5.31.2010

Semua Dah Bantah... UMNO Bila Lagi???

PAS sambut seruan Hamas supaya dunia Islam bangkit lawan syaitan Israel...

PAS menyambut seruan Hamas supaya dunia Islam bangkit bagi menyatakan bantahan terhadap serangan ganas tentera rejim zionis Yahudi terhadap Konvoi Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Gaza, pagi ini.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, parti itu akan sentiasa bersama dengan masyarakat antarabangsa yang inginkan keamanan supaya mengadakan tindakan susulan yang sesuai terhadap kekejaman yang dilakukan oleh tentera rejim tersebut.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya ‘berhimpun’ di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 aktivis dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Sementara itu, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyatan di Gaza mengecam seranga tersebut dan turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melindungi aktivis kemanusiaan mengikuti konvoi bantuan kemanusiaan itu.

“Kami menghubungi rakan-rakan di Timur Tengah untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung serangan ganas itu,” ujar Nasharudin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok turut menggesa PAS kawasan dan cawangan seluruh negara mengadakan solat hajat dan membaca qunut nazilah memohon kepada Allah agar situasi yang berlaku itu selesai secara aman dan melindungi anggota rombongan kemanusiaan ke Gaza itu.

Menurutnya, apa yang berlaku itu membuktikan bahawa keganasan zionis Yahudi tidak pernah padam terhadap umat Islam. Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melakukan sesuatu yang perlu bagi memastikan kekejaman dan kezaliman tentera rejim zionis Yahudi itu mendapat pembalasan yang setimpal.

Berita dari Istambul melaporkan, lapan rakyat Malaysia disahkan berada dalam Mavi Marmara, kapal utama dalam flotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel hari ini. Menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman, lapan rakyat Malaysia itu terdiri daripada enam sukarelawan dan dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia.

Dr Abd Rani yang kini berada di Instanbul juga mengesahkan bahawa 16 terkorban dan enam dari kapal yang diserang itu kini dibawa ke Haifa untuk dipenjarakan. Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip.

Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu. "Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza. Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera. Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan. Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam tentera Israel terhadap kapal-kapal antarabangsa bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa yang membawa bekalan bantuan untuk rakyat Palestin hari ini.

Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya berkata, pihaknya juga meminta masyarakat antarabangsa turut mengecam tindakan terhadap Israel. Selain itu kata beliau, PKR juga menuntut kerajaan Malaysia menyampaikan mesej yang kuat dengan membatalkan kontrak APCO.

“Keadilan memanggil seluruh dunia untuk mengutuk dan mengambil tindakan terhadap Israel dan menuntut kerajaan Malaysia menyampaikan mesej yang kuat dengan membatalkan kontrak APCO,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, pembunuhan sehingga 15 orang dan kecederaan kepada yang lain di atas kapal-kapal ini adalah kejam, salah sama sekali dan tiada justifikasi di bawah undang-undang antarabangsa. Kapal-kapal ini juga membawa ahli-ahli Parlimen dari Eropah, seorang pemegang Nobel Peace Prize, wanita, dan beratus-ratus activis keamanan dan kemanusiaan, katanya. (AK)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails