Wanita maut dalam kemalangan di Port Dickson
PORT DICKSON: Seorang wanita terbunuh manakala dua anak perempuannya patah kaki apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di Kilometer 9.5 Jalan Pantai, dekat sini, kira-kira jam 11.50 malam tadi.
Ketika kejadian, mangsa, D Indrani, 47, bersama dua anaknya dalam perjalanan balik selepas menghadiri satu majlis di Avillion Cove, di sini.
Mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Port Dickson manakala dua anaknya masih dirawat. _HMetro
Remaja maut, motosikal rempuh belakang treler
SEREMBAN: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah treler di kilometer 260.3 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, mangsa, Farul Rhyzuwan Abd Wahab, 19, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaya 125Z dipercayai dalam perjalanan dari arah Senawang menuju ke Seremban.
"Ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa yang berada di laluan kiri lebuh raya itu tidak perasan sebuah treler membawa muatan bijih besi sedang berhenti di laluan berkenaan.
"Mangsa yang tidak sempat menggelak terus melanggar belakang treler berkenaan dan menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak sejauh beberapa meter," katanya di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati treler berkenaan yang dalam perjalanan menuju Pulau Pinang, sedang mengalami kerosakkan dan tidak dapat dialihkan ke laluan kecemasan.
Katanya, pemandu treler berusia 44 tahun itu yang tidak mengalami kecederaan kemudiannya telah membuat laporan polis.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat. - Bernama
No comments:
Post a Comment