10.09.2012

Tersalah Identiti : Mati Dibelasah Lebih 20 Lelaki


Jangan bertindak mengikut NAFSU!!! Sesungguhnya negara kita mempunyai undang-undang so bila berlaku perkara sebegini sepatutnya serahkan kepada pihak berkuasa.

Semoga apa yang berlaku ini menjadi pengajaran dan pedoman kepada kita semua supaya tidak terburu-buru mengambil tindakan tanpa usul periksa. bayangkan bagaimana perasaan kaum keluarga mangsa.... Nyawa tidak boleh ditukar ganti. Fikir-fikirkanlah!!!


SUNGAI PETANI: Gara-gara dipercayai tersalah identiti, seorang remaja lelaki yang dibelasah sekumpulan lebih 20 lelaki kerana disyaki terbabit kejadian ragut meninggal dunia selepas koma seminggu akibat parah di kepala dan badan, semalam.

Mangsa, Ku Ameerul Ashraf Ku Salim, 20, dari Taman Ria, di sini, disahkan meninggal dunia jam 9.40 pagi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, ketika menerima rawatan akibat menjadi mangsa belasahan dalam kejadian, Selasa lalu.

Kejadian berlaku jam 4 pagi selepas beberapa penduduk mengesyaki mangsa terbabit kejadian ragut di taman perumahan berkenaan tiga hari sebelum itu.

Ketika itu, mangsa dan empat rakannya berada di rumah seorang rakan terletak tidak jauh dari rumahnya sebelum muncul lebih 20 lelaki dan tiba-tiba menceroboh masuk ke rumah itu lalu memecahkan pintu sebelum membelasah rakan mangsa.

Bapa mangsa, Ku Salim Ku Long, 54, berkata, anak lelakinya berjaya melarikan diri dengan memanjat bumbung, tetapi terjatuh ke rumah bersebelahan yang juga kenalan ibunya sebelum keluar mengikut pintu belakang.

Menurutnya, sebaik keluar, arwah ditangkap kumpulan terbabit yang kemudian memukulnya dengan pelbagai objek, namun anaknya berjaya melepaskan diri kali kedua.

Katanya, arwah kemudian terjatuh dalam longkang sebelum ditemui seorang lelaki lalu memberitahu kumpulan terbabit sebelum mereka menariknya keluar dan memukulnya semula berulang-kali. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang yang dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas koma ketika menerima rawatan di wad ICU HSAH.

Menurutnya, polis sudah menahan lapan lelaki bagi membantu siasatan kes itu yang sebelum ini dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum ditukar kepada Seksyen 302 kanun sama selepas mangsa meninggal dunia.

“Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada mangsa terbabit kejadian ragut yang didakwa itu atau sebaliknya,” katanya.

Sumber : HMetro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails