Melihat.. mendengar.. membaca.. dan kini Wak menulis & edit...
Jika dilihat dengan teliti dan atas pemahaman kita semua, Artikel 152 dengan jelas sudah terang lagi bersuluh ianya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Dan sesungguhnya, ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini. Banyak pihak menentang penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik. Antara kesan PPSMI adalah seperti berikut :
Pertama, kesannya sangat dirasai di kalangan pelajar luar bandar di mana tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mereka amat lemah dan ini boleh dilihat secara langsung menerusi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Tekanan untuk menguasai bahasa Inggeris akan terus menghantui pelajar dari tahun ke tahun dan ditakuti akan menjejaskan keputusan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.
Pelajar yang gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik akan terkandas dalam pelajaran dan tidak mampu untuk bersaing. Fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.
Kedua, selepas lebih 51 tahun merdeka, kita seharusnya berbangga dengan kemampuan bahasa Melayu untuk bersaing di peringkat global. Tidak wajar bagi kita mendidik anak-anak bangsa dengan bahasa Inggeris terutama dalam bidang sains dan matematik seolah-olah memberi gambaran bahawa bahasa Melayu tidak boleh dibawa kemana-mana maka bahasa Inggerislah penentu kejayaan akan datang. Persepsi ini akan dipegang oleh mereka sehingga dewasa dan diwarisi pula kepada generasi akan datang. Akhirnya Bahasa Melayu hanya akan jadi bahasa pasar dan yang ditakuti ia boleh menggugat keutuhan bangsa Melayu sebagai suatu bangsa berdaulat, dan boleh menyebabkan bahasa Melayu akan pupus suatu hari nanti.
Ketiga, subjek Sains dan Matematik sememangnya diakui penting dan menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan pelajar. Jika kedua-dua subjek ini dapat dikuasai oleh pelajar, maka secara amnya mereka juga dapat menguasai subjek lain. Jadi, untuk memastikan pelajar boleh menguasai kedua-dua subjek itu dengan baik, maka pengajarannya mestilah di dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu.
Inilah yang telah dilakukan oleh Negara-negara maju seperti German, Jepun dan lain-lain Negara maju di mana pengajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa ibunda.
J.W. Wood (2002) misalnya berpendapat menggunakan bahasa kedua dalam pengajaran akan mengambil masa yang lama dan ini menjadi penghalang utama kepada pelajar untuk menguasai ilmu.
Keempat, pelaksanaannya dilihat terlalu drastik dan ad-hoc kerana guru-guru sendiri terpaksa mempersiapkan diri dengan kemampuan berbahasa Inggeris. Jika diselidiki, terdapat juga guru yang tidak mempunyai kemahiran bahasa Inggeris yang baik tetapi mengajar subjek tersebut. Bak kata pepatah "ketam mengajar anaknya berjalan lurus". Ada juga guru yang mengambil kesempatan kerana mahu menerima elaun bulanan tambahan, sanggup mengajar subjek tersebut walaupun tidak mahir dan akhirnya pengajaran tidak berkesan.
Diawal perlaksanaannya banyak pihak membantah PPSMI terutama dari kalangan Pecinta Bahasa tetapi suara mereka tidak dipedulikan oleh pemerintah malahan ketika kerajaan mahu melaksanakan dasar ini, mereka tidak pernah menghirau pandangan khalayak awam.
Kelima, perlaksanaan PPSMI untuk sekolah menengah bermula 2003 bagi pelajar tingkatan satu telah member kesan yang mendalam terhadap pelajar-pelajar yang menyambung ke tingkatan empat di mana kumpulan pertama ini menduduki PMR dengan subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun 2005.
Kumpulan pertama di sekolah menengah itulah yang kini berhempas pulas belajar bukan saja subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi juga subjek berkaitan seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia.
Keenam, soal ketidakadilan dimana ia melibatkan pelajar-pelajar di luar Bandar dan juga mereka yang berpendapatan rendah. Pendedahan mereka terhadap penggunaan bahasa inggeris terhad dimana mereka tidak mempunyai akses kepada guru tuisyen atau tiada duit untuk membayar guru kelas tambahan. Ini berbeza dengan pelajar-pelajar di Bandar dimana ibubapa mereka berupaya mengeluarkan apa sahaja bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak .
Fenomena ini sudah pastinya akan mewujudkan jurang perbezaan yang amat ketara dari segi penguasaan bidang sains dan matematik dikalangan pelajar-pelajar luar Bandar berbanding pelajar-pelajar di Bandar.
Ketujuh, Kesan buruk daripada perlaksanaan PPSMI ini telah menyebabkan terbantutnya perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden terutama dalam bidang Sains dan Teknologi di Negara pada masa kini dan hadapan. Dasar ini secara tidak langsung telah mengambil alih peranan bahasa Melayu dalam mata pelajaran sains dan matematik yang sudah dimulakan 10 tahun dahulu dalam system pendidikan Negara.
Kelapan, berdasarkan pedagogi untuk menguasai bahasa Inggeris melaui Sains dan Matematik adalah salah serta tidak masuk akal keana kemahiran berkomunikasi bahasa Inggeris hanya boleh dikuasai jika bahasa itu sendiri diperkukuhkan.
Ini terbukti apabila kajian mendapati 87.7% pelajar di luar Bandar dan golongan miskin di Bandar mengalami kesukaran menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik.