Sekadar menulis dari yang tersirat di hati....
Wak bukanlah seorang penganalisis politik atau seorang penulis yang memang ada kehebatan tersendiri dalam melahirkan suara hati atau memberikan pandangan. Tapi sekadar ingin menulis untuk berkongsi pandangan dengan cara Wak. Dari kaca mata seorang rakyat biasa yang mendengar luahan dan citrawara rakan-rakan di kedai kopi, di bilik pensyarah, di gelanggang badminton dan juga diceruk kampung….
Wak nak merujuk ucapan dasar atau bolehlah dikatakan sebagai amanat terakhir dari mantan Presiden UMNO. Tidak ada apa yang mengejutkan dan tidak ada apa juga yang menarik. Cuma Wak nak fokus berkenaan kenyataan beliau bahawa Umno tidak akan berjaya melakukan perubahan dalaman jika mengambil pendekatan "order lama" yang tidak disenangi masyarakat, termasuk menyekat kebebasan rakyat.
Ucapan dasar terakhirnya bertema "Masa Depan dan Survival Parti", kedengaran bernada cemas seperti juga beberapa pemimpin kanan parti, imbas kembali penglibatan lamanya dalam Umno dan ramuan untuk parti itu mengorak langkah kedepan. Beliau menyebut lima faktor yang menjadi punca penolakan rakyat terhadap Umno:
1.Setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin Umno tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan Umno.
2.Tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global.
3. Program-program politik Umno yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.
4. Perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan di dalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.
5. Sifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak – bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa Umno adalah parti yang korup.
Merujuk kepada faktor yang ketiga, Wak rasa bagi mendampingi generasi muda lebih sesuai dilaksanakan oleh barisan Pemuda UMNO yang kini diketuai oleh menantu Pak lah, Khairy Jamaludin (KJ). Namun jika pemuda UMNO masih ingin meneruskan saranan dari mantan Ketua Pemuda UMNO yang banyak menyebut tentang ‘petualang’, Wak rasa amat malang bagi UMNO, dan yang lebih membimbangkan isu tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat Umno.
"Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengambil ketetapan untuk menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh si petualang ini." Nampak macam hebat saranan si mantan ni, tapi takut memakan diri.
Maka berdasarkan dari ucapan beliau di atas, maka pemimpin tokoh utama Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sasaran lepas geram pembahas dalam persidangan Pemuda Umno tempohari.
Pembahas dari Pulau Pinang, Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Umno melakukan kesilapan "kerana membebaskan Anwar" dari penjara. "Anwar ini boleh janjikan bulan dan bintang... Cukuplah sandiwara Anwar Ibrahim ini.
"Kesilapan kita kerana membebaskan Anwar Ibrahim, inilah akibat yang kita tanggung hari ini," katanya ketika membahaskan usul, menyentuh isu-isu ketuanan Melayu dan Pakatan Rakyat.
Demikianlah kebiadapan pembahas dalam perhimpunan Agong pemuda UMNO yang melangkaui bidang kuasa dan tugas sebenar sebagai seorang warga negara yang mesti menghormati maruah dan hak seorang warga negara Malaysia.
Anwar dibebaskan atau ditahan tidak ada kaitan dengan perhimpunan agong UMNO. Ia berkaitan dengan undang-undang dan perbicaraan di mahkamah yang masih diharapkan ada bibit keadilannya, walaupun yang jelas ianya difitnah dan dianaiya dan dipermalukan oleh musuh politiknya.
Persolannya lagi… Mengapa orang-orang UMNO ini begitu takut dengan manusia bernama Anwar. Dari mula hari pemecatannya sebagai TPM, merengkok dalam penjara sehinggalah keluar dari penjara dan menjadi seorang ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat … Tak habis-habis serangan demi serangan termasuk serangan peribadi dan dikatakan gilakan kuasa, sanggup bersekongkol dengan musuh, menghina tanah air sendiri di serata dunia, mempersenda institusi raja, manusia berbagai-bagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi dan lain di depan, lain di belakang.
Andainya budaya sebegini diteruskan oleh pejuang-pejuang Pemuda UMNO khususnya, Wak rasa amat sukar untuk menarik jenerasi muda untuk memberikan sokongan kepada UMNO. Bak kata Tengku Razali bahawa dianggarkan terdapat 6 juta pengundi baru pada PRU13 yang akan datang. 2 juta pengundi terdiri dari mereka yang tidak sempat untuk mengundi pada PRU12 dan 4 juta lagi adalah pengundi baru.
Dengan menyerang dan menentang habis-habisan manusia yang bernama Anwar sebenarnya menampakkan kelemahan barisan Pemuda UMNO. Menampakkan bahawa mereka hanya tahu menuding jari kepada orang lain atas sebab tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri. Dan yang lebih malang lagi sebenarnya ia petunjuk bahawa UMNO masih tidak berubah. Masih ditakuk yang lama. Generasi muda dah muak dengan strategi ini. Apatah lagi di zaman siber ini maklumat dan informasi boleh dijejaki hanya di hujung jari.
Jika benar-benar khususnya Pemuda UMNO ingin berubah dan ingin terus mendapingi generasi muda, Wak rasakan mereka perlu tampilkan kehebatan mereka dalam memperjuangkan Bangsa Melayu, tidak perlu mengamalkan budaya mencaci dan mencerca, ketepikan kepentingan diri, rapatkan barisan dan lupakan perbalahan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan di dalam parti . Namun persoalannya sekarang mampukah Ketua Pemuda yang baru, KJ menggalas tanggungjawab ini. Tepuk dada… rasa bangga! (Ketika diumumkan kemenangan beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO)
Wak cukup senang melihat politik orang Cina tak kiralah MCA ke, DAP mahupun GERAKAN. Walau dalam isu apa sekalipun jarang kedengaran mereka menghina, mencerca atau mencaci bangsanya sendiri. Tapi itulah Melayu namanya. Kalau tidak masakan boleh berlaku peristiwa Hang Tuah membunuh Hang Jebat dalam sejarah orang Melayu. ‘Tak Melayu hilang di dunia’.
Kita sama-samalah tunggu dan lihat perubahan yang akan dilakukan di bawah kepimpinan UMNO yang baru. Bak kata Pak Lah "Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti Umno yang kita kasihi ini."
No comments:
Post a Comment