1.21.2010

24 Penjawat Awam Terlibat Seludup Pasir

SPRM tahan 34 individu terlibat seludup pasir ke negara jiran


PUTRAJAYA 20 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kes kecurian dan penyeludupan pasir ke negara jiran dan menahan 34 individu di seluruh negara, sejak semalam.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, tangkapan itu melibatkan 24 penjawat awam, lima orang awam, tiga pekerja swasta, seorang pegawai khas kepada ahli politik dan seorang setiausaha sulit kepada ahli politik.


"Sejak tahun lepas, SPRM menerima 410 maklumat berkaitan kes ini. Bertindak atas maklumat ini kita jalankan intipan, pemerhatian dan seterusnya siasatan dan hasilnya kita telah memulakan operasi minggu lepas,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.


Mohd. Shukri berkata, jumlah anggaran wang rasuah bagi kes itu melebihi RM280,000 dengan nilai suapan antara RM500 dan RM50,000 seorang.

"Ada kes-kes wang rasuah diterima secara bulanan dan terdapat tiga kes melibatkan rasuah seks,” katanya.


Beliau berkata, pemberian rasuah itu dipercayai bagi tujuan memproses permohonan permit pasir, mempercepat permohonan permit pasir dan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang membawa pasir keluar tanpa permit. - Bernama


Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.

Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.


Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)


KESAN-KESAN RASUAH


Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.


Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.


Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

Sama-samalah kita renongkan.....


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails