Bangkit Rakyat Bangkit......
KUALA LUMPUR - Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) esok akan dikawal dengan penuh kondusif bagi memastikan keselamatan peserta, pihak media dan anggota keselamatan terjamin.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, antara kelainan operasi polis kali ini adalah menyediakan pasukan marshal kepada media bagi membolehkan mereka memberi liputan sebaik mungkin.
Menurutnya, antara tugas marshal ini nanti adalah membantu pihak media mendapatkan gambar terbaik, maklumat tepat di samping menjaga keselamatan petugas media sepanjang tempoh perhimpunan.
"Kami menyediakan 50 marshal kepada media dan setiap marshal akan membawa dan membantu kira-kira 15 wakil media.
"Marshal ini disediakan oleh polis kerana pengalaman pada Bersih 3.0 lalu menunjukkan pihak media sering terperangkap jika berlaku perkara tidak diingini. Kita tidak mahu perkara sama berulang," katanya pada sesi taklimat khas bersama media di sini, semalam.
Abdul Hamid turut mengulas mengenai kontroversi melibatkan pas khas yang dikeluarkan polis untuk media yang membuat liputan esok.
Katanya, tiada agenda tersembunyi di sebalik permohonan pas tersebut melainkan mahu memastikan pihak media mendapat bantuan terbaik pada hari kejadian.
"Jika tidak menggunakan pas tersebut pun tidak mengapa, pihak polis tidak akan menghalang media dari membuat liputan kerana hak media dijamin dalam undang-undang.
"Pas khas ini dikeluarkan bagi memudahkan anggota mengenal pasti pihak media dan peserta perhimpunan," katanya.
Himpunan esok di Stadium Merdeka dijangka dihadiri oleh ribuan penyokong, dan menuntut beberapa perkara kepada kerajaan.
Antara perkara yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang telus, royalti minyak Kelantan dan membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang.
Antara pemimpin yang dijangka hadir pada perhimpunan ini adalah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - Sinar
SELAMAT BERJUANG!!!!!
No comments:
Post a Comment