Kes buang bayi catat peningkatan...
Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan yang sah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa." (Surah asy-Syura ayat 49-50).
Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan manusia yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan yang suci kerana secara fitrahnya berhajat dan mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini yang mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran" (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).
Realitinya, isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka membuang bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga mereka. Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang jika bayi yang tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud, "Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (Riwayat Bukhari).
KUALA LUMPUR: Ketika gejala buang bayi hangat diperdebatkan di kalangan masyarakat, perangkaan kes pembuangan bayi mencatatkan peningkatan dengan penemuan mayat bayi perempuan dalam beg galas di tebing Sungai Tambun, Kota Damansara, kelmarin, adalah bayi ke 65 yang dibuang tahun ini.
Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, daripada 65 kes pembuangan bayi di seluruh negara sepanjang tahun ini, 26 bayi lelaki, 25 perempuan dan 14 lagi tidak diketahui jantinanya dengan sebahagian besar kes membabitkan kematian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, sepanjang tahun lalu, 79 kes direkodkan di seluruh negara membabitkan 25 bayi lelaki, 29 perempuan dan 25 lagi tidak diketahui jantinanya.
Katanya, sepanjang lima tahun lalu, 472 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara dengan 214 bayi berjaya diselamatkan dan 258 lagi ditemui mati.
“Kes buang bayi menunjukkan peningkatan kebelakangan ini. Ia membabitkan pasangan rakyat tempatan, malah dilakukan warga asing.
“Pada tahun ini saja, 21 orang ditahan atas kesalahan membuang bayi yang mana enam sudah dituduh dan dua dijatuhkan hukuman,” katanya di pejabatnya, semalam.
Sebelum ini, Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati manakala kes cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Mohd Bakri berkata, polis mempertimbangkan menyiasat kes buang bayi mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307.
“Peguam Negara memberikan kenyataan (buang bayi diklasifikasikan kes bunuh jika menyebabkan kematian). Ketua Polis Negara juga mengeluarkan kenyataan sama sebelum ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment