Syabas dan tahniah....
Pencapaian cemerlang seorang pelajar kurang upaya (OKU)) mendapat 7A dalam PMR mengejutkan pengetua SM Pendidikan Khas Cacat Penglihatan di Setapak, Kuala Lumpur hari ini.
"Saya terkejut kerana inilah pertama kali pencapaian akademik pelajar meningkat sehinggakan seorang pelajar istimewa tahun ini mendapat A dalam semua mata pelajaran," kata pengetuanya Che Fatimah Che Abdullah.
Hanson Ang Ping Ting berjaya mendapat 7A, manakala dua yang lain Tan Ee Beng dan Mohammad Razlan Ibrahim Mukhtar masing-masing mendapat keputusan 6A.
Ang, yang berada di Seremban bersama keluarganya, telah menghubungi sekolah dengan telefon untuk mendapat keputusannya.
Che Fatimah turut bergembira kerana 13 daripada keseluruhan 20 pelajar sekolah tersebut yang mengambil PMR tahun ini mencatat kejayaan cemerlang, sekali gus menaikkan pencapaian kecemerlangan sekolah itu kepada 60 peratus berbanding 38.5 peratus pada tahun lepas.
"Usaha guru yang gigih dan komited perlu ada untuk mengajar pelajar istimewa kerana mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding pelajar normal," kata Che Fatimah.
Di Melaka, pelajar Muhammad Syarifuddin Abu Tahir dari SMK Ayer Molek mungkin rabun jauh tetapi terang hatinya dan hari
ini tersenyum bangga apabila memperoleh keputusan 7A dan 1C dalam PMR.
Muhammad Syarifuddin yang mengalami kecacatan itu sejak kecil, sentiasa memerlukan bantuan rakan dan guru ketika belajar dalam kelas.
"Apabila saya kurang jelas melihat apa perkataan yang guru tulis di papan hitam, saya tidak malu meminta rakan saya untuk membacakannya untuk saya, itulah kebiasaan yang saya lakukan," katanya kepada pemberita.
Muhammad Syarifuddin berkata, kertas soalan yang diberikan kepadanya mempunyai tulisan besar berbanding kertas soalan untuk pelajar lain dan itu amat membantunya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment