SUBANG – Dibunuh dan kemudiannya dibakar. Begitulah keadaan mayat seorang lelaki separuh terbakar yang ditemui di tempat sampah sebuah tapak pembinaan di Subang Bistari, semalam.
Mayat tanpa kepala yang masih berpakaian itu secara tidak sengaja ditemui seorang pengutip kayu sebelum bertindak menghubungi polis kira-kira jam 3.35 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, pemeriksaan pada mayat tersebut mendapati beberapa anggota tubuh mangsa termasuk tangan dan kaki ‘hilang’ dipercayai digonggong oleh anjing liar.
Menurutnya, anggota forensik polis yang melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan itu kemudiannya menemui tengkorak serta beberapa cebisan tulang termasuk kasut milik mangsa.
“Tiada sebarang dokumen atau identiti ditemui pada mayat tersebut dan polis masih mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.
Siasatan awal mendapati, berkemungkinan mayat itu sudah beberapa hari berada di situ sebelum dijumpai.
Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6141 2222. - Sinar
No comments:
Post a Comment