagainya, gunakan penutup muka dan segera dapatkan rawatan.
No comments:
Post a Comment