3.11.2013

Semporna : 33 Tali Barut Pembunuhan 6 anggota Polis Ditahan

ANGGOTA dari Unit Tindakan Khas (UTK) keluar dari kawasan kampung selepas mengadakan pemeriksaan bagi mengesan saki-baki pengganas, semalam.

Semporna: Tiga puluh tiga individu termasuk empat wanita yang dipercayai tali barut kumpulan pengganas yang membunuh enam anggota polis ketika insiden di Kampung Simunul dan Sri Jaya 2 Mac lalu ditahan pasukan keselamatan Op Daulat dalam satu serbuan di sini, semalam.

Operasi membabitkan 100 anggota pasukan keselamatan itu bermula kira-kira jam 6.30 pagi hingga 9 pagi di satu kawasan setinggan Kampung Pinggir Bakau yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Ketua Polis Daerah Semporna Deputi Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, semua tahanan itu dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan pengganas Sulu yang menceroboh daerah ini ketika kejadian berbalas tembakan sebelum ini.

“Kami tidak menolak kemungkinan mereka adalah penyokong dan memberi perlindungan kepada pengganas Sulu yang menceroboh daerah ini.

“Seramai 44 individu diperiksa ketika serbuan, tetapi 11 daripadanya dibebaskan manakala 33 lagi ditahan dan akan disiasat lebih lanjut sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu,” katanya ketika ditemui, semalam.- HMetro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails