Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon yang didakwa dibuat oleh BNM atau mana-mana bank perdagangan.
Orang ramai yang mempunyai akaun bank dinasihatkan untuk tidak mendedahkan nombor pengenalan peribadi (PIN) dan kata laluan kepada pihak ketiga.
Untuk maklumat lanjut berhubung aktiviti penipuan kewangan, orang ramai boleh melawat laman Amaran Penipuan Kewangan di http://fraudalert.bnm.gov.my.
Namun masih ada lagi rakan kita yang tertipu.... Jadikan ini sebagai pengajaran kepada kita semua!!!
GEORGE TOWN - Dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita, kehilangan wang dalam akaun bank berjumlah RM20,000 akibat terpedaya dengan panggilan dari “Bank Negara”.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, ACP Roslee Chik dalam satu kenyataan, di sini hari ini berkata, kedua-dua kes melibatkan taktik serupa.
Beliau berkata, dalam kes pertama, mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun menerima panggilan daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai `Allen’ kononnya dari Bank Negara dan memberitahu bahawa mangsa berhutang kad kredit sebanyak RM9,380.
"Mangsa yang bekerja sebagai juru pendawai dan tinggal di Bukit Mertajam itu percaya dengan kata-kata lelaki berkenaan dan memberikan kesemua butiran diri, kad kredit serta akaun bank bagi menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.
Roslee berkata, tidak lama kemudian mangsa memeriksa akaunnya di bank dan terkejut bila mendapati wang sebanyak RM15,000 telah dikeluarkan.
Katanya, mangsa kedua seorang guru wanita berusia 31 tahun turut dihubungi lelaki yang juga memperkenalkan diri sebagai `Allen’ yang menggunakan taktik yang sama.
"Mangsa yang tinggal di Taman Desa Murni, Sungai Dua memberikan kesemua butiran diri, kad kredit dan akaun bank bagi menyelesaikan tunggakan kad kreditnya,” katanya.
Mangsa sedar dia telah ditipu setelah mendapati RM4,999 hilang dari akaunnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment