KEPALA BATAS - Seorang warga emas maut manakala isterinya cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka hilang kawalan lalu terbabas selepas mereka menjadi mangsa ragut dua lelaki di depan pasar awam Jalan Permatang Manggis di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.45 malam semasa A. Joseph, 64, dan isterinya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bagan Ajam selepas menghadiri majlis hari jadi anak saudara mereka di Kampung Kovil.
Beliau berkata, setiba di tempat kejadian, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki menghimpit pasangan itu lalu meragut rantai leher yang dipakai isteri Joseph sebelum menolak motosikal mangsa ke tepi jalan.
"Mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kiri jalan. Joseph meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala isterinya cedera ringan dan luka di tangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Abdul Rahman berkata, mayat Joseph yang bekerja sebagai pekerja kontrak dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek dan kami meminta saksi yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, isteri Joseph, yang berumur 52 tahun enggan ditemubual kerana masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment