9.17.2009

Kematian H1N1 Terkini Meningkat 76 Orang

Dua lagi maut angkara H1N1 ...

Dua kematian baru didaftarkan hari ini akibat influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 76 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mangsa merupakan seorang wanita berumur 45 tahun dari Sabah yang juga menghidap darah tinggi dan seorang remaja perempuan berumur 19 tahun dari Bentong, Pahang.

Mangsa Ke-2 Hanya simptom Batuk Tanpa Demam

Mangsa kedua pula dimasukkan ke Hospital Bentong pada 30 Ogos kerana batuk selama lima hari serta demam sehari, dan rawatan antivirus juga telah dimulakan pada hari yang sama.

Mangsa sebelum itu telah mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital bagi simptom batuk tanpa demam pada 26 Ogos dan pada 31 Ogos beliau mengalami sesak nafas dan terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan di ICU.

Bagaimanapun, remaja perempuan itu meninggal dunia pada 1 Sept disebabkan oleh 'severe pneumonia with H1N1 infection' setelah kes disahkan melalui ujian makmal pada 3 September.

Berhati-hati Di Hari Raya...

Dr Mohd Ismail juga berkata dalam kesibukan umat Islam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aildilfitri, Kementerian Kesihatan ingin menasihati orang ramai agar terus mengamalkan langkah kebersihan diri dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala influenza A (H1N1).

Beliau berkata pihak pengurusan pasar raya atau pusat membeli-belah juga disarankan agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk menyediakan kemudahan membasuh tangan dan menjaga persekitaran serta menyediakan tempat bagi membuang sampah serta topeng penutup mulut dan hidung yang mencukupi.

"Orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 (topeng mulut dan hidung, tisu dan cecair pembasmi kuman) ke mana-mana termasuk ketika membeli-belah, menaiki kenderaan awam atau berhari raya di rumah sanak-saudara dan rakan dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak Influenza A (H1N1) serta langkah-langkah pencegahan yang disyorkan kementerian dari semasa ke semasa," katanya.

Maklumat dan perkembangan terkini jangkitan influenza H1N1 boleh diperoleh melalui talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui email di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails