Mati dalam kemungkaran....
Kata orang lama-lama "pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga". Inilah akibatnya apabila hendak melakukan sesuatu perkara itu tidak memikirkan tentang baik dan buruknya. Mungkin aktiviti mereka ini telah lama dilakukan dan sebelum ini asyik berjaya. Mereka merasa puas dengan habuan yang mereka dapat lalu ia dijadikan sebagai rutin harian dalam meneruskan hidup.
Bayangkan.... apa perasaan ibu bapa dan sanak saudara mereka ketika nanti orang bertanya tentang kematian adik beradik ini. Pastinya amat mengaibkan terutama ketika menguruskan jenazah mereka berdua. Sudah pasti semua yang hadir akan bertanya dan mungkin akan bercerita sesama mereka atas kematian adik beradik ini yang disebabkan oleh jenayah yang dilakukan.
Sama-samalah kita jadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua dalam meneruskan kehidupan.
SHAH ALAM: Cubaan dua beradik melarikan beg tangan selepas meragutnya daripada seorang wanita gagal apabila kedua-duanya terbunuh apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dikejar mangsa di Persiaran Subang di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.45 petang, seorang daripada dua beradik terbabit memecahkan cermin tingkap kiri Mercedes Benz CLK 200 dipandu mangsa, dipercayai menggunakan topi keledar sebelum menyentap beg tangan berjenama Louis Vuitton.
Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan, Junaili Abdul Hamid, 43, berhenti di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Kerjaya, berhampiran sebuah stesen minyak di Glenmarie untuk pulang ke rumahnya di Seksyen 13 di sini, dari tempat kerjanya di Sungei Way, Petaling Jaya.
Berang dengan tindakan peragut terbabit, wanita itu terus mengejar mereka sejauh hampir dua kilometer sebelum motosikal Yamaha RXZ yang dinaiki dua beradik berusia 25 dan 30 tahun itu terbabas sebelum melanggar sebuah teksi.
Suspek yang berusia 25 tahun mati di tempat kejadian manakala abangnya, 30, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Dua beradik berkenaan berasal dari Sungai Burong, Sekinchan. - METRO
No comments:
Post a Comment