Hukumnya HARUS.....
Hari minggu yang lepas, ketika membaca Harian Metro... Wak tertarik dengan tulisan Ustaz Zaharuddin yang bertajuk 'Hukum sertai Facebook'. Rata-rata antara kita ramai yang memiliki Akaun Facebook. Semua sedia maklum pengasas FB adalah seorang yang berbangsa Yahudi-Amerika bernama Mark Zuckerberg.
Diambil dari artikel Ustaz Zaharuddin dalam HMetro :
SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”
Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati .
Namun di entri kali ini Wak ambil kesimpulan yang dibuat oleh Ustaz Zaharuddin sahaja sebagai renungan kita bersama.
KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:
1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.
2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.
3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:
a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.
b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.
c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.
d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.
e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.
f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.
g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook.
Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.
Serba sedikit sejarah pengasas Facebook
Mark Zuckerberg dilahirkan dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester Country, New York sebagai anak bangsa Yahudi yang berhijrah ke Amerika selepas peristiwa penyembelihan bangsa tersebut oleh Nazi Jerman seperti yang pernah dicatatkan dalam sejarah moden.
Umum mengetahui Zuckerberg seorang yang genius komputer sejak kecil lagi. Pada usia lapan tahun beliau sudah mampu menghasilkan permainan komputer yang dinamakan Risk dan juga permainan muzik, Synapse. Sejarah terciptanya Facebook sememangnya unik. Pada 4 Februari 2004, ia telah dilancarkan oleh Zuckerberg dari bilik asramanya sewaktu beliau masih bergelar mahasiswa di Universiti Harvard.
Pada waktu itu, Facebook hanyalah bertujuan untuk memudahkan para pelajar Harvard berhubung sesama sendiri. Namun siapa sangka, ia akhirnya diterima dengan baik dan mendapat permintaan supaya dikembangkan hingga ke universiti-universiti lain di sekitarnya.
Facebook terus menerima keahlian baru dan semakin berkembang pesat dari masa ke masa sekali gus melonjakkan nama Zuckerberg. Kejayaannya mencipta dan mengasaskan laman sosial ini telah meletakkan beliau sebaris dengan tokoh-tokoh besar dunia hari ini. Majalah Time misalnya telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke-52 daripada 101 orang tokoh paling berpengaruh di dunia pada tahun 2008.
No comments:
Post a Comment