KUALA LUMPUR - Seorang bekas pensyarah Kuala Lumpur Metropolitan
University College (KLMU) dipenjara dua bulan dan denda RM10,000 oleh
Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana menerima rasuah RM1,500 untuk
sekeping diploma pada Julai lalu.
Hakim Rozilah Salleh mengenakan hukuman tersebut selepas tertuduh
Elmy Shadzly Wahi, 40, mengaku salah atas tuduhan pertama tersebut. Dia yang merupakan bekas pensyarah Falkuti Kulinari bagaimanapun
dilepas dan dibebaskan bagi tuduhan kedua iaitu cuba meminta RM1,500
untuk tujuan yang sama.
Keputusan itu dibuat Rozilah apabila dimaklumkan oleh pihak
pendakwaan bahawa mereka akan menggugurkan salah satu tuduhan sekiranya
tertuduh mengaku salah bagi satu tuduhan.
Mahkamah turut mengarahkan Elmy Shadzly dipenjara enam bulan jika
gagal membayar denda dengan hukuman penjara dua bulan diarah berjalan
semalam.
Bapa kepada empat anak itu didakwa memperoleh wang tunai RM1,500
melalui akaun Malayan Banking Berhad nombor 162254706503 daripada
Muhammad Asrull Aizat Solehan.
Ia sebagai balasan untuk memberikan Muhammad Asrull Aizat satu
diploma bidang kulinari dari KLMU tanpa pelajar itu menghadiri kuliah
dan peperiksaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dataran Maybank Bangsar, No. 1,
Jalan Maarof di sini pada pukul 3.30 petang 13 Julai 2012 di sini.
Bagi tuduhan kedua, dia didapati cuba memperoleh RM1,500 daripada
Muhammad Asrull Aizat bagi satu diploma kulinari KLMU tanpa menghadiri
kuliah dan peperiksaan pada pukul 8.30 malam 16 Julai lalu di Jalan Sri
Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan.
Dakwaan kedua-dua tuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara
maksimum sepuluh tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah
atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.
Pegawai pendakwa SPRM, Nor Lokman Samingan manakala tertuduh diwakili peguam S. I. Rajah.
Terdahulu Elmy Shadzly merayu hukuman ringan kerana dia sudah
kehilangan sumber pendapatan dan perlu menanggung empat anak manakala
isteri pula tidak bekerja.
Katanya lagi, dia melakukan kesalahan itu bukan untuk dirinya tetapi demi membantu kawan mendapatkan kerja. Sementara itu, Elmy Shadzly yang menghadapi dua lagi tuduhan rasuah
yang dibacakan di Johor Bahru pada 8 Oktober tahun lalu sebelum ini
menukar pengakuan kepada mengaku bersalah di mahkamah sesyen berasingan
di sini semalam.
Tertuduh didakwa menerima suapan daripada Izam Mustafa sebanyak
RM1,500 melalui akaun miliknya yang dimasukkan secara deposit tunai.Semasa kejadian, Elmy masih bekerja di kolej tersebut. Wang RM1,500
sebagai dorongan kerana tertuduh membekalkan Diploma Dalam Bidang
Pengurusan daripada Nilai University College di Negeri Sembilan kepada
Izam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.45 petang di Maybank cawangan Taman Molek di sini pada 22 Mac lalu. Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain menetapkan tarikh jatuh hukum terhadap kedua-dua pengakuan tertuduh pada 23 Januari depan. - Kosmo
No comments:
Post a Comment