WAK menulis.....
Isu PPSMI adalah satu isu besar, yang boleh menggugat keutuhan bangsa Melayu sebagai suatu bangsa berdaulat, dan boleh menyebabkan bahasa Melayu akan pupus suatu hari nanti. Isu ini sebenarnya adalah isu yang penting. Ia sebahagian daripada masalah utama yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini.
Tampaknya golongan yang ghairah untuk mencapai kemajuan dalam sains dan teknologi dan dalam penguasaan bahasa Inggeris tidak sama sekali menghayati perancangan pemimpin awal kemerdekaan, khususnya Tun Abdul Razak yang merupakan arkitek konsep kenegaraan Malaysia, termasuk dalam bidang pendidikan.
Kita bukanlah buta hati dalam memahami peri pentingnya sains dan teknologi serta bahasa Inggeris dan bahasa asing lain dalam pembinaan dan pengembangan tamadun negara. Namun, sekali lagi ditegaskan bahawa strategi yang munasabah hendaklah diperhitungkan, iaitu kekalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Pada waktu yang sama perkukuh pengajaran Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain yang penting melalui mata pelajaran bahasa asing itu sendiri.
Sungguh pun kemajuan sains dan teknologi merupakan suatu keperluan, meneguhkan jati diri serta mencapai cita-cita menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas semua bidang ilmu juga hendaklah dilihat sebagai suatu keperluan.
Aminudin Baki pada tahun 1956 menyebutkan hubungan sikap pemimpin politik Melayu dengan bahasa Melayu sebagai berikut:-
"Anchaman datang daripada ... golongan Melayu yang ... kurang perchaya tentang kebolehan bahasa Melayu ... sehingga timbul-nya ... rasa tidak tahu membuat apa2 bila bahasa Inggeris chuba hendak digantikan dengan bahasa Melayu. Ini adalah keadaan biasa di-kalangan bangsa2 yang dijajah, ... hasil penjajahan di-'alam fikiran dan kehidupan pendudok."
Natijahnya berdasarkan kenyataan pemimpin Melayu kini, kita dapati agak sukar untuk meneruskan usaha kembalikan dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.
Antara alasan popular ialah, kerajaan telah banyak menghabiskan wang dan masa ke arah penyediaan pakej prasarana teknologi termasuk latihan kemahiran, kepakaran sebelum ini ke atas guru-guru Sains dan Matematik bagi menggalas tugas ini.
Ada dua jawapan ke atas alasan kerajaan ini. Pertama, ketika kerajaan mahu melaksanakan dasar ini, mereka tidak pernah menghirau pandangan khalayak awam. Jadi, wajarlah kerugian ini ditanggung mereka sendiri.
Kedua, jika parti pemerintah bijak, daripada rugi sedikit pada masa sekarang dan rugi banyak dalam tempoh jangka panjang, yang manakah mereka akan pilih?
Peliknya orang-orang yang masih berjiwa terjajah yang masih mempertahankan PPSMI, apabila mereka bercakap pasal isu PPSMI ini, mereka langsung tidak menyentuh soal perlunya kita kepada identiti bangsa, kepada jiwa bangsa, kepada kedaulatan kita sebagai bangsa yang ada budaya dan tamadun sendiri.
Jika kita lihat penubuhan UKM sendiri telah dipersetujui untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, kita dapati ramai doktor, teknorat, jurutera yang berjaya mendapatkan ijazah tanpa sebarang masalah. Malah, tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka juga baik. Angkasawan Dr Syekh Muzaffar Berjaya dilahirkan melalui pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Dan beliau juga tiada masalah berbahasa Inggeris. Dr Syekh Muzaffar adalah salah satu hujah kuat yang menunjukkan bahawa dasar pendidikan kita selama ini tiada masalah.
Pada hakikatnya bahawa bahasa Melayu ini sebenarnya hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk mencapai darjat sebagai bahasa ilmu di peringkat dunia sehinggalah pihak pemerintah telah datang merosakkan kemurnian bahasa dan mencalarkan segala-galanya.
Isu yang cuba kita bangkitkan di sini ialah peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu dalam proses peningkatan penguasaan bahasa asing. Hal yang tidak wajar berlaku kerana maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan tonggak tamadun bangsa tidak patut digadaikan walau atas alasan apa sekalipun. Marilah sama-sama kita berjuang untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu demi maruah dan harga diri.
Nota : Wak sedang menyiapkan satu 'kertas kerja' yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat PIBG tempat anak Wak sekolah.... Jika dah siap nanti Wak akan titipkan di sini... InsyaAllah!!
No comments:
Post a Comment