1.12.2013

TERKINI YANG TERAKHIR DARI STADIUM MERDEKA


LAPORAN LANGSUNG





4.51pm: Azan Asar berkumandang ketika acara sampai ke penghujungnya.
Para peserta menyanyikan lagi Negaraku sebelum bersurai.


4.43pm: Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin bacaan doa bagi mengakhiri Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.


4.38pm: MP PKR Datuk Saifuddin Nasution mengetuai bacaan Deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat yang mengandungi 10 tuntutan yang diikuti para peserta perhimpunan di dalam stadium.


Deklarasi berkenaan antara lainnya menyentuh tuntutan untuk pilihan raya bersih dan adil, tindakan untuk "menyelamatkan Felda" serta menjamin hak untuk warga Sabah dan Sarawak.


Ia juga menyenaraikan tuntutan untuk bayaran 20% royalti minyak, serta menjamin masa depan penjawat awam.

Selain itu, ia menggariskan tuntutan untuk alam sekitar yang bersih dan siihat, memperkukuh bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda, membebaskan tahanan politik, menyelamatkan kampung warisan dan kampung tradisi, dan juga meningkatkan kualiti hidup golongan wanita.


4.20pm: Ketua polis daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad menjelaskan bahawa anggaran polis ke atas jumlah peserta perhimpunan pada hari ini adalah antara 40,000 hingga 45,000 orang.


Jumlah itu berkurangan hampir separuh daripada anggaran sebelumnya, sebanyak 80,000 yang diumumkan PDRM di Twitter.

Jumlah 80,000 itu menurut polis adalah "kesilapan teknikal".

"Dari bacaan saya, perhimpunan dihadiri oleh lebih kurang 40,000 hingga 45,000 orang," kata Zainuddin dalam sidang media petang ini.

Tambahnya, polis juga tidak melakukan apa-apa tangkapan ke atas mana-mana pihak berhubung perhimpunan tersebut.

"Sehingga kini, himpunan kebangkitan rakyat tidak ada apa-apa kejadian yang tak diingini. keselamatan di tahap yang terjamin.

"Semua polis yang ditugaskan dapat laksana tugas dan tanggungjawad dengan sempurna, tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini.

"Keadaan lalu lintas, cuma kesesakan sedikit di Jalan Maharajalela dan sekitar jalan tuju ke Stadium Merdeka. Walaubagaimanapun, Jalan Raja, Jalan Lebuh Pasar dan Jalan Maharajalela tuju ke Dataran Merdeka masih ditutup," katanya. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails