1.20.2010

Rokok : Dulu, kini dan selamanya....

Penguatkuasaan yang lemah...

# SEKURANG-KURANGNYA 20 kawasan telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok di negara ini tetapi para perokok seolah-olah mendapat ‘kebebasan’ melanggar peraturan itu.

# Tinjauan sehari Unit Khas Utusan Malaysia mendapati, di beberapa kawasan hospital dan pusat perubatan masih kelihatan petugas dan orang awam menghisap rokok.

# Kegagalan pelbagai kempen kerajaan termasuk Klinik Berhenti Merokok dikaitkan dengan ‘kedegilan’ atau kurangnya kesedaran para perokok terhadap bahaya menghisap rokok.

Lebih baik jika perokok ini berhenti dan menabung wang itu untuk menunaikan fardu haji kerana ia merupakan satu kewajipan bagi umat Islam

-Datuk Nooh Gadut (Penasihat Majlis Agama Islam Johor)

Tip ini mungkin berguna untuk anda yang masih merokok...

Langkah 1 BERSIHKAN
Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.

Langkah 2 BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKKAN
Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

Langkah 3 LAKUKAN SAHAJA
Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara ” cold turkey “. Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

Langkah 4 TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.

Langkah 5 BERFIKIRLAH SECARA POSITIF
Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok.

Langkah 6 DAPATKANLAH SOKONGAN
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

Langkah 7 MELAWAN KEINGINAN MEROKOK
Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiapkali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails