460 pasangan muda bercerai di Perlis
Pasangan suami isteri yang berusia bawah 35 tahun banyak terbabit dalam kes perceraian di Perlis dan antara puncanya ialah mereka lebih mengutamakan nafsu dari ikatan perkahwinan kata Pengarah Pembangunan Wanita Perlis, Affendi Rajini Khan hari ini.
Menurutnya 460 kes perceraian didaftarkan di Perlis sepanjang tahun ini berbanding lebih 1,400 kes pernikahan bagi tempoh yang sama yang mana kebanyakan kes perceraian membabitkan pasangan bawah 35 tahun.
"Kebanyakan yang memohon cerai telah berkahwin antara lima dan 10 tahun dan kes itu telah menimbulkan masalah kepada masa depan anak-anak mereka," katanya selepas majlis pelancaran program Nur Bestari peringkat Parlimen Kangar yang dirasmikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, 68 pasangan telah rujuk semula setelah menyedari masa depan anak-anak mereka tidak menentu akibat perceraian itu.
Sementara itu, Md Isa ketika melancarkan program tersebut mengingatkan pasangan suami isteri sentiasa memikirkan kebahagiaan dan masa depan keluarga terutamanya anak-anak.
Katanya, perceraian akan membawa kemusnahan kepada institusi keluarga yang telah mereka bina. BERNAMA
Firman Allah swt di surah An Nisa' ayat 19,
"Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya"
Dari Ibnu Umar r.a dari Nabi Muhammad saw beliau bersabda yang bermaksud,
"Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak"
Riwayat Abu Daud dan Hakim
Ayat Al-Quran dan Hadis di atas ini dengan jelas memberikan kita penjelasan bahawa perceraian merupakan suatu perkara yang paling dibenci oleh Allah swt. Agama Islam tidak mengalakkan umatnya bercerai berai, kerana ia akan mengakibatkan implikasi yang negatif kepada pasangan itu sendiri, anak-anak, keluarga mahupun masyarakat amnya.
Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan oleh kedua pasangan suami isteri dengan baik dan sempurna, jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau perjanjian yang suci ini dengan bersumberkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Selagi kedua pasangan ini menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan dengan ajaran Islam, Insya Allah tujuan dan matlamat perkahwinan yang didambakan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.
No comments:
Post a Comment