Wak menulis…
Dalam keadaan kesuraman eknomi dunia dan tempias ke Negara kita, rasanya kebelakangan ini tidak pernah sunyi daripada pelbagai kejutan dan kontroversi. Kisah peralihan kuasa pemerintahan di Perak masih bergelora, kini isu PPSMI semakin ‘panas’ selepas kejayaan GMP menghimpunkan lebih 100 ribu rakyat yang datang dari pelusuk tanah air yang majoritinya orang Melayu.
Wak tidak mahu bercakap soal politik kerana telah banyak para blogger mempersembahkan dengan pelbagai cara dan idea. Wak pun bukanlah ingin menjadikan blog ini sebagai blog reformasi yang lebih banyak membicarakan hal-hal politik. Bukan politik namanya jika sunyi, sepi dan suram. Wak ingin menyentuh tentang isu yang terhangat di pasaran iaitu perhimpunan 100 ribu yang dianjurkan oleh GMP baru-baru ini. Sebaik-baiknya isu yang melibatkan sistem pembelajaran ini tidak dipolitikkan.
Tetapi sayang seribu kali sayang, rentaknya sudah dimainkan oleh pihak pemerintah sendiri yang mengaitkan perhimpunan GMP itu telah didalangi oleh parti pembakang dari Pakatan Rakyat berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan itu.
Apa masalahnya dengan kehadiran pemimpin pembangkang pada demontrasi 100,000 Bantah PPSMI 7 Mac lalu? Sejak awal lagi, Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) sudah mencari tempat berpaut bagi menggerakan demontrasi itu. Tiada isu tentang kaitan pembangkang pada demontrasi ini. Mereka semua adalah rakyat Malaysia. Rakyat yang cintakan Bahasa Melayu.
GERAKAN Memansuhkan PPSMI (GMP) telah menafikan didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam usaha gerakan itu membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003 telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya termasuk ahli akademik serta sasterawan menyertai medan politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.
Gerak hati Wak bertanya, apakah makna sebenar demokrasi jika kita semakin tidak betah bersuara. Baru membuat sesuatu yang tidak sealiran dengan pemerintah, dilabelkan begitu dan begini. Jika sistem demokrasi Malaysia mengamalkan sikap keterbukaan, apakah pandangan terbuka seseorang wajar diselewengkan?
Nama-nama besar seperti sasterawan negara Datuk A Samad Said, Datuk Dr Hassan Ahmad, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan , Profesor Emeritus Nik Safiah karim dan lain-lain lagi. Kalau cendekiawan dan tokoh bahasa Melayu sanggup turun ke jalan berdemo mempertahankan bahasa Melayu, maknanya masa depan bahasa Melayu semakin tergugat dan kelam. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.
Mereka juga dianggap penderhaka dan perosak bangsa, walhal merekalah yang bersusah payah mengumpul kudrat dan menatang semangat untuk menongkat kembali Bahasa Melayu dalam pendidikkan anak-anak kita.
Apa yang kita khuatiri pengerak PPSMI adalah tinggalan saki baki penjajah yang bersarang di kalangan golongan elit dan feudal negara. Seperti dijelaskan, ilmu (seperti khutbah dan tazkirah di masjid) perlu disampaikan dalam bahasa mudah difahami masyarakat setempat. Ilmu perlu menyeluruh, boleh diakses seluruh anggota masyarakat tanpa sempadan bikinan seperti bahasa, kuasa, keturunan kedudukan dan pangkat.
Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amatlah berguna buat kelangsungan tamadun bangsa Melayu. Kerana setiap tamadun itu dikenali bukan sekadar kerana kecanggihan teknologinya, tetapi kerana latar budaya dan bahasa pendidikannya.
Persoalannya … Adakah PPSMI ini satu isu politik yang perlu diselesaikan oleh orang-orang politik sendiri.. yang mana kuasa ada di tangan mereka. Atau mereka sengaja mempolitikkan isu PPSMI demi menidakkan suara-suara rakyat yang semakin bergema. Jangan tunggu sehingga rakyat membuat perhitungan di atas kertas.. Ini sudah pastinya PPSMI ditentukan nasibnya melalui medan politik…. Suara rakyat suara keramat!
No comments:
Post a Comment