2.19.2009

PPSMI KE PARLIMEN

Salam perjuangan...

Pada 17 Feb yang lepas GMP telah menyerahkan memorandum 12 halaman yang mengandungi kompilasi ringkasan hasil kajian beberapa ahli akademik tempatan berhubung pelaksanaan PPSMI - diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa induk GMP, Datuk Hassan Ahmad di parlimen.

Pada 18 Feb Dato Seri Hishamuddin selesai berucap berkenaan PPSMI, hampir 20 orang ahli Dewan Rakyat yang bangun mahu bertanya … tetapi tidak diberi kesempatan. Namun antara ahli parlimen yang sempat untuk memberikan pandangan adalah seperti berikut :

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyokong supaya PPSMI diteruskan berkata ia mampu meningkatkan kemahiran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di kawasannya. Katanya PPSMI juga disokong oleh penduduk di kawasannya, lapor Bernama.

Menyokong pandangan Bung Moktar, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata penentangan terhadap dasar itu adalah satu sindrom penafian yang tidak melihat matlamat di sebaliknya.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mencelah membantah pelaksanaan PPSMI kerana ia tidak mencapai matlamat membantu pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris.

Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata secara peribadi beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI dan berpendapat ia (pembelajaran dan pengajaran subjek berkenaan) perlu dikembalikan ke dalam bahasa Melayu.

Datuk Seri Hadi Awang (PAS-Marang) pula berkata beberapa kajian oleh institusi-institusi pengajian tinggi tempatan menunjukkan pelaksanaan PPSMI untuk mengilmukan rakyat adalah tidak berjaya dan tidak mendatangkan manfaat khasnya kepada pelajar di luar bandar.

“Sudah sampai masanya kita masuhkan dasar PPSMI ini kerana ia gagal. Ia adalah sebuah dasar yang cacat dan tidak dibina dengan baik,” kata YB Tuan Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau

Nota : Dari pemerhatian Wak, ada juga pemimpin dikalangan pemerintah yang sealiran dengan GMP... Tapi sekuat mana dan seikhlas mana perjuangan mereka masih menjadi tanda tanya... Segalanya keputusan adalah terletak di bawah Menteri yang bertanggungjawab dan yang pastinya mereka juga orang Melayu.....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails