1.03.2013

Tukar Guru : Murid Mogok Depan Sekolah




JEMPOL - Hampir 60 ibu bapa dan penjaga sebuah sekolah rendah di sini membuat bantahan secara aman di hadapan sekolah terbabit semalam. 

Bantahan itu dilakukan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan pihak bertanggungjawab menukarkan dua guru sekolah itu ke sekolah lain dengan alasan tidak munasabah. Berikutan itu, murid, ibu bapa dan penjaga mogok lebih kurang sejam dan tidak mahu masuk ke dalam kelas pada hari pertama persekolahan sebelum dinasihatkan pihak bertanggungjawab untuk meneruskan sesi pembelajaran. 

Mereka mendakwa tindakan itu diambil kerana dua guru berkenaan dikatakan mengadu kepada pihak atasan berhubung dua pekerja am sekolah yang sebelum ini menerima kata-kata lucah daripada guru besar selain mengugut akan memberhentikan mereka. 

Kejadian berlaku pada 25 September tahun lalu, apabila dua pekerja am berkenaan, R Komathy, 19 dan kakak iparnya, K Poopathy, 24, yang sedang membersihkan kawasan sekolah didatangi guru besar lalu menegur mereka. 

Komathy mendakwa, guru besar itu menegur kakak iparnya, kenapa nampak letih dan guru besar itu memberitahu dia pandai mengurut kemudian mempelawa masuk ke biliknya. “Dia juga memanggil kami untuk melihat dua ekor anjing yang sedang mengawan di luar pagar sekolah. 

Kemudian mengugut kami supaya tidak memberitahu perkara itu kepada orang lain. “Jika kami maklumkan juga, kami akan diberhentikan kerja selain (guru besar) tidak akan menandatangani slip gaji kami. Jadi kami jadi takut, dan mengadu pada cikgu sekolah,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 27 September tahun lalu kerana bimbang akan keselamatan mereka berdua. 

Nenek kepada seorang murid, C Parvathy, 46 berkata, dia kecewa dengan pertukaran dua guru terbabit kerana mereka hanya mempertahankan maruah dua pekerja am itu. “ Saya difahamkan, dua guru ini memaklumkan insiden berkenaan kepada pihak atasan berhubung tingkah laku guru besar itu,” katanya. 

Bapa seorang murid, M Manivanan, 40 berkata, dia terkejut dengan pertukaran guru terbabit yang disifatkan sebagai tindakan mengejut. “Kami tidak mahu guru besar yang seperti ini, iaitu mengeluarkan kata-kata tidak senonoh kepada orang lain, sepatutnya guru besar ini yang ditukarkan,” katanya. 

Suami kepada salah seorang guru yang ditukarkan berkata, isterinya hanya diberitahu mengenai pertukaran itu seminggu sebelum sekolah dibuka. “Saya juga begitu kecewa apabila mendapat tahu berita berkenaan.

Isteri saya hanya mempertahankan maruah dua pekerja am ini sahaja. Bagaimanapun, saya mahu kes ini disiasat pihak atasan,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli ketika dihubungi berkata, beliau akan menyemak insiden berkenaan dengan pihak berkenaan. -Sinar

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails